Hari Raya waktu yang baik bincang hal pusaka? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 09 May 2022 08:08 AM
Wasiyyah

HARI RAYA WAKTU YANG BAIK UNTUK BINCANG HAL PUSAKA ?

 

 

 

Alhamdulillah tahun ini kita direzekikan Allah SWT untuk berhari raya bersama keluarga tercinta selepas dua tahun tidak dapat menikmati saat-saat bahagia seperti ini.

 

Perantau sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas berjam-jam lamanya semata-mata untuk bertemu orang-orang tersayang.

 

Pusat membeli-belah dihurung pengunjung sehingga habis stok ! Mood hari raya 2022 ini memang luar biasa.

 

Lalu ditanyakan kepada saya soalan ini, “Adakah hari raya waktu yang paling baik untuk bincang hal pusaka dengan adik-beradik lain memandangkan semua sudah berkumpul? Waktu lain susah nak kumpulkan waris sebab semua orang sibuk”.

 

Sebenarnya tiada jawapan ya ataupun tidak secara tepat untuk soalan ini. Tengok pada keadaannya bagaimana.

 

Ya hari raya waktu yang terbaik untuk berbincang hal pusaka kerana semua adik-beradik/ waris dapat berkumpul pada waktu yang sama. Namun nak bercerita tentang pusaka dalam mood hari raya ini agak ‘tricky’ dan ‘sticky’.

 

 

Wasiyyah

 

 

Mari kita tengok apa isu asas yang perlu dibincangkan bila kita bertemu di hari raya ini. Isu pertama ialah urusan pentadbiran harta pusaka. Contohnya siapa yang mahu menjadi pemohon kepada permohonan pusaka tersebut. Pemohon ini adalah waris yang akan mengisi borang permohonan bicara kuasa (bagi kes di Pejabat Pusaka Kecil) atau berurusan dengan peguam (bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil).

 

Dialah yang perlu bersusah-payah memastikan semua dokumentasi lengkap diperoleh dan proses mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian (Pejabat Pusaka Kecil) atau Grant of Probate atau Letter of Administration dan Distribution Order (Mahkamah Tinggi Sivil) berjalan lancar.

 

Tidak mudah tanggungjawab sebagai pemohon ini kerana dia juga akan bertindak sebagai Pentadbir dalam urusan ini. Apabila namanya telah tercatat sebagai Pentadbir, maka dialah yang boleh menuntut akaun simati di bank, menukar nama kereta simati kepada namanya, memindah milik saham syarikat simati kepada namanya dan banyak lagi kuasa yang ada pada Pentadbir. Dia perlu amanah dalam urusan ini.

 

Dalam menjalankan tanggungjawab ini , ada juga perbelanjaan yang perlu dikeluarkan seperti fi mendapatkan carian rasmi di pejabat tanah di daerah / negeri  di mana simati mempunyai hartanah. Ini tidak termasuk perbelanjaan minyak dan tol serta penginapan sekiranya dia terpaksa tidur di hotel bagi tujuan melaksanakan tanggungjawab ini.

 

Apabila perintah-perintah di atas telah dikeluarkan, ada fi pula yang perlu dibayar kepada Pejabat Pusaka Kecil / Mahkamah Tinggi Sivil. Ketika pengeluaran perintah-perintah ini, harta pusaka belum lagi dituntut. Maka waris perlu mendahulukan duit sendiri bagi membayar. Dalam banyak keadaan, Pentadbir itulah yang terpaksa menanggungnya.  

 

Walaupun secara prinsipnya semua perbelanjaan ini boleh dituntut semula dari harta tersebut, namun hakikatnya ada sahaja waris-waris yang akan tidak bersetuju untuk membayar semula fi dan perbelanjaan ini atas pelbagai sebab.

 

Oleh kerana semua urusan ini hanya boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja, Pemohon juga terpaksa mengorbankan waktu peribadinya bagi meluangkan masa menjalankan tanggungjawab ini. Selepas dilantik sebagai Pentadbir, dia juga perlu amanah dalam mengagihkan semula harta itu kepada  semua waris-waris yang berhak atau formula agihan yang disepakati waris-waris. 

 

 

Wasiyyah

 

 

Jadi dalam perbincangan dengan waris di hari raya nanti pastikan semua isu pentadbiran ini dibincangkan sebaiknya. Semua waris termasuk Pentadbir perlu jelas dengan urusan yang akan dijalani dan bebanan tanggungjawab dan kos kepada Pentadbir. Kalau kita meyakini hubungan kita dengan waris lain baik dan permuafakatan boleh dicapai, bolehlah kita bincang hal pentadbiran pusaka di hari raya nanti.

 

Perkara kedua yang tidak boleh tidak mesti juga dibincangkan walaupun ia agak sensitif  untuk ‘navigate’ dalam perbincangan di hari raya nanti ialah permuafakatan tentang formula agihan harta pusaka. Semua waris perlu difahamkan tentang hak masing-masing mengikut hukum faraid serta tanggungjawab mereka. Mereka juga perlu faham hal-hal hukum lain yang berkaitan dengan harta pusaka.

 

Ada banyak isu yang bakal dibangkitkan waris di sini. Antara isu paling banyak yang pernah saya jumpa ialah isu ayah atau ibu ada ‘berwasiat’ memberi harta itu dan ini kepada sipolan dan sipolan. Akan ada waris yang mendakwa mereka telah pun diwasiatkan supaya mendapat harta itu dan ini walaupun ‘wasiat’ ini hanyalah secara mulut sahaja.

 

Di sini waris perlu difahamkan sepenuhnya hukum berkaitan wasiat dan hibah. Wasiat dalam Islam hanya sah apabila pemberian itu terhad kepada 1/3 sahaja dan penerimanya ialah pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid.

 

Kalau wasiat kepada waris seperti anak-anak, pasangan atau sesiapa sahaja, maka wasiat itu tidak sah bila tidak dipersetujui oleh waris-waris selepas kematian pewasiat. Ada kemungkinan waris yang telah menerima wasiat tetapi kemudiannya wasiat itu terbatal, akan tidak berpuas hati.  

 

Hibah pula berkuatkuasa semasa hidup pemberi hibah dan semua rukun dan syarat telah disempurnakan. Berbeza dengan wasiat, hibah boleh diberikan pada kadar berapa banyak pun dan penerimanya pula boleh terdiri dari sesiapapun baik waris mahupun bukan waris. Ada kemungkinan waris yang tidak menerima hibah akan tidak berpuas hati.    

 

 

Wasiyyah

 

 

Jika kita yakin waris akan dapat memahami semua perkara terkait hukum berkaitan harta pusaka ini dan kita juga yakin waris boleh pula bertolak-ansur dan bermuafakat, Insya-Allah sesuai sangat dibincangkan topik pusaka di hari raya ini.

 

Jika waris walaupun seorang ada yang jenis ketegaq atau memang kita tahu bahawa hubungan  adik-beradik kita memang tegang dan memang sensitif dengan isu ini, maka baiklah dielakkan bincang hal pusaka di hari raya ini. Tak kena cara bawanya, ada pula yang akan kemas beg terus balik ke rumah masing-masing nanti. Spoil mood raya.

 

Jadi boleh bincang ke tidak isu harta pusaka masa berkumpul adik-beradik hari raya ini. Jawapannya ialah ya dan tidak bergantung kepada penjelasan saya di atas.  

 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN

 

ariffinsabirin
Tuan Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH