ADA WASIAT PUN PENINGLAH!
SEHARI dua ini saya dihujani dengan pertanyaan ini. Saya sudah pun berulang-ulang kali menjelaskan perkara ini namun kelihatannya masih ramai masyarakat yang keliru.
Mungkin saya menyumbang kepada kekeliruan masyarakat ini dengan promosi wasiat yang berlebih-lebihan sehingga melangkaui fungsi wasiat itu yang sebenarnya.
Promosi ini dibuat sehingga wasiat itu dianggap sebagai satu-satunya dokumen tunggal yang paling penting dan mesti dibuat oleh semua orang Islam.
Di dalam artikel minggu ini, saya tidak mahu mengulas dari segi hukum berwasiat kerana di dalam keadaan-keadaan tertentu kepada orang Islam, hukum berwasiat itu adakalanya menjadi wajib, sunat atau makruh. Mungkin di lain kali kita akan membicarakan hal ini.
Penulisan saya minggu ini ingin menyentuh adakah benar wasiat itu tersangat penting sehingga mesti dibuat oleh semua orang bagi menyelesaikan isu pusaka selepas kematian mereka. Hujah yang dibuat ialah kalau tiada wasiat, pusaka akan bermasalah. Benarkah begitu ?
Jadi untuk kesekian kalinya saya akan membawa pembaca untuk mengulang kaji semula apakah itu wasiat dan fungsinya kepada orang Islam warga negara Malaysia yang tertakluk kepada undang-undang Syariah dan Sivil di Malaysia.
PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA
Di dalam konteks pembahagian harta pusaka di Malaysia perkara tentang wasiat ini terletak di bawah Jadual 9 Senarai Persekutuan yang mana disebut dengan jelas bahawa urusan harta pusaka sama ada ‘berwasiat’ atau ‘tidak berwasiat’ itu adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil iaitu sebuah entiti kerajaan persekutuan.
Mahkamah Tinggi Sivil atau undang-undang sivil (secara umum) mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan sesuatu wasiat itu sah atau tidak.
Walaupun tafsiran ‘wasiat’ itu kepada orang bukan Islam warganegara Malaysia adalah jelas merujuk kepada wasiat sepertimana diperincikan oleh Akta Wasiat 1959, kepada orang Islam ia tidak terpakai kerana Akta Wasiat 1959 Seksyen 2(2) menerangkan bahawa akta itu tidak terguna pakai kepada orang Islam.
Orang bukan Islam apabila membuat wasiat dan menyatakan tentang siapakah penerima wasiat serta bahagiannya, ia adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil untuk mengesahkannya. Tertakluk kepada Akta Wasiat, apa sahaja formula pengagihan yang disebut pewasiat di dalam wasiatnya boleh dikuatkuasakan.
Bagi orang Islam situasinya berbeza. Perkara berkaitan wasiat dan hak-hak waris ke atas harta pusaka simati bagi orang Islam terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah negeri-negeri.
Bilamana seorang pewasiat itu menyatakan di dalam wasiatnya hasratnya untuk membahagikan harta pusakanya kepada penerima-penerima wasiat mengikut formula agihan yang tertentu, bagi seorang Islam, Mahkamah Syariah ialah pihak yang berbidang kuasa.
Mahkamah Syariah akan menentukan keabsahan wasiat seorang Islam itu berdasarkan enakmen wasiat negeri masing-masing (jika ada), enakmen pentadbiran keluarga Islam dan hukum Syarak secara umumnya.
Prinsip umum yang diguna pakai berkaitan wasiat ialah penerima wasiat itu mestilah terdiri dari bukan waris iaitu pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid dan bahagian yang diwasiatkan itu mestilah tidak melebihi 1/3 daripada harta pusaka bersih.
Jika wasiat diberikan kepada waris (orang yang menerima harta pusaka mengikut hukum faraid) atau pemberian wasiat itu melebihi daripada kadar 1/3, maka bagi membolehkan wasiat itu berkuatkuasa, persetujuan semua waris selepas kematian pewasiat hendaklah diperoleh.
Jika ada seorang sahaja waris yang tidak bersetuju dengan wasiat itu, maka hak waris yang tidak bersetuju itu WAJIB diberikan kepadanya. Situasi ini memungkinkan wasiat si pewasiat itu tidak boleh dikuatkuasakan sepenuhnya seperti hasratnya.
Maknanya bolehlah kita simpulkan bahawa kepada orang bukan Islam, jika dia mahukan harta pusakanya diagih mengikut kehendaknya, maka wasiat ialah instrumen yang mesti dibuatnya.
Bagi orang Islam pula, wasiat hanya berkuatkuasa jika anda ada hasrat untuk mewasiatkan 1/3 daripada harta pusaka anda kepada bukan waris seperti anak angkat, anak tiri, rumah kebajikan, masjid, pusat tahfiz, persatuan dan sebagainya.
Jadi adakah hujah wasiat ini mesti ada kepada orang Islam sehingga ketiadaannya menyebabkan urusan harta pusaka bermasalah betul dalam konteks pembahagian harta pusaka? Tanya diri anda sendiri soalan ini dan dapatkanlah Jawapannya dari huraian saya di atas.
Telah pun disepakati oleh ulama seluruh dunia bahawa kepada orang Islam, hukum berwasiat 1/3 ini adalah sunat yang dituntut (muakad). Ia bukanlah wajib secara total. Kita digalakkan untuk berwasiat 1/3 ini bagi tujuan amal jariah kita.
PENTADBIRAN HARTA PUSAKA
Dalam konteks orang Islam di atas, walaupun Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan wasiat, bidang kuasa pentadbiran harta pusaka seperti pengeluaran Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian, itu adalah bidang kuasa Mahkamah Sivil atau undang-undang persekutuan yang berkaitan seperti Pejabat Pusaka Kecil dan Amanah Raya Berhad.
Perintah-perintah pengesahan wasiat atau apa sahaja perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah tidak menjadi perintah yang boleh diguna pakai bagi tujuan turun milik harta pusaka.
Contohnya, jika Mahkamah Syariah mengesahkan wasiat berkaitan rumah yang diberikan kepada anak angkat itu sah, perintah itu tidak boleh digunakan bagi tujuan turun milik di pejabat tanah berkenaan.
Pejabat tanah tidak akan menurun milik nama rumah itu kepada anak angkat kerana perintah Mahkamah Syariah tidak diiktiraf sebagai satu instrumen turun milik.
Perintah ini perlu dibawa ke dalam proses pentadbiran harta pusaka sama ada di Pejabat Pusaka Kecil (jika pusaka simati bernilai kurang dari RM2 juta dan dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil) atau Mahkamah Tinggi Sivil (jika pusaka simati bernilai melebihi RM2 juta dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil).
Di kedua-dua agensi ini, arahan perintah wasiat tadi akan ‘disalin’ semula ke dalam Perintah Pembahagian (Pejabat Pusaka Kecil) atau Distribution Order (Mahkamah Tinggi Sivil) yang merujuk kepada hak anak angkat tadi ke atas rumah yang dinyatakan di dalam wasiat si pewasiat.
Perintah Pembahagian atau Distribution Order inilah instrumen yang diterima oleh pejabat tanah bagi menurun milik nama rumah itu dari nama pewasiat kepada nama anak angkat.
Janganlah ditanya kepada saya kenapa susah sangat urusan wasiat pembahagian harta ini kepada orang Islam di Malaysia. Memang itulah sifat semulajadi undang-undang di Malaysia.
Kita mewarisi sistem perundangan Common Law dan dalam masa yang sama cuba mendaulatkan sistem perundangan Syariah.
Di dalam urusan cuba mengharmonikan kedua-dua undang-undang ini, konflik sentiasa wujud kerana ada banyak pihak yang berkepentingan.
Usaha-usaha mengharmonikan undang-undang ini telah diadakan semenjak sekian lama namun masih belum berhasil. Secara tidak langsung, saya juga terlibat di dalam usaha ini. - DagangNews.com