Apa jadi apabila dokumen wasiat dibantah oleh waris? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 12 July 2023
ariffinsabirin

APA JADI APABILA DOKUMEN WASIAT DIBANTAH OLEH WARIS?

 

 

 

SERBA sedikit saya telah jelaskan tentang perbezaan wasiat yang menyebut tentang pembahagian harta pusaka dan pentadbiran harta pusaka yang dibuat oleh seorang muslim warga Malaysia pada minggu lepas.

 

Seperti yang saya jangkakan , semakin banyak persoalan yang ditanyakan kepada saya tentang wasiat.

 

Soalan paling banyak ialah, “Apa jadi apabila wasiat yang dibuat pewasiat semasa hidupnya itu DIBANTAH oleh waris?”

 

Jawapannya ialah tengok balik kepada apa isi kandungan wasiat itu.

 

Ramai rakyat Malaysia tidak tahu bahawa wasiat yang paling banyak di dalam pasaran hari ini ialah wasiat yang kandungannya menceritakan tentang pelantikan wasi.

 

Di dalam wasiat ini dinyatakan bahawa si pewasiat melantik pihak tertentu sebagai wasi kepada harta pusaka mereka. Wasiat melantik wasi ini dijual oleh bank dan syarikat amanah. Hampir 99% wasiat yang wujud di Malaysia hari ini ialah wasiat yang melantik wasi.  

 

Seterusnya di dalam wasiat itu dinyatakan bahawa wasi yang dilantik akan menjalankan tanggungjawab tertentu.

 

Antara tanggungjawab yang biasanya disebut ialah tentang peranan wasi untuk mengumpulkan harta pusaka, membayar hutang sipewasiat, mengurus dan membahagikan harta pusaka kepada waris-waris atau pihak-pihak yang berhak.

 

WasiyyahShoppe

 

 

Disebut juga bahawa wasi mempunyai kuasa untuk menolak apa-apa kos yang berkaitan pengurusan harta pusaka (tidak terhad kepada kos perundangan sahaja) daripada harta pusaka tersebut.

 

Memang wasi boleh bertindak untuk memotong harta pusaka bagi tujuan ini  kerana ia selari dengan undang-undang sivil dan hukum Syarak.

 

Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 menetapkan bahawa pihak yang menguruskan harta pusaka boleh mengenakan fi sehingga 5% dari nilai harta pusaka ( tidak termasuk fi rampaian yang lain ).

 

Di Malaysia, tiada sebarang sekatan undang-undang dikenakan bagi pelantikan wasi ini. Kita boleh melantik individu seperti isteri, anak-anak atau sesiapa sahaja yang kita percayai untuk menjadi wasi.

 

Kita juga boleh melantik syarikat amanah sebagai wasi. Syarikat amanah di bawah seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi.

 

Namun begitu, syarikat berstatus sdn bhd TIDAK MEMPUNYAI KUASA untuk menjadi wasi. Jadi jangan pandai-pandai lantik syarikat sdn bhd sebagai wasi di dalam wasiat.

 

Atas kerana itu jugalah saya secara konsisten mengingatkan masyarakat bahawa bagi urusan harta pusaka adalah lebih selamat untuk mereka berurusan dengan syarikat amanah berdaftar daripada berurusan dengan syarikat sdn bhd yang tidak diketahui latar belakangnya.  

 

Sebagai contoh, Ali melantik isterinya Aminah sebagai wasi di dalam wasiatnya. Hasrat Ali memang dia mahukan Aminah yang menguruskan semua harta pusakanya.

 

Apabila Ali mati, nilai harta pusakanya (termasuk hartanah) apabila dikumpulkan semuanya kurang dari RM2 juta. Mengikut peruntukan undang-undang kes pusaka Ali ini perlu dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil.

 

 

parafrasa

 

 

Ketika perbicaraan di Pejabat Pusaka Kecil, semua waris-waris Ali mengikut hukum faraid dipanggil hadir. Aminah membangkitkan isu wasiat di mana Ali telah melantik Aminah sebagai wasi.

 

Aminah mahukan dirinya dilantik sebagai Pentadbir (kerana di Pejabat Pusaka Kecil hanya digunakan istilah ‘Pentadbir’) dan namanya tertera di dalam Surat Kuasa Mentadbir.

 

Pentadbir melalui Surat Kuasa Mentadbir boleh menuntut harta alih Ali seperti wang tunai di bank, saham di koperasi (yang tiada penama), kereta, akaun CDS dan lain-lain.

 

Selepas semua harta ini diturun milik di atas nama Aminah dan selepas ditolak segala kos yang berkaitan, Aminah bertanggungjawab untuk mengagih semula harta-harta ini kepada waris-waris atau pihak yang berhak.

 

Oleh kerana kuasa Pentadbir mengawal harta pusaka ini besar, maka ramailah pihak yang berebut-rebut ingin menjadi Pentadbir.

 

Di dalam kes Ali ini, ketika perbicaraan di Pejabat Pusaka Kecil, sekiranya ada waris-waris mengikut hukum faraid kepada Ali tidak bersetuju dengan wasiat yang melantik Aminah sebagai wasi dan mereka gagal bermuafakat, pegawai pusaka akan menangguhkan perbicaraan dan meminta supaya wasiat melantik wasi itu dibawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan.

 

Untuk ke Mahkamah Syariah, Aminah perlu melantik peguam syarie dan kosnya perlu ditanggung oleh Aminah.

 

Terdapat beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melak, Sabah dan Kelantan yang telah pun mempunyai Enakmen Wasiat, jadi kes Aminah ini jika dibicarakan di negeri-negeri tersebut akan dibicarakan berdasarkan peruntukan di dalam enakmen-enakmen tersebut.

 

dagangnews

 

Cabaran terbesar yang bakal timbul ialah tiada proviso tepat di dalam enakmen-enakmen wasiat tersebut yang mengatakan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk mengesahkan wasiat yang melantik wasi kecuali jika wasi yang dilantik ialah selain dari Baitulmal.

 

Maknanya walaupun Aminah telah membawa kes wasiat melantik dirinya sebagai wasi ini ke Mahkamah Syariah, belum tentu Mahkamah Syariah boleh mengesahkan wasiat tersebut kerana kelompongan (lakuna) berkaitan isu melantik wasi (selain daripada Baitulmal) di dalam enakmen-enakmen wasiat ini.

 

Selagi isu ini tidak diselesaikan oleh Mahkamah Syariah dan waris-waris gagal bermuafakat mengenai siapa yang mahu dilantik sebagai Pentadbir, kes ini akan ‘tergantung’ dan  gagal dimuktamadkan. Ini antara sebab mengapa kes pusaka berlarutan sehingga bertahun lamanya.

 

Jadi sekiranya kes harta pusaka anda dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil, adakah wasiat yang melantik wasi yang anda buat semasa hidup ini akan menyelesaikan masalah pengurusan harta pusaka anda ?

 

Barang perlu saya ingatkan, pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil pada yang diwartakan pada 2022 telah menetapkan bahawa nilai harta pusaka yang akan dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil telah dinaikkan dari RM2 juta kepada RM5 juta. Ini bermakna, semakin banyak warga Malaysia beragama Islam, kesnya akan dibicarakan di bawah bidang kuasa Pejabat Pusaka Kecil.  

 

Ramai orang Islam yang membuat wasiat telah dikelirukan dengan promosi bahawa wasiat menyelesaikan semua masalah pusaka. Jika kes ini dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil, dari penerangan saya di atas jelas bahawa wasiat yang melantik wasi ini bukanlah penyelesaian muktamad. Jadi apa gunanya kita membuat wasiat yang tidak boleh dikuatkuasakan?

 

Wasiat yang melantik wasi bagi kes-kes Pejabat Pusaka Kecil ini sebenarnya hanyalah bertindak sebagai panduan sahaja. Jika waris-waris bersetuju dengan pelantikan wasi itu, Alhamdulillah. Jika mereka tidak bersetuju pula, wasiat itu tidak akan berkuatkuasa. Pening,kan?

 

Bagaimana pula dengan keadaan wasiat yang melantik wasi tetapi kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil (nilai harta pusaka melebihi RM 2 juta)? Minggu depan akan saya ceritakan.

        

 

ariffinsabirin

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags