KALAU ADA WASIAT MELANTIK WASI, KOS PENGURUSAN PUSAKA LEBIH MAHAL?
PERBINCANGAN kita minggu ini semakin menarik kerana selepas artikel saya minggu lepas, masih ramai yang tertanya-tanya benarkah jika ada wasiat, kos pengurusan pusaka akan menjadi lebih mahal berbanding jika tidak ada wasiat?
Sebelum terkeliru, awal-awal penulisan ini saya nak tegaskan bahawa perbincangan kita tentang wasiat ini HANYALAH berkaitan dengan wasiat yang melantik wasi dan TIADA KAITAN dengan wasiat pembahagian harta pusaka. Dalam erti kata lain, kita membincangkan isu WASIAT PENTADBIRAN sahaja.
Isu wasiat yang membahagikan harta pusaka telah kita bincangkan secara terperinci sebelum ini dan perbincangan berkaitan kos pengurusan pusaka minggu ini tiada kaitan dengan wasiat membahagikan harta pusaka. Boleh rujuk penulisan saya di kolum ini.
Wasiat pentadbiran ini sebenarnya memang wujud di dalam Islam dan ia dipanggil WISOYAH. Fungsi wisoyah ialah untuk melantik seseorang atau sesuatu pihak untuk mengambil tanggungjawab menguruskan harta pusaka selepas kematian simati.
Namun di Malaysia, bagi menyesuaikan dengan undang-undang sivil, dokumen yang melantik wasi ini tidak dipanggil wisoyah sebaliknya dipanggil wasiat.
Namun ini menyebabkan wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat termasuk juga pengamal undang-undang kerana menurut Seksyen 2 Akta Wasiat 1959, “Akta ini tidak terguna pakai kepada orang yang menganut agama Islam dan kuasa mewasiat seperti di dalam akta ini tidak akan memberi kesan kepada orang Islam.”
Perbincangan tentang kekeliruan wasiat mengikut Akta Wasiat 1959 ini Insya-Allah akan kita bincangkan di dalam artikel yang akan datang.
Apabila seseorang atau sesuatu pihak dilantik sebagai wasi, tanggungjawabnya bukan sekadar menguruskan harta pusaka itu dari sudut pengumpulan semua harta pusaka, pembayaran hutang dan pengagihan harta pusaka kepada waris-waris yang berhak sahaja.
Wasi juga merupakan wakil peribadi (personal representative) kepada simati. Ini bermakna dia boleh menyaman mana-mana pihak dan dia juga boleh disaman oleh mana-mana pihak. Tanggungjawab wasi ada saya ceritakan di dalam artikel saya sebelum ini.
Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Seksyen 43 Akta Probet dan Pentadbiran 1959 juga menyatakan bahawa mana-mana pihak yang menguruskan harta pusaka boleh mengenakan caj untuk perkhidmatannya sehingga 5% dari nilai harta kasar simati.
Contohnya Ali membuat wasiat melantik wasi hari ini. Nilai kesemua harta yang dimiliki Ali hari ini ialah RM500,000. Katakan Ali mati 10 tahun dari sekarang. Ketika itu, di belakang rumah Ali sudah pun ada stesen MRT atau pembangunan lain di persekitarannya yang menyebabkan nilai rumah itu meningkat berlipat kali ganda.
Ketika itu apabila dinilaikan harta Ali (termasuk nilai rumahnya) berjumlah RM3 juta ringgit. Wasi yang dilantik Ali di dalam wasiat itu apabila menguruskan harta pusakanya, berhak mengenakan caj sehingga 5% dari nilai harta pusaka kasar (sebelum ditolak hutang).
Ini bermakna wasi itu boleh mengenakan caj sehingga RM150,000 (5% dari RM3 juta) walaupun nilai harta pusaka bersih yang diagihkan kepada waris-waris mungkin kurang dari RM 3 juta selepas ditolak semua hutang Ali.
Perlu juga diambil perhatian bahawa caj pengurusan pusaka ini tidak termasuk kos-kos rampaian lain yang mungkin timbul dari pengurusan harta pusaka seperti kos penilai harta (jika perlu), kos peguam, kos carian, kos percetakan, kos perjalanan dan sebagainya.
Sebagai wasi, semua harta alih seperti wang tunai akan dikumpulkan oleh wasi terlebih dahulu. Ini kuasa wasi. Oleh itu wasi boleh mengambil caj pengurusan pusaka (yang disebutkan di atas) yang berhak ke atasnya terlebih dahulu sebelum baki harta pusaka yang tinggal diagih kepada waris-waris.
Jika simati meninggalkan wang tunai yang banyak, maka tiada masalah untuk wasi menolak cajnya dari harta pusaka namun ada juga saya temui kes-kes di mana wang tunai yang ditinggalkan simati tidak cukup untuk membayar caj-caj tersebut atau simati langsung tidak meninggalkan wang tunai sebaliknya hanya meninggalkan hartanah sahaja.
Dalam keadaan di atas, bagaimana caj-caj yang banyak ini akan dibayar? Boleh rujuk penulisan saya minggu lepas. Ada saya ceritakan (klik di sini).
Sekali lagi saya jelaskan, caj pengurusan pusaka ini dikenakan kerana wasi bukan sahaja menguruskan harta pusaka, malah memegang liabiliti perundangan sebagai wasi. Caj yang dikenakan ini tidak bertentangan dengan undang-undang mahupun hukum syarak kerana segala caj yang berkaitan dengan urusan harta pusaka memang boleh ditolak dari harta pusaka simati.
Wasi boleh dilantik dalam kalangan syarikat amanah profesional (termasuk Wasiyyah Shoppe Berhad) ataupun individu dalam kalangan ahli keluarga. Kebiasaannya caj pengurusan pusaka seperti yang saya ceritakan di dalam artikel ini hanya dikenakan oleh syarikat amanah atau mungkin juga peguam (jika peguam dilantik untuk menguruskan kes ini).
Jika individu pula yang dilantik sebagai wasi terutamanya dalam kalangan waris-waris, kebiasaannya mereka tidaklah mengenakan caj pengurusan pusaka yang rigid seperti di atas kerana mereka juga merupakan waris yang mendapat bahagian.
Jadi jika tiada wasiat melantik wasi dibuat oleh simati, berapakah pula kos pengurusan pusakanya? Apabila tiada wasi dilantik, maknanya waris-waris bebas untuk memilih dalam kalangan mereka siapa yang akan menjadi pentadbir (jika tiada wasiat yang melantik wasi, maka Pentadbir yang akan dilantik) atau mereka boleh juga melantik syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai Pentadbir (Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah 1949 memberi kuasa kepada Wasiyyah Shoppe untuk menjadi Pentadbir).
Implikasi kos bagi pentadbir individu atau syarikat amanah ini adalah sama situasi jika terdapat wasi yang telah saya ceritakan di atas. Perbezaan utama ialah jika tiada wasiat yang melantik wasi (bagi kes di Mahkamah Tinggi Sivil terutamanya), waris-waris boleh mengurangkan kos pengurusan pusaka dengan memilih sesama mereka sebagai pentadbir.
Kesimpulannya, apabila ada wasiat melantik wasi dan wasi itu ialah syarikat amanah profesional, maka pastinya kos pengurusan pusakanya adalah lebih tinggi berbanding dengan waris individu yang dilantik sebagai wasi/pentadbir. Kosnya lebih tinggi kerana tanggungjawab dan liabiliti yang ditanggung syarikat amanah.
Namun masyarakat harus faham juga bahawa dalam keadaan tertentu, memang terdapat kelebihan perundangan yang sangat ketara jika syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad yang dilantik sebagai wasi.
Setiap apa yang kita buat ada kelebihan dan kekurangannya. Terserah kepada kebijaksanaan kita memilih mengikut keperluan kita. Insya-Allah saya akan ceritakan kelebihan dan kekurangan ini dalam artikel akan datang.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH