Kenapa lebih baik merancang harta melalui syarikat amanah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 22 March 2023
wasiyyah

KENAPA LEBIH BAIK MERANCANG HARTA MELALUI SYARIKAT AMANAH?

 

 

 

SOALAN ini masih ditanyakan kepada saya oleh masyarakat di luar sana yang tidak memahami bidang kuasa syarikat amanah dan peranannya.

 

Peningkatan permintaan dari masyarakat untuk perkhidmatan berkaitan harta dan harta pusaka juga telah menyebabkan banyak individu atau syarikat muncul di dalam pasaran dengan pelbagai penawaran ibarat tumbuhnya cendawan selepas hujan. 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad ialah sebuah syarikat amanah yang berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) dan regulatornya ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Akta ini memberi kuasa khusus kepada syarikat amanah seperti kami untuk bertindak bagi kepentingan masyarakat terutama dalam urusan harta dan harta pusaka.  

 

Bidang kuasa ini adalah seperti yang tercatat di dalam Seksyen 8 akta tersebut. Wasiyyah Shoppe Berhad boleh dilantik sebagai wasi, pentadbir harta pusaka, pemegang amanah harta untuk individu atau organisasi, penjaga harta untuk anak di bawah umur atau orang tidak waras fikiran, pengurus harta alih dan tidak alih dan pelbagai kuasa yang lain.

 

 

wasiyyah

 

Ini bermakna masyarakat yang berurusan dengan syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad bagi urusan berkaitan harta atau harta pusaka mereka boleh merasa yakin dan tenang bahawa mereka berurusan dengan entiti yang sah, legit dan berbidang kuasa.

 

Apa risiko jika urusan harta pusaka dan pusaka ini dibuat dengan syarikat atau entiti yang tidak berdaftar di bawah akta ini?

 

Risiko yang paling jelas ialah selain syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad, tiada syarikat atau entiti lain yang memiliki bidang kuasa sah bagi melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab di atas.

 

Saya faham ada banyak sahaja syarikat bukan amanah atau individu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan penghartaan di luar sana dan daripada segi undang-undang anda memang tidak diwajibkan untuk berurusan dengan syarikat amanah, namun anda perlu jelas bahawa tanggungjawab yang anda berikan kepada mereka berisiko untuk tidak dilaksanakan kerana mereka tidak terikat dengan apa-apa undang-undang yang berkaitan.

 

Mereka bebas untuk cuci tangan dan tidak bertanggungjawab dengan urusan itu pada bila-bila masa.

 

Ada juga masyarakat yang tersalah anggap bahawa asalkan syarikat atau entiti itu berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016, maka ia syarikat yang berbidang kuasa menjalankan peranan dalam urusan penghartaan.

 

Sangkaan ini adalah SALAH SAMA SEKALI.

 

Syarikat yang berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016 boleh menjalankan apa sahaja perniagaan seperti yang termaktub di dalam pelembagaan  seperti perniagaan pertanian, perlombongan, perkhidmatan, perkilangan dan sebagainya namun ia tidak secara automatik mempunyai kuasa menjalankan peranan seperti syarikat amanah di bawah Akta Syarikat Amanah 1949. Ini adalah dua akta yang berbeza.

 

Sebagai entiti perniagaan, Wasiyyah Shoppe Berhad juga merupakan syarikat berhad yang berdaftar dan beroperasi di bawah Akta Syarikat 2016. Namun bagi menjalankan perniagaan sebagai sebuah syarikat amanah, kami memohon pula untuk berdaftar di bawah Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

 

wasiyyah

 

 

Permohonan kami perlu dikemukakan melalui kertas kerja yang lengkap dari segi operasi syarikat, kekukuhan kewangan dan kehadiran pasukan pengurusan profesional yang berpengetahuan dan berpengalaman.

 

Profil lengkap panel syariah yang memastikan kepatuhan syariah produk dan perkhidmatan kami juga diteliti secara terperinci.

 

Ahli Lembaga Pengarah kami perlu melalui proses saringan yang ketat. Tiada orang bankrap, sedang berdepan proses perundangan, mempunyai rekod jenayah atau dikategorikan sebagai individu berisiko tinggi  boleh disenaraikan sebagai ahli Lembaga pengarah.

 

Malah pelantikan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat oleh Lembaga Pengarah juga tidak sah selagi belum lulus proses saringan dan temuduga yang dihadiri empat orang panel Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

Di dalam temuduga yang memakan masa beberapa jam itu saya ditanya pelbagai soalan mengenai tanggungjawab syarikat amanah dan peranan saya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. 

 

Setiap enam bulan sekali, kami perlu menghantar laporan aktiviti syarikat kepada SSM selain daripada laporan audit tahunan. Kami juga diperlukan untuk mempunyai standard tadbirurus korporat sebaik syarikat senaraian awam (public listed companies).

 

Operasi kami sekiranya melibatkan peranan sebagai pemegang amanah untuk instrumen berkaitan pasaran modal, juga dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti.

 

 

wasiyyah

 

 

Kenapa SSM sangat tegas dan cermat dalam memantau operasi syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad?

 

Kerana bidang kuasa kami di dalam Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) itu amat luas terutamanya dalam hal harta dan harta pusaka. SSM sebagai regulator mahu memastikan bahawa kami berkapasiti memberikan perkhidmatan bersesuaian dengan kuasa itu sekaligus melindungi kepentingan masyarakat yang berurusan dengan kami.       

 

Situasi ini sangat berbeza dengan syarikat sdn bhd biasa yang hanya berdaftar di bawah Akta Syarikat 2016.

 

Sesiapapun bebas menjadi ahli Lembaga pengarah baik ahli keluarga atau pasangan.

 

Syarikat sebegini tiada standard tadbirurus korporat kerana operasi syarikat adalah keputusan mutlak Lembaga pengarah yang boleh membuat apa sahaja keputusan mengikut kesesuaian keadaan.

 

Sesiapapun bebas menjadi ketua pegawai eksekutif atau peneraju syarikat walaupun tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan di dalam bidang penghartaan.

 

Malah saya juga pernah berjumpa dengan syarikat sebegini yang penerajunya berstatus bankrap!

 

Bukankah masyarakat terdedah kepada pelbagai risiko apabila berurusan perkara-perkara penghartaan dengan syarikat sdn bhd begini?

 

 

wasiyyah

 

 

Urusan penghartaan ini adalah urusan jangka panjang. Apa akan jadi kepada urusan anda jika syarikat sdn bhd atau individu ini telah menutup operasi atau telah mati lebih awal dari anda ?

 

Apakah jaminan urusan yang anda telah bayar dan serahkan kepada mereka akan dilaksanakan dengan sempurna?

 

Wasiyyah Shoppe Berhad berbeza kerana mengikut Seksyen 33 Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100) , sekiranya kami ingin menutup operasi, selain peruntukan Akta Syarikat 2016, kami juga perlu mendapatkan perintah mahkamah.

 

Mahkamah dalam memutuskan untuk memberikan kebenaran akan mempertimbangkan faktor sama ada kami telah menyelesaikan semua obligasi kami kepada 80,000 pelanggan kami yang mana mustahil kami boleh menjelaskan obligasi ini dalam sesuatu masa.

 

Dalam erti kata lain, Wasiyyah Shoppe Berhad perlu terus beroperasi walaupun saya sebagai pemegang saham, Lembaga pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif telah mati!

 

Unsur kelangsungan perniagaan inilah yang menjadi faktor utama perbezaan operasi syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad jika dibandingkan dengan syarikat sdn bhd.

 

Ada jaminan bahawa walaupun anda meninggal dunia 40 tahun akan datang pun, Wasiyyah Shoppe Berhad masih berada di situ untuk membantu waris-waris anda dalam urusan harta dan harta pusaka anda.

 

Di Australia, saya pernah bermesyuarat dengan syarikat amanah yang berusia 150 tahun. Malaysia dan Australia mempunyai undang-undang amanah yang hampir sama kerana kita mengguna pakai British Common Law.

 

 

wasiyyah

 

 

Jadi anda fikirlah sebaik-baiknya sama ada anda ingin menggunakan perkhidmatan syarikat amanah yang legit dan diikat undang-undang atau anda ingin menggunakan perkhidmatan syarikat sdn bhd atau individu yang mana anda terdedah kepada pelbagai risiko.

 

Pilihan di tangan anda. - DagangNews.com

 

 

ariffin sabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags