Nostalgia Wasiyyah Shoppe Berhad 18 tahun | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 30 May 2022 08:18 AM
Wasiyyah

NOSTALGIA WASIYYAH SHOPPE BERHAD 18 TAHUN

 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad mula beroperasi 5 Mei 2004. Kami baru sahaja menyambut ulang tahun yang ke-18 baru-baru ini. Merenung kembali detik-detik permulaan sehingga hari ini, saya menarik nafas panjang.

 

Menarik nafas panjang kerana mengenang semua pengorbanan wang, tenaga, kudrat malah emosi dan kasih sayang yang telah dikorbankan untuk membawa Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga ke tahap  ini.

 

Tidak sedikit pengorbanan yang terpaksa dibuat demi kebaikan semua pihak. Dalam banyak keadaan saya akan berada di dalam dilema kerana perlu membuat keputusan yang tidak popular tetapi perlu dibuat juga.

 

Allah sahajalah yang mengetahui kerana kepada Dialah saya mengadu meratap memohon pertolongan dan panduan.

 

Jujurnya, saya sendiri tidak pernah menyangka Wasiyyah Shoppe Berhad akan pergi sejauh ini semasa kami baru bermula.

 

Saya masih ingat, ketika permulaan dahulu, apa yang menjadi sasaran saya dan pasukan saya ialah hanya untuk berusaha bersungguh-sungguh membantu umat Islam merancang harta secara kaedah Syariah. Kami hanya mahu bekerja dan tidak menetapkan sebarang sasaran ketika itu.

 

Saya orang bank. Sebaik tamat pengajian saya memulakan kerjaya di Citibank dan tiada apa-apa pengetahuan dan pengalaman langsung tentang pewarisan harta mengikut kaedah Syariah.

 

Namun Allah mentakdirkan saya ke jalan ini selepas saya mendengar pembentangan tentang hukum faraid oleh Allahyarham Prof Madya Ridzuan Awang dari UKM ( Al-fatihah untuk Allahyarham ) pada tahun 1998.

 

 

Prof Madya Ridzuan Awang dari UKM
Allahyarham Prof Madya Ridzuan Awang dari UKM banyak memberi dorongan kepada Tn Hj Ariffin Sabirin

 

 

Semenjak pertemuan itu, saya menjadi sangat rapat dengan beliau dan kerap berjumpanya untuk bertalaqqi secara tidak rasmi. Beliaulah mentor pertama saya di dalam bidang ini.

 

Masih jelas di telinga saya beliau berkata, “Enta buatlah satu syarikat bantu orang Islam rancang harta secara Syariah. Ana ada serba-sedikit ilmu dan boleh berkongsi tapi ana tak ada platform. Enta buat ana sokong.” Kadang-kadang saya termimpi Allahyarham datang kepada saya sambil tersenyum. 

 

Saya tidak berhenti di situ malah selepas itu belajar dengan ratusan ilmuwan lain sehinggalah sekarang untuk terus ‘top-up’ ilmu berkaitan pewarisan harta orang Islam.

 

Saya akui bahawa ilmu pewarisan harta di dalam Islam ini sangat luas. Lagi digali lagi banyak rupanya yang tidak kita ketahui. Jadi janganlah sombong dan bangga diri jika ada sedikit ilmu kerana ia sesungguhnya ilmu kita ini hanyalah setitik air di lautan.

 

Walaupun saya sendiri tiada latar belakang syariah tetapi Panel Syariah Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 2004 terdiri daripada individu yang dihormati dan berpengetahuan luas di dalam bidang syariah.

 


 

Dato Hj Nooh Gadut
                                                Dato Hj Nooh Gadut


 

Dipengerusikan oleh Dato Hj Nooh Gadut dengan keahlian Allahyarham Prof Hailani Mujitahir, Allahyarham Dr Ali Baharom, Allahyarham Prof Madya Ridzuan Awang dan Prof Madya Dr Abd Halim El-Muhammady, Wasiyyah Shoppe Berhad membangunkan pelbagai perkhidmatan yang inovatif tetapi tetap patuh Syariah.

 

Selain daripada wasiat, kami juga memperkenalkan kaedah hibah secara sistematik pada tahun 2004 dan kaedah itu terus diperbaiki dan ditambahbaik oleh Panel Syariah selepas itu.

 

Saya sangat bersyukur kerana diketemukan Allah SWT dengan Panel Syariah yang sangat dinamik dan menyokong segala usaha kami.

 

Kini diterajui oleh Dato’ Seri Dr Md Yusup Che Teh sebagai pengerusi dengan keahlian Prof Madya Dr Nasrul Hisyam Nur Muhammad, Dr Mohd Zamro Muda, Dr Noor Lizza Mohd Said, Dr Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani, Tn Hj Sulaiman Kadimi dan Tn Seh Nilamuddin Hassan, kami mara selangkah lagi dengan membuat pelbagai penyelidikan ilmiah bagi memastikan semua perkhidmatan yang kami perkenalkan kepada masyarakat bukan sekadar terhad kepada pengalaman dan pengetahuan kami sahaja malah mencakupi semua pengetahuan ulama-ulama muktabar merentas sempadan dan mazhab.

 


 

Wasiyyah

 

 

 

Kami kini lebih yakin untuk berhujah secara ilmiah tentang perkhidmatan-perkhidmatan kami kerana ia 100% patuh Syariah mengikut standard tempatan dan antarabangsa.

 

Walaupun kadang-kadang kami dikutuk dan dikritik dengan hebat kerana apa yang kami perkenalkan agak terkehadapan di dalam industri dan sering dituduh ‘menjual agama untuk keuntungan’, kami tetap tegar dan yakin dengan apa yang dibuat.

 

Alhamdulillah hari ini penerimaan masyarakat jauh lebih baik berbanding ketika kami baru bermula 18 tahun lepas.   

 

Masih jelas dalam ingatan saya pada 2004 sehingga hampir 2007 hampir tiada orang langsung bercakap tentang hibah tidak seperti hari ini. Saya berkorban wang, tenaga dan masa berceramah siang dan malam di seluruh Semenanjung Malaysia bercakap tentang hibah namun tidak mendapat sambutan.  

 

Hampir tiga tahun saya berkorban segala-galanya. Dengan begitu banyak pengorbanan dilakukan tanpa mendapat hasil yang berbaloi dengan usaha, kadang-kadang terlintas juga rasa kecewa dan menyesal kerana menyertai bidang ini. Saya pernah bekerja di bank dan hidup selesa tetapi memilih jalan yang sukar ini.

 

Namun saya pujuk hati sendiri dan yakin Allah hanya memberikan hambaNya yang terbaik pada waktu yang terbaik. Memang pada ketika itu sangat susah untuk mendidik umat Islam tentang perancangan harta kerana sikap masyarakat yang selalu menganggap merancang harta ini hanya dibuat oleh orang tua yang hidupnya sudah di penghujung. Mereka menganggap orang muda tidak mati.

 

 

2017
Tn Hj Ariffin Sabirin menyampaikan taklimat mengenai hibah pada Mac 2017.

 

 

Tidak sedikit sindiran yang saya terima ketika selesai berceramah, “Aku belum nak mati lagi. Tak payah nak cerita pasal pusaka sekarang.” Pada masa itu saya masih muda dan saya akan membalas balik, “Kalau begitu berapa haribulan dan pukul berapa nak mati? Boleh saya masukkan dalam diari saya supaya 1 jam sebelum mati kita berjumpa untuk rancang harta maklumlah sekejap lagi dah nak mati!”

 

Itu jawapan semasa saya muda. Sekarang dah tua, saya tak cakap begitu lagi. Bila diberikan sindiran itu, jawapan saya sekarang ialah, “Memang nak buat perancangan harta ni kenalah semasa hidup. Kalau dah mati datang kepada saya nak buat perancangan harta, saya lari, takut Mak Limah!”

 

Alhamdulillah 18 tahun pengalaman banyak saat manis, pahit dan duka yang telah dilalui. Landskap industri perancangan harta juga sudah banyak berubah. Semua pengalaman ini menjadikan Wasiyyah Shoppe Berhad lebih matang, mantap dan bijaksana. Langkah kini lebih teratur dan sistematik.  

 

Syukur Alhamdulillah Allah mempermudahkan semua urusan kami. Kini dengan jumlah kakitangan melebihi 100 orang dan pelanggan hampir seramai 80,000 orang seluruh Malaysia, kami terus melangkah yakin untuk membantu umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.

 

Doa saya supaya diketemukan dengan orang yang baik-baik dan dijauhkan dari orang yang berniat tidak baik dimakbulkan oleh Allah SWT. Ini merupakan rezeki terbesar yang saya terima dariNya.

 

Cabaran akan tetap menunggu pada masa hadapan di dalam bentuk yang berbeza pula. Namun Insya-Allah semuanya akan didepani dengan tenang kerana yang dikejar ialah reda Allah dan bukan kemenangan di dunia.     

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd.

 

ariffinsabirin

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH