HIBAH LEBIH BAIK DARIPADA PENAMA? MASIH RAMAI PERUNDING TAKAFUL KELIRU DAN MENGELIRUKAN
SEORANG sahabat bertanya kepada saya adakah benar hibah itu lebih baik daripada penama? Katanya ada seorang perunding yang mempromosikan takaful memberitahunya bahawa jika manfaat takaful tidak dibuat hibah, maka ia akan diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid.
Tambah perunding takaful itu lagi, kasihan anak dan isterinya tidak dapat manfaat takaful itu secara mutlak. Terpaksalah mereka berkongsi manfaat itu dengan waris-waris faraid lain seperti ibu bapa atau adik-beradik simati. Jadi perunding takaful itu kata buatlah hibah kerana ia lebih baik dari penama.
Betulkah begitu? tanya kawan saya. Soalan seperti ini sebenarnya telah ditanyakan kepada saya entah yang ke berapa ribu kali sejak Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 diperkenalkan.
Secara objektifnya, pengenalan kaedah hibah bersyarat di dalam Jadual 10 itu tujuannya ialah untuk memberi fleksibiliti kepada peserta takaful untuk menghibahkan manfaat takafulnya kepada sesiapa yang dikehendaki. Dia boleh menghibahkan manfaat itu secara tepat kepada pasangan atau anak-anak mengikut formula yang dia pilih.
Namun kaedah penamaan juga disebut di dalam Jadual 10 yang mana peserta takaful boleh meletakkan penama bagi menerima manfaat takafulnya. Jadi kedua-dua kaedah ini ada disebut di dalam akta itu. Seperti hibah, peserta takaful juga boleh meletakkan sesiapa pun sebagai penamanya.
Persoalan ini masih ramai perunding takaful terkeliru dan apabila ia tidak cuba difahami secara total dalam konteks harta pusaka itu sendiri, mereka membawa pula kefahaman yang mengelirukan ini ke dalam masyarakat.
Namun saya akui ramai juga perunding takaful yang sangat jelas dan memahami perbezaan di antara hibah dan penama dengan baik dan mereka ini memberi penerangan yang tepat kepada masyarakat.
Sebenarnya tidak timbul langsung isu yang mana lebih baik sama ada hibah atau penama. Kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza. Sama ada kita pilih hibah atau penama, ia bergantung kepada keperluan kita sendiri.
Perunding takaful mempunyai tanggungjawab dan amanah untuk menyampaikan maklumat ini dengan betul. Saya harap artikel saya ini dapat memberi sedikit panduan.
Faktor paling penting yang perlu dilihat ialah portfolio aset kita sendiri. Jika kita tahu dengan jelas bahawa jumlah hutang kita melebihi dari jumlah aset, maka keperluan yang lebih besar ialah untuk kita membuat penamaan sahaja terhadap polisi takaful kita. Hibah tidak akan membantu mengatasi masalah penjelasan hutang.
Kenapa saya berhujah begini? Kerana hutang simati WAJIB diselesaikan dari harta pusakanya.
Apabila kita membuat penamaan untuk polisi takaful kita, penama itu tertakluk ke atas hukum yang berkaitan dengan harta pusaka. Penama itu perlu bekerjasama dengan wasi (Pentadbir) harta pusaka simati untuk mengumpulkan semua aset simati.
Selepas aset ini dikumpulkan, dilihat pula hutang-hutang simati yang masih ada. Aset-aset ini perlu digunakan untuk membayar kesemua hutang simati.
Barang perlu saya ingatkan, hutang ini bukan sahaja hutang rasmi yang berdokumen seperti hutang kad kredit, perumahan atau pinjaman peribadi sahaja, ia juga meliputi hutang persendirian kepada individu dan pastinya hutang kepada Allah SWT seperti zakat, nazar dan kifarah yang tertunggak atas simati.
Selepas diselesaikan hutang di atas, dilihat pula kepada wasiat simati. Adakah simati ada membuat wasiat yang menyatakan hasratnya untuk mewasiatkan hartanya kepada mana-mana bukan waris pada kadar maksimum 1/3 seperti yang dibenarkan oleh hukum syarak?
Jika ada, maka baki harta pusaka selepas ditolak hutang di atas, perlu ditolak pula dengan wasiat ini.
Seterusnya dilihat pula sama ada simati ada membuat pengisytiharan harta sepencarian untuk pasangannya atau jika tiada, adakah pasangan ingin menuntut harta sepencarian dari baki harta pusakanya atau harta tertentu.
Jika tuntutan ini dipersetujui oleh waris-waris atau telah disahkan oleh Mahkamah Syariah, baki harta pusaka selepas ditolak hutang dan wasiat, akan ditolak pula harta sepencarian.
Menjadi tanggungjawab utama wasi untuk memastikan semua obligasi ke atas harta pusaka di atas dijelaskan sepenuhnya sebelum baki harta pusaka itu diagihkan kepada waris-waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Polisi takaful yang diletakkan penama ialah harta pusaka dan ia WAJIB diuruskan secara kolektif seperti yang saya jelaskan di atas.
Sebaliknya sekiranya kita tahu secara tepat bahawa jumlah aset kita mengatasi jumlah hutang, maka bolehlah kita membuat hibah dengan meletakkan nama pasangan dan anak-anak sebagai penerima hibah itu.
Kita tahu secara tepat manfaat takaful itu tidak diperlukan untuk membayar hutang kita kerana jumlah harta yang ditinggalkan telah mencukupi.
Manfaat takaful yang telah dihibahkan tidak akan termasuk sebagai harta pusaka dan akan diterima secara mutlak oleh penerima hibah.
Maka dapatlah penerima hibah menikmati manfaat takaful itu secara total bagi tujuan meneruskan kehidupannya dengan selesa walaupun selepas ketiadaan kita.
Namun apa yang peliknya, hari ini saya dihujani juga oleh persoalan bolehkah peserta takaful itu mengarahkan penerima hibah untuk menjelaskan hutangnya sama seperti fungsi penamaan di atas?
Inilah yang ditanyakan oleh sahabat saya tadi kerana katanya perunding takafulnya menasihatkan seperti itu. Arahkan isterinya untuk membayar hutang dari manfaat takaful itu.
Jawapannya ialah ‘BOLEH’ tapi sama ada penerima hibah akan laksanakan arahan itu atau tidak adalah sepenuhnya di atas kerelaan dia.
Jika dia setuju OK tetapi jika dia enggan, maka tiada peruntukan undang-undang atau hukum syarak yang boleh menetapkan dia membayarkan hutang simati itu.
Wasi (Pentadbir) harta pusaka juga tidak boleh memaksa penerima hibah untuk mengumpulkan manfaat takaful itu di dalam harta pusaka bagi melalui proses pusaka yang saya huraikan di atas kerana ia telah menjadi milik mutlak penerima hibah.
Maka bagi orang yang mempunyai jumlah hutang mengatasi aset, saranan saya pilihlah kaedah penamaan. Ia akan memastikan hutang kita dijelaskan.
Sebagai pemilik harta kitalah yang bertanggungjawab terhadap diri sendiri untuk memastikan hutang kita dijelaskan dengan memastikan polisi takaful kita diletakkan penamaan sahaja.
Bagi orang yang jumlah asetnya mengatasi jumlah hutang, maka hibah adalah opsyen yang terbaik kerana ia akan memastikan orang yang kita kehendaki menerima manfaat itu secara mutlak.
Dengan penerangan serba sedikit ini saya harap rakan perunding takaful di luar sana dapat gambaran jelas bagaimana untuk menerangkan kepada pelanggan kita perbezaan di antara hibah dan penamaan.
Tiada mana-mana lebih baik dari yang lainnya kerana setiap satu ada fungsi tersendiri. Fahami isu ini dengan baik supaya kita boleh bekerja bukan sahaja untuk mendapat pendapatan tetapi juga keberkatan. Insya-Allah.