Bagaimana perjalanan Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga menjadi syarikat amanah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 28 June 2023
WasiyyahShoppe

BAGAIMANA PERJALANAN WASIYYAH SHOPPE BERHAD SEHINGGA MENJADI SYARIKAT AMANAH ?

 

 

 

BERTITIK-TOLAK dari artikel saya minggu lepas, ada rakan bertanya kepada saya jika membuat dokumen perancangan harta dengan syarikat sdn bhd atau individu, tidak menjamin waris-waris akan menerima harta yang dimaksudkan, adakah membuat dokumen perancangan dengan syarikat amanah lebih terjamin?

 

ARTIKEL MINGGU LEPAS: Urusan wasiat dan hibah bukan seperti membeli durian di tepi jalan

 

Dari pengalaman 25 tahun saya dalam industri ini semenjak 1998, memang saya tahu secara pasti masyarakat memang tidak tahu apakah fungsi sebenar syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.  

 

Malah masyarakat tidak tahu langsung perbezaan di antara syarikat sdn bhd dengan syarikat amanah dalam aspek pengurusan harta ini.

 

Untuk artikel minggu ini, saya akan fokus menjawab perbezaan syarikat amanah dengan syarikat sdn bhd daripada aspek penubuhan dan operasi sahaja. Perbezaannya sangat banyak dan besar umpama langit dengan bumi namun aspek lain Insya-Allah saya akan cerita dalam artikel akan datang.

 

Untuk menubuhkan sebuah syarikat sdn bhd tidak kira yang perniagaannya sama seperti Wasiyyah Shoppe Berhad (menyediakan dokumen hibah, wasiat dan lain-lain dokumen perancangan harta) atau perniagaan pembinaan, pelancongan, perkilangan, restoran dan apa sahaja perniagaan, tuan punya atau bakal pemegang saham syarikat itu akan mengarahkan setiausaha syarikat untuk mendaftarkan syarikat sdn bhd itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


 

ssm

 


Pemegang saham akan mencari siapakah yang mahu diletaknya sebagai ahli Lembaga pengarah. Pengarah ini boleh jadi pemegang saham itu sendiri atau sesiapa yang dikehendakinya. Ini ialah kuasa pemegang saham.

 

Nama pemegang saham dan pengarah akan tercatat di dalam daftar dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Modal berbayar pula boleh serendah RM1 sahaja.

 

Dari segi operasi, mereka boleh saja mencatat di dalam daftar perniagaan sebagai syarikat runding cara dan penyediaan hibah dan wasiat. Syarikat sdn bhd tertakluk di bawah Akta Syarikat 2016.

 

Dari sudut undang-undang, pemegang saham ialah tuan punya syarikat manakala pengarah mempunyai kuasa untuk menentukan urusan operasi syarikat. Lembaga Pengarah boleh melantik sesiapa pun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

 

Kalau mereka ingin menutup operasi, mereka boleh sahaja berbuat demikian pada bila-bila masa yang mereka kehendaki. Bagaimana mereka membelanjakan wang syarikat? Itu juga hak prerogatif mereka.

 

Mengikut keperluan undang-undang, mereka perlu membuat audit kewangan tahunan dan serahan kepada SSM. Kenapa serahan ini perlu dibuat?

 

Kerana SSM akan memastikan semua syarikat sdn bhd yang ditubuhkan beroperasi mengikut peruntukan undang-undang. Namun ada juga syarikat sdn bhd yang bergiat aktif di dalam perniagaan ini yang saya dapati langsung tidak pernah membuat apa-apa audit kewangan tahunan kepada SSM walaupun telah bertahun-tahun lamanya beroperasi. Kenapa ya?     


 

WasiyyahShoppe

 


Saya ingin berkongsi pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad pula  melalui proses sehingga mendapat status syarikat amanah. Pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad mungkin berbeza dengan syarikat amanah lain.

 

Peringkat awalnya ia sama seperti penubuhan syarikat sdn bhd yang saya ceritakan di atas. Syarikat perlu beroperasi selama beberapa tahun untuk beroleh pengalaman di dalam industri ini terlebih dahulu.

 

Kami perlu menunjukkan rekod bahawa operasi kami telah berjaya membantu masyarakat dalam urusan pusaka. Kakitangan berkelayakan dari segi akademik dan berpengalaman dari kalangan profesional di bawa masuk untuk mengukuhkan struktur syarikat.

 

Audit kewangan perlu dibuat mengikut tempoh waktu yang ditetapkan untuk serahan SSM. Selain dari operasi mengikut undang-undang, keberuntungan (profitability) juga perlu dijaga.

 

Selain daripada itu, Lembaga pengarah dari kalangan profesional berpengalaman juga dibawa masuk. Mereka tokoh-tokoh terkenal di dalam bidang korporat, kewangan dan perundangan yang diyakini masyarakat.

 

Lembaga pengarah ini kemudiannya menetapkan standard tadbir urus korporat syarikat dan melantik Ketua Pegawai Eksekutif.


 

WasiyyahShoppe
Panel Syariah Wasiyyah Shoppe dipengerusikan bekas hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Dato' Seri Mohd Yusup Che Teh.

 


Di dalam masa yang sama, Wasiyyah Shoppe Berhad juga memformalitikan pelantikan Panel Syariah yang terdiri dari pakar di dalam hukum syarak dan perundangan syariah dan sivil berkaitan harta pusaka. Panel Syariah ini juga diberikan bidang kuasa yang khusus dalam menjalankan tanggungjawab mereka.  

 

Apabila telah bersedia dengan semua perkara di atas, barulah Wasiyyah Shoppe Berhad mengemukakan permohonan untuk menjadi syarikat amanah kepada SSM.

 

Kami perlu membentangkan kepada SSM bahawa kami mempunyai model perniagaan yang kukuh, pengalaman operasi dan trek rekod beberapa tahun, modal yang ditetapkan dan kewangan yang stabil, sumber manusia yang berkelayakan dan  tadbir urus korporat yang mantap (syarikat sdn bhd tidak perlu bentangkan apa-apa kepada SSM).

 

SSM akan memeriksa latar belakang semua Lembaga pengarah melalui CCRIS, CTOS, Jabatan Insolvensi Malaysia, PDRM, LHDN dan semua autoriti yang berkaitan. Lembaga pengarah syarikat amanah mestilah bersih dari segi rekodnya. Ketua Pegawai Eksekutif juga melalui proses saringan ketat ini.


 

bod
Barisan Lembaga Pengarah Wasiyyah Shoppe dipengerusikan 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗧𝗮𝗷𝘂𝗱𝗶𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻.

 


Saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dipanggil temuduga oleh 5 orang panel penemuduga yang menguji tahap pengetahuan dan pengalaman saya sebelum disahkan boleh memegang amanah itu. Hanya selepas pengesahan oleh SSM, barulah saya secara rasmi boleh bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Sebagai syarikat amanah, Wasiyyah Shoppe Berhad perlu melaporkan semua aktiviti kami setiap 6 bulan kepada SSM selain daripada audit tahunan. Dari masa ke semasa, saya juga wajib hadir seminar dan latihan yang dianjurkan oleh SSM.

 

Saya perlu memastikan semua operasi Wasiyyah Shoppe Berhad adalah patuh sepenuhnya (in full compliance) dengan Akta Syarikat 2016, Akta Syarikat Amanah 1949 ( Akta 100 ), Akta SPRM ( Seksyen 17A ), Akta Pemegang Amanah ( Akta 208 ), Malaysia Code of Corporate Governance ( MCCG ) 2006, Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, akta dan enakmen berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri, tahap tadbir urus korporat terbaik yang telah ditetapkan Lembaga pengarah dan keputusan Panel Syariah.

 

Susahkah, atau senang ingin mendapatkan status syarikat amanah dan selepas itu mengoperasikannya? Dari perkongsian saya di atas anda nilaikan sendiri.


 

parafrasa

 


Kenapa SSM sangat ketat mengawal aktiviti syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad?

 

Kerana kuasa syarikat amanah di dalam Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) itu membolehkan masyarakat melantik Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai pemegang amanah kepada harta mereka di dalam beberapa kapasiti termasuk dalam urusan harta pusaka.

 

Sekiranya syarikat amanah itu tidak dikawal ketat kebarangkalian kepentingan masyarakat akan terjejas adalah sangat tinggi.

 

Atas sebab itulah saya ceritakan kepada kawan saya bahawa pilihan terbaik masyarakat jika mereka ingin merancang harta ialah melalui syarikat amanah berbanding dengan syarikat sdn bhd.

 

Urusan harta pusaka melibatkan aspek perundangan yang luas maka sangat logiklah ia dibuat oleh syarikat amanah yang terikat dengan perundangan yang ketat. Betul tak?


 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags