Beza Wasiyyah sebagai syarikat amanah dengan syarikat sendirian berhad | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 30 Aug 2021 07:00 AM
Wasiyyah

Beza Wasiyyah sebagai syarikat amanah dengan syarikat sendirian berhad 

 

 

SEJAK 23 tahun yang lepas, landskap industri perancangan harta di Malaysia telah banyak berubah. Kalau dulu pada tahun 1998, jika saya bercakap tentang faraid, wasiat atau hibah, tidak banyak masyarakat yang ada maklumat tentangnya.

 

Saya pernah dituduh sebagai ‘Ayah Pin 2’ kerana kononnya membawa ajaran sesat dalam masyarakat apabila berkongsi maklumat tentang hibah yang katanya tidak wujud pun dalam Islam. “Kalau wasiat tu  adalah disebut dalam Al-Quran. Hibah mana ada !” Kata pihak yang skeptikal ini .

 

Namun hari ini saya dapati semakin banyak masyarakat yang mulai sedar tentang kepentingan perancangan harta terutamanya di dalam musim pandemik COVID-19 sekarang.

 

Semua orang mulai sedar bahawa syarat mati  itu tidak semestinya tua atau sakit. Sekarang, setiap hari kita mendengar kisah kematian akibat COVID-19 berlaku  kepada yang muda, yang tua, yang sihat, yang sakit, yang kaya, yang miskin.

 

Semuanya berpotensi untuk dijangkiti dan mati akibat darinya. Permintaan meningkat membawa kepada lambakan penawaran. Ini teori biasa ekonomi. 

 

Hari ini, semakin banyak pihak yang menawarkan perkhidmatan perancangan harta seperti penyediaan wasiat, hibah dan harta sepencarian. Penyedia perkhidmatan ini terdiri dari individu, syarikat Sdn Bhd dan syarikat amanah.

 

Di sinilah timbul banyak kekeliruan di dalam masyarakat. Artikel saya minggu ini akan menjurus kepada persoalan apakah perbezaan perkhidmatan yang disediakan oleh ketiga-tiga pihak ini.

Ramai individu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup baik di dalam perancangan harta.

 

Mereka ini mampu memberikan nasihat yang tepat kepada masyarakat bagaimana kaedah terbaik merancang harta dan apakah instrumen yang boleh diguna pakai bagi mencapai matlamat yang dikehendaki oleh masyarakat. Ada dalam kalangan mereka pula turut membantu masyarakat menyediakan dokumen-dokumen ini.

 

 

 

Wasiyyah

 

 

 

Apa masalahnya? Dari segi penyediaan dokumen itu tiada apa-apa masalah pun. Cumanya masalah mungkin timbul sekiranya individu ini mati lebih awal dari pihak yang dibantu menyediakan dokumen itu.

 

Waris simati mungkin akan berada di dalam keadaan ‘terkial-kial’ bagi mendapatkan perkhidmatan selepas kematian ibubapa mereka. Nak dirujuk kepada individu tersebut, individu itu telah mati lagi awal.

 

Kepada siapa waris nak merujuk? Dokumen perancangan hartanya ada dibuat tetapi apakah proses perundangan yang akan berlaku selepas itu? Ini adalah risiko yang perlu dihadapi apabila dokumen perancangan itu dibuat oleh individu.

 

Terdapat syarikat Sdn Bhd yang juga menawarkan perkhidmatan perancangan harta termasuk penyediaan dokumen. Risiko sama juga dihadapi oleh masyarakat kerana syarikat Sdn Bhd ini dari segi perundangannya, boleh menutup operasinya pada bila-bila masa.

 

Waris juga akan menghadapi cabaran yang sama selepas kematian ibubapa mereka. Tiada jaminan syarikat Sdn Bhd ini akan wujud 20, 40 atau 60 tahun akan datang. Pihak manakah yang akan membantu waris melalui proses perundangan bagi menguatkuasakan dokumen yang dibuat?

 

 

Wasiyyah

 

 

Ada pihak yang berkata kepada saya, tak kisahlah siapa pun yang membuat dokumen itu. Asalkan kita dah buat dokumen kira selesailah semua urusan. Di sini pun terdapat kekeliruan dalam masyarakat. Ramai masyarakat merasakan membuat dokumen itu adalah segala-galanya di dalam perancangan harta. Ini anggapan yang salah.

 

Dalam pengalaman 23 tahun saya membantu umat Islam merancang harta menggunakan dokumen-dokumen seperti hibah, wasiat, harta sepencarian dan amanah, membuat dokumen itu hanyalah 30% sahaja dari keseluruhan proses yang terlibat.

 

70% dari proses itu sebenarnya berlaku selepas kematian. Pada ketika itulah dokumen-dokumen yang dibuat ini mula memainkan peranannya.

 

Dokumen-dokumen ini perlu melalui proses perundangan. Peguam perlu dilantik. Fi peguam perlu dibayar. Proses pengesahan hibah, wasiat atau harta sepencarian, jika ada dibuat semasa hidupnya simati, perlu dilakukan di Mahkamah Syariah. Perbicaraan perlu dilalui oleh semua waris.

 

Selepas pengesahan Mahkamah Syariah diperoleh, pengesahan itu pula perlu dibawa ke dalam urusan pentadbiran harta pusaka yang berlaku sama ada di :

  • Mahkamah Tinggi Sivil (bagi kes harta pusaka bernilai RM2 juta dan ke atas) atau
  • Pejabat Pusaka Kecil (bagi kes harta pusaka bernilai kurang dari RM2 juta dan mempunyai harta tak alih) atau
  • Amanah Raya Berhad (bagi kes harta pusaka bernilai RM600,000 ke bawah dan hanya ada harta alih sahaja).

 

Perkhidmatan peguam juga perlu digunakan bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil dan ada kos-kos juga yang terlibat di peringkat ini.

 

Maknanya bagi menyelesaikan semua urusan sehinggalah waris atau pihak penerima mendapat harta seperti yang dimaksudkan simati melalui dokumen perancangan harta yang dibuatnya, ada dua kos yang perlu ditanggung.

 

Pertama, kos yang berlaku di Mahkamah Syariah dan kedua, kos yang berlaku di Mahkamah Tinggi Sivil, Pejabat Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad. Ini bermakna juga terdapat dua peringkat proses perundangan yang perlu dilalui waris atau penerima harta di agensi berkenaan.

 

Individu atau syarikat Sdn Bhd yang menyediakan dokumen perancangan harta itu mungkin sudah mati atau tutup operasi. Syarikat Sdn Bhd juga berkemungkinan besar tutup operasi bila pemegang sahamnya mati. Situasi ini biasa kita lihat berlaku kepada syarikat Sdn Bhd terutamanya dalam suasana pandemik COVID-19 sekarang.

 

Tahukah waris kita bagaimana nak melalui proses perundangan ini? Kepada siapa mereka nak merujuk? 70% proses perundangan akan berlaku pada peringkat ini. Dapatkah mereka harta-harta itu sekiranya proses perundangan ini tidak dilalui ? 

 

Persoalan inilah yang sering saya lontarkan kembali kepada masyarakat yang merasakan buat dokumen sahaja telah selesai semua urusan dan ‘confirm’ pihak yang mereka niatkan menerima harta itu. Sebab itulah juga saya mencadangkan supaya buatlah dokumen perancangan harta ini melalui syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

 

Wasiyyah

 

 

Kenapa pula? Wasiyyah Shoppe tak boleh tutup operasi ke? Bukankah Wasiyyah Shoppe Berhad juga sebuah syarikat? Di sini juga banyak berlaku ketidakfahaman masyarakat tentang perbezaan syarikat amanah dan syarikat Sdn Bhd biasa.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad ialah syarikat amanah berdaftar yang dilesenkan di bawah Akta Syarikat Amanah (Trust Company Act) 1949 yang dikawal sepenuhnya oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

Tidak seperti syarikat Sdn Bhd yang boleh menutup operasi pada bila-bila masa asalkan sudah membuat resolusi Lembaga pengarah, Wasiyyah Shoppe Berhad tidak boleh sesuka hati menutup operasi walaupun selepas saya sendiri sebagai pemegang saham mati.

 

Mengikut Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah, sekiranya syarikat amanah ingin menutup operasi, ia perlu memohon kebenaran dari mahkamah selain patuh kepada peruntukan Akta Syarikat 2016.

 

Mahkamah dalam memberikan kebenaran menutup operasi akan melihat sama ada Wasiyyah Shoppe Berhad sudah menunaikan semua tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh pelanggan kepadanya.

 

Dengan jumlah pelanggan hari ini melebihi 70,000 orang, adalah mustahil Wasiyyah Shoppe Berhad boleh menunaikan semua amanah pelanggannya di dalam satu-satu masa. Maknanya walaupun kami memohon kepada mahkamah untuk menutup operasi, hampir pasti mahkamah tidak akan meluluskannya.

 

Jika Lembaga pengarah membuat keputusan untuk menutup juga operasi, Lembaga pengarah dan pemegang saham telah melanggar peruntukan Akta Syarikat Amanah 1949 dan boleh didakwa di Mahkamah.

 

Begitulah ketatnya undang-undang yang mengikat syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Bagusnya peruntukan ini kepada masyarakat ialah terdapat jaminan bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad akan terus wujud untuk membantu waris pelanggan dalam melalui  70% proses perundangan selepas kematian pelanggan. Di Australia saya pernah bermesyuarat dengan syarikat amanah yang berusia 150 tahun!

 

Masyarakat perlu faham bahawa buat dokumen semata-mata tidak menjamin hasrat pembahagian harta kita akan tercapai kerana ia hanyalah 30% dari keseluruhan proses. Lebih penting lagi , kita perlu pastikan selepas kita mati,  70% proses perundangan selepas itu dapat dilaksanakan.

 

Bagaimana nak menjamin ini berlaku? Rancanglah harta melalui syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang mempunyai unsur kelangsungan operasi.   

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

 

ariffinsabirin

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH