Dalam pengurusan harta pusaka pun ada ungka? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 02 Aug 2021 07:50 AM
WasiyyahShoppe

DALAM PENGURUSAN HARTA PUSAKA PUN ADA UNGKA?

 

SEMINGGU ini kita disajikan dengan pelbagai gelagat umpama di zoo oleh ahli Parlimen para yang berhormat yang kita pilih untuk mewakili suara dan membeli nasib kita. Riuh rendah keadaan di Parlimen bila seseorang YB bercakap kerana akan ada lebih ramai lagi YB lain yang bercakap dengan lebih kuat untuk cuba menenggelamkan suara YB yang pertama tadi. Maki hamun kelihatan sudah tidak terkawal apabila emosi menguasai diri.

 

Suasana hiruk pikuk ini mengingatkan saya ketika zaman remaja di kampung. Hobi saya pada hujung minggu ketika itu ialah masuk ke hutan seorang diri mencari rebung buluh dan pucuk manis untuk dijadikan lauk. Selalu saya terserempak dengan ungka, sejenis spesis monyet yang biasanya bermain di pucuk pokok. Kalau disergah, ungka-ungka ini akan menyahut dengan kuat, lebih kuat dari suara kita.

 

Saya suka berulang kali menyergah mereka kerana terhibur dengan respon mereka yang akan menyahut dengan lebih kuat lagi. Tersenyum sebentar mengingatkan saya kepada gelagat ungka-ungka ini.

 

Maaf ya para YB kalau terasa dengan kenyataan ini. Hakikatnya inilah pandangan rakyat terhadap YB-YB hari ni. Kita faham  YB-YB ini ada pandangan berbeza dan berjuang untuk kepentingan parti politik masing-masing, tapi saya percaya rakyat ketika ini mengharapkan YB-YB meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik sempit mereka.

 

Namun seperti biasa, saya tidaklah berniat untuk mengulas panjang lebar hal politik Malaysia yang sangat menyesakkan nafas dan fikiran ini. Saja nak sentuh sikit supaya YB-YB ini tahu apa perasaan rakyat.

 

Dalam artikel kali ini saya nak memberi perspekstif kepada para pembaca bahawa ungka ini juga biasa ditemui dalam urusan harta pusaka! Bila waris-waris mula menegakkan pandangan, merasa tamak dan cuba mempertahankan ‘hak’ mereka, maka maki hamun dengan suasana dan perkataan seperti di Parlimen itu pun akan keluar dari mulut mereka.

 

Malah saya pernah dengar perkataan yang sangat kasar dihambur adik kepada abangnya dan sebaliknya. Adik-beradik ini saling bertuding jari sambil mencekak pinggang sambil memaki hamun antara satu sama lain sama seperti di Parliamen!

 

Tersentak dan tak sanggup nak saya sebutkan perkataan itu dalam artikel ini kerana secara logiknya mustahil dalam keluarga Islam mana-mana pun, perkataan itu akan dihamburkan.

 

Saya tak percaya ada mana-mana ibu bapa akan ‘approve’ anak-anaknya menghambur perkataan seperti itu. Urut dada mendengar dan melihatnya. Dalam fikiran selalu tertanya bagaimanakah agaknya kalau ibu bapa ini masih hidup dan melihat gelagat anak-anak mereka.  

 


 

WasiyyahShoppe



 

 

Selama 23 tahun, saya istiqomah mendidik masyarakat supaya rancanglah harta mereka. Buatlah hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah supaya anak-anak ini tidak terjebak dengan situasi  ‘ungka’ ini  selepas kematian ibu bapa.

 

Bila datang urusan harta, saya selalu nasihatkan masyarakat supaya terlebih sedia dari terkurang sedia. Jika apa-apa perbalahan berlaku antara  waris-waris kita selepas kematian kita, sudah tiada apa mampu dibuat. Takkanlah kita nak bangkit dari kubur pulak!

 

Saya percaya semua ibu bapa di luar sana termasuk saya sendiri telah berusaha sedaya-upaya dalam kemampuan sendiri untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak kita. Kita mahu meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah sebagai saham kita di alam barzah dan akhirat. 

 

Tetapi kita perlu faham walau sebaik manapun didikan kita kepada anak-anak, akan sentiasa wujud faktor di luar kawalan kita yang akan mempengaruhi anak-anak dalam urusan harta pusaka selepas kematian kita.

 

Antara faktor paling ketara mempengaruhi anak-anak ialah pasangan mereka. Kita memang telah mendidik mereka sebaik mungkin tetapi sebaik sahaja  mereka berkahwin, pandangan pasangan akan kuat mempengaruhi tindakan dan keputusan mereka.

 

Dalam satu kes dua beradik putus hubungan kerana faktor pasangan ini. Si adik lelaki ini awalnya mahu menyerahkan sahaja haknya ke atas barang kemas milik ibunya kepada kakak sebagai membalas jasa kakak berkorban membantu menampung perbelanjaannya ketika dia belajar di universiti.

 

Molek saya nampak dua beradik ini masa bermuafakat, bermaaf-maafan, berpelukan dan menangis. Syahdu sungguh. Esoknya saya dapat panggilan si adik lelaki yang mengatakan dia tak jadi nak serah hak dia ke atas barang kemas itu. Selepas dikorek, barulah dia cerita isteri dia marah bila dia lepaskan hak itu kerana isterinya juga berminat dengan barang kemas itu!

 

Faktor luar kawalan lain yang juga mempengaruhi ialah kedudukan ekonomi sesama waris. Ketika ibu bapa mati, ada waris yang hidupnya mewah dan ramai juga waris yang hidup dalam keadaan tertekan akibat pandemik sekarang.

 

Yang mewah akan rasa tiada keperluan untuk mempercepatkan urusan pusaka tetapi yang hidup terdesak pula akan mahukan proses dibuat segera. Yang terdesak mungkin merasakan yang mewah tak perlu tuntut harta pusaka kerana harta mereka sendiri memang sudah banyak tetapi yang mewah pula merasakan ‘hak’nya tetap wajib dituntut kerana ia hukum!

 


 

WasiyyahShoppe

 


 

Seorang adik yang duduk di kampung berpatah arang dengan abangnya akibat tindakan si abang menuntut kembali ‘hutang’ yang didakwa diberikan olehnya kepada arwah ayah semasa hidup. Abang mendakwa ‘hutang’ itu diberikannya ketika arwah ayah ingin melangsungkan majlis walimatul urus adiknya.

 

Kerana si abang berjawatan tinggi dan berkemampuan, dia bersetuju memberikan ‘hutang’ tersebut kepada arwah ayah. Selepas arwah ayah meninggal dunia, si abang menuntut ‘hutang’ itu selain dari haknya mengikut hukum faraid ke atas harta pusaka ayah.

 

Si adik merasakan abang tidak adil kerana berhasrat mengambil alih majoriti dari harta arwah ayah termasuk kebun yang selama ini diusahakan dan menjadi punca pendapatannya. Maka berlakulah kejadian ‘berungka’ antara dua beradik ini dan mereka sudah tidak bertegur sapa semenjak itu.

 

Ada banyak situasi lain juga memungkinkan ungka wujud dalam urusan harta pusaka. Tak kiralah waris yang ditinggalkan itu berpendidikan tinggi atau tidak, berharta atau miskin, godaan harta ini sangat berat dan mampu memusnahkan institusi kekeluargaan jika tidak diurus dengan baik.

 

Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita, “Sesungguhnyaa pada setiap umat ada fitnahnya dan fitnah kepada umatku ialah harta.” ( Hadis Riwayat Tirmidzi ).

 

Anda tidak mahu anak-anak bertukar rupa wajah menjadi ungka dalam urusan harta pusaka? Jika anda tidak mahu, datanglah ke Wasiyyah Shoppe Berhad bagi tujuan merancang harta anda sama ada melalui hibah, wasiat, harta sepencarian atau amanah.

 

Insya-Allah perancangan harta dengan kaedah yang tepat mampu mengharmonikan waris-waris dan mengelak mereka dari bertukar menjadi ungka!  

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

      

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH