Bolehkah wasiat juga dibuat secara digital? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 14 June 2023
WasiyyahShoppe

BOLEHKAH WASIAT JUGA DIBUAT SECARA DIGITAL?

 

 

RENTETAN dari artikel saya minggu lepas, ada saya terima pertanyaan jika hibah boleh dibuat secara digital dan dokumennya juga disimpan secara digital seperti yang dibuat oleh Wasiyyah Shoppe Berhad, adakah wasiat juga boleh dibuat secara digital? Adakah wasiat digital itu sah dari segi undang-undang?

 

Saya telah jelaskan bahawa Mahkamah Syariah sudah pun mengeluarkan arahan amalan pada 30 Disember 2018 yang mengesahkan bahawa bahan-bahan bersifat elektronik dan digital boleh diterima sebagai bukti bagi tujuan perbicaraan di Mahkamah Syariah.

 

Ia disokong juga oleh enakmen-enakmen keterangan negeri-negeri yang juga memasukkan bahan elektronik atau digital sebagai bukti.

 

Namun adakah wasiat juga boleh dibuat secara digital ? Ini persoalan yang dikemukakan kepada saya. Secara umumnya wasiat itu sendiri ada dua sudut undang-undangnya.

 

Sudut pertama ialah wasiat dari sudut undang-undang Syariah iaitu yang menceritakan tentang formula pembahagian harta pusaka simati.

 

Contohnya, Ali mungkin telah membuat wasiat semasa hidupnya dan di dalam wasiat itu disebut bahawa harta pusakanya diagihkan kepada semua anak-anak kandungannya secara sama rata di antara lelaki dan perempuan.

 

Prinsip asas kepada wasiat bagi orang Islam ialah apabila pemberian wasiat itu melibatkan waris pada apa kadar sekalipun (peruntukan ini mungkin berbeza mengikut enakmen wasiat negeri-negeri), maka wasiat itu hendaklah mendapat persetujuan daripada semua ahli waris (pihak yang menerima harta pusaka mengikut hukum faraid).


 

parafrasa

 


Namun jika wasiat itu pemberiannya ialah kepada bukan waris (pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid) dan kadarnya tidak melebihi 1/3 , maka ia sah mengikut hukum syarak.

 

Bagi wasiat yang bersifat sebegini, bidang kuasa membicarakannya ialah Mahkamah Syariah.

 

Maka jika wasiat itu dibuat secara digital, pada pandangan saya tiada masalah untuk ia diterima oleh Mahkamah Syariah sebagai bukti simati memang telah membuat wasiat selaras peruntukan arahan amalan 30 Disember 2018 dan enakmen keterangan negeri-negeri.

 

Walaupun begitu, wasiat juga membawa  fungsi pentadbiran iaitu wasiat yang kandungannya ialah tentang pelantikan wasi dan mengarahkan wasi untuk melaksanakan tanggungjawab tertentu bagi tujuan pentadbiran harta pusaka.

 

Wasiat pentadbiran ini jatuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil untuk membicarakannya.

 

Jika wasiat ini kandungannya ialah tentang wasi dan tanggungjawabnya, maka ada kekangan untuk ia dibuat secara digital.

 

Ini kerana di dalam seksyen 2(2) Akta Perdagangan Elektronik 2006 telah menyatakan dengan jelas bahawa akta ini tidak boleh diguna pakai bagi tujuan penyediaan dokumen Surat Kuasa Wakil, Wasiat, Amanah dan Instrumen boleh runding.   

 

Majoriti dari wasiat yang dibuat di dalam Malaysia pada hari ini ialah wasiat yang kandungannya ialah tentang pelantikan wasi dan pastinya wasiat ini akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

Ini bermakna wasiat memang mesti dibuat secara bercetak, ditandatangani dan disaksikan seperti yang sedia ada dibuat hari ini.

 

Banyak juga syarikat amanah dan peguam yang mengguna pakai instrumen-instrumen yang saya sebutkan terkandung di dalam Akta Perdagangan Elektronik di atas sebagai instrumen perancangan harta.

 

Semua instrumen ini tidak boleh dibuat secara elektronik atau digital kerana ia tidak sah daripada segi undang-undang.

 

Jadi jika anda didekati oleh pihak yang mengatakan mereka membuat dokumen digital dan ia melibatkan wasiat yang melantik wasi, surat kuasa wakil atau amanah, maka anda perlu siasat dengan rapi.   

 

 

parafrasa

 

 

Jadi bagaimana pula Wasiyyah Shoppe Berhad boleh menggunakan kaedah digital dalam perancangan harta? Kerana yang kami buat melalui digital itu ialah Hibah yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah bukannya Mahkamah Sivil.

 

Kami telah membuat pelbagai kajian yang memakan masa bertahun-tahun lamanya dan mendapatkan pelbagai input dari pelbagai pihak yang berkepentingan ketika proses pembangunan dokumen hibah digital kami.  

 

Dokumen hibah kami disimpan secara digital di sistem awan sekaligus mengurangkan risiko dokumen itu hilang atau rosak berbanding jika ia disimpan secara fizikal.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Wasiyyah Shoppe unjur pendapatan RM7 juta menerusi aplikasi UsraHDD

 

Namun begitu saya akui bahawa Wasiyyah Shoppe Berhad juga ada membuat dokumen pelantikan wasi yang fungsinya sama seperti wasiat melantik wasi yang saya ceritakan di atas.

 

Ini khususnya bagi pelanggan kami yang kes harta pusakanya akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil (Nilai harta pusaka melebihi RM5 juta). Bagi pelanggan yang nilai harta pusakanya kurang dari RM2 juta, dokumen pelantikan wasi yang kami buat secara percuma untuk mereka, hanyalah bertindak sebagai panduan di dalam pemilihan Pentadbir di dalam bicara kuasa.

 

Tiada pilihan, kami juga terpaksa menyediakan dokumen pelantikan wasi ini secara fizikal dan menyimpannya juga secara fizikal.

 

Namun suka juga saya jelaskan juga bahawa dengan pindaan Akta Pembahagian Pusaka Kecil yang diwartakan pada 2022, nilai harta yang dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil telah dinaikkan dari RM2 juta kepada RM5 juta.

 

Ini bermakna, kebarangkalian besar banyak daripada kes pusaka di Malaysia akan dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil berbanding dengan Mahkamah Tinggi Sivil.


 

parafrasa

 


Wasiat yang melantik wasi itu jika kes dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil (Nilai harta pusaka kurang daripada RM5 juta), ia kurang berfungsi kerana Pejabat Pusaka Kecil akan berkecenderungan untuk mengarahkan waris membawa wasiat itu ke Mahkamah Syariah untuk pengesahan jika terdapat sebarang perbalahan mengenainya.

 

Dari satu sudut, penyediaan dokumen secara digital mungkin membantu kerana Mahkamah Syariah menerima dokumen digital.

 

Namun ia akan menyebabkan waris terpaksa menunggu lebih lama dan melibatkan kos guaman yang lebih tinggi sebelum kes pusaka ini berjaya dimuktamadkan.

 

Tentu ada tertanya-tanya apalah susahnya proses perundangan di Malaysia ini. Asal persoalan ialah apa dokumen yang boleh dibuat secara digital sahaja tetapi rupa-rupanya ia melibatkan juga bidang kuasa mahkamah Sivil dan Syariah.

 

Kenapalah tidak kita ringkaskan dan integrasikan sahaja semua urusan. Usaha mengintegrasikan segala undang-undang ini sebenarnya telah pun dibincangkan di pelbagai forum semenjak bertahun-tahun lamanya. Saya pun secara peribadi terlibat di dalam proses ini semenjak awal 2010 lagi.

 

Namun ianya tidaklah semudah yang difikirkan kerana apabila kita ingin menyeragamkan undang-undang, ia melibatkan kedua-dua bidang kuasa undang-undang Sivil (bidang kuasa Parlimen) dan undang-undang Syariah (bidang kuasa Dewan Undangan Negeri).

 

Dari pemerhatian saya, kedua-dua Persekutuan dan Negeri mempunyai keutamaan masing-masing dan susah untuk berkompromi.

 

Jadi jika anda ingin merancang harta anda menggunakan kaedah digital, gunalah perkhidmatan syarikat amanah yang benar-benar tahu apa yang dilakukannya. Jangan hentam kromo sahaja kerana dokumen digital anda berisiko untuk tidak sah!

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

  KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags