Plagiarisme dalam Industri Harta Pusaka Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 6 September 2023
WasiyyahShoppe

PLAGIARISME DALAM INDUSTRI HARTA PUSAKA MALAYSIA

 

 

RASANYA cukuplah saya mengulas mengenai isu gharar dalam industri harta pusaka. Masyarakat kini sudahpun faham bahawa mereka mempunyai pilihan sama ada untuk menggunakan kaedah di mana unsur gharar itu sudah dielakkan dan tidak menimbulkan mudarat (model yang diperkenalkan Wasiyyah Shoppe Berhad) atau menggunakan model sedia ada yang terdedah kepada unsur gharar dan boleh memudaratkan.

 

Di dalam membuat pilihan, saya sudah nyatakan sebelum ini, tepuk dada tanyalah iman. Imanlah yang memandu kita untuk memilih kebaikan dunia dan akhirat.

 

Jangan tepuk dada tanya selera kerana selera itu paksinya nafsu dan sentiasa ada kemungkinan nafsu itu akan membawa kita memilih kebaikan dunia sahaja dengan mengabaikan kebaikan akhirat.

 

Minggu ini saya akan mengulas pula isu PLAGIARISME di dalam industri perancangan harta pusaka secara Syariah di Malaysia. Kenapa isu ini saya ketengahkan?

 

Kerana sehari dua ini saya mendapat makluman bahawa ada pihak yang bersaing dalam industri yang sama juga menggunakan nama awalan ‘Wasiyyah’.

 

WasiyyahShoppe

 


Saya tidak pasti apa niat mereka namun pastinya mereka cuba mengambil kesempatan di atas nama Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri yang sudah pun berdiri kukuh semenjak 2004.

 

Saya memacu Wasiyyah Shoppe Berhad semenjak 19 tahun lepas  untuk menjadi inovator di dalam industri. Banyak perkhidmatan baru yang bersifat ‘out of the box’ telah kami bangunkan. Antaranya ialah perkhidmatan pengurusan harta pusaka secara percuma.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sehingga hari ini kekal sebagai satu-satunya syarikat amanah yang telah berjaya membantu waris-waris melalui proses perundangan menuntut harta pusaka tanpa mengenakan sebarang fi perkhidmatan dan harta pusaka tidak dipotong walaupun satu sen bagi tujuan ini.

 

Perkhidmatan ini kami bangunkan kerana kami faham antara faktor utama yang menjadi kekangan kepada waris menguruskan harta pusaka keluarga mereka dengan cepat ialah kerana kekangan kos.  

 

Banyak pesaing lain cuba memplagiat perkhidmatan kami ini, namun setakat pengetahuan saya, mereka gagal memplagiat secara sepenuhnya spesifikasi perkhidmatan inovatif kami ini.

 

Ada yang hampir-hampir berjaya memplagiat tetapi selepas itu gagal pula melaksanakannya. Ada yang telah pun meluncurkan perkhidmatan seakan-akan perkhidmatan kami, tetapi tidak mendapat sambutan.

 

Begitu juga dengan format dokumen perancangan harta Wasiyyah Shoppe Berhad seperti dokumen hibah, wasiat Islam dan dokumen pelantikan wasi.

 

Banyak juga pihak di luar sana yang memplagiat format dokumen kami dan selepas itu mengubahnya sedikit satu atau dua ayat supaya kelihatan tidak terlalu memplagiat sepenuhnya.

 

WasiyyahShoppe

 

Pada saya PLAGIARISME ialah satu perbuatan tidak bermoral dan ‘mencuri’ hasil titik peluh pihak lain. Saya tidak menyembunyikan pandangan saya dan sentiasa vokal dalam bersuara bahawa pihak-pihak yang aktif memplagiat ini ialah pihak yang tidak bermaruah dan tidak layak berada di dalam industri ini.

 

Seorang muslim yang faham tentang halal dan haram, syurga dan neraka tidak akan sekali-kali memplagiat hasil usaha pihak lain.

 

Wasiyyah Shoppe Berhad telah membelanjakan lebih dari RM2 juta semenjak 2004 mendanai aktiviti-aktiviti ilmiah berkaitan dengan pembangunan perkhidmatan inovatif seperti penyelidikan ilmiah, muzakarah, wacana ilmu, seminar, bengkel dan sebagainya.

 

Begitu banyak masa, tenaga dan modal telah dikeluarkan bagi memastikan format dokumen dan spesifikasi perkhidmatan kami dibangunkan dengan teliti, patuh hukum syarak, undang-undang syariah dan undang-undang berkaitan harta pusaka di Malaysia.

 

Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Panel Syariah kami berhempas-pulas memerah  otak mengkaji pelbagai aspek hukum syarak dan teknikal undang-undang sebelum sesuatu perkhidmatan itu diluluskan untuk diperkenalkan kepada masyarakat.

 

Apa yang paling penting ialah kami mahu pastikan perkhidmatan kami efektif dan dapat membantu kemelut harta pusaka umat Islam di Malaysia.    

 

Apakah perasaan saya apabila tahu usaha keras kami selama hampir 20 tahun ini diplagiat sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak bermaruah? Malah sehingga ada yang ke tahap meniru nama Wasiyyah juga!

 

 

WasiyyahShoppe

 

 

Tentulah saya merasa kecewa dan marah namun semua perasaan itu saya adukan hanya kepada Allah SWT sahaja. Biarlah Dia yang mengadili semua pihak berkenaan.

 

Ada kawan-kawan bertanya kenapakah tidak kami paten dan hak ciptakan semua usaha keras kami? Sebenarnya sudah pun dibuat.

 

Namun berulang kali juga saya maklumkan bahawa undang-undang paten dan hak cipta di negara kita ini tidak sepenuhnya melindungi hasil usaha seperti format dokumen dan spesifikasi perkhidmatan yang dibangunkan oleh kami.

 

Hanya dengan perubahan sedikit sahaja ayat, maka pihak luar boleh mendakwa bahawa format dokumen itu adalah hasil usaha mereka. 

 

Namun saya juga memerhatikan bahawa usaha  memplagiat perkhidmatan Wasiyyah Shoppe Berhad ini tidaklah berjaya sepenuhnya.

 

Faktor utama kenapa usaha ini gagal ialah kerana mereka hanya memplagiat bulat-bulat format dokumen dan perkhidmatan kami tanpa memahami apakah hujah syariah di sebalik setiap ayat di dalam format dokumen serta perkhidmatan itu.

 

Jawatankuasa Teknikal Syariah dan Panel Syariah kami ialah pihak yang bertanggungjawab bagi urusan ini di Wasiyyah Shoppe Berhad. Mereka ini berpengalaman luas dalam hukum syarak, undang-undang syariah dan undang-undang penghartaan di Malaysia.

 

Di dalam proses pembangunan format dokumen dan perkhidmatan , mereka menghadam lumat semua perkataan termasuklah tanda koma dan tanda titik  di dalam format dokumen serta terma dan syarat perkhidmatan kami bagi memastikan ia selari dengan tafsiran pandangan hukum syarak, mazhab dan ulama’ muktabar. Mereka juga memastikan bahawa format dokumen itu selari dengan undang-undang yang tergunapakai di Malaysia.


 

WasiyyahShoppe

 


Pihak yang sekadar memplagiat tidak faham hujah-hujah ini dan apabila mereka mengubah ayat di dalam format dokumen ini atau cuba meniru spesifikasi perkhidmatan berdasarkan kefahaman mereka kerana tidak mahu kelihatan memplagiat Wasiyyah Shoppe Berhad, terdapat risiko dokumen itu tidak akan berkuatkuasa dan lari dari maksud asalnya.

 

Namun bagi pihak pemplagiat, saya percaya faktor dokumen atau perkhidmatan tidak berkuatkuasa ini bukanlah keutamaan mereka kerana apa yang mereka mahukan ialah pendapatan semata-mata.      

 

Kepada masyarakat, saya cadangkan untuk anda siasat terlebih dahulu latar belakang organisasi yang anda ingin gunakan perkhidmatan perancangan  hartanya. Siasat siapakah Lembaga pengarahnya, siapakah panel syariahnya dan adakah mereka mempunyai trek rekod dan testimoni pelanggan.

 

Semua ini penting kerana perancangan harta bukan semudah membeli goreng pisang di tepi jalan. Jika kita terbeli goreng pisang yang tidak sedap, kita boleh sahaja membeli dari tempat yang lain pada waktu akan datang.

 

Dokumen perancangan harta jika kita tersilap buat dengan organisasi pemplagiat yang tiada disiplin ilmu dan tiada trek rekod, dokumen kita berisiko tidak boleh dikuatkuasakan.

 

Kita sangkakan semua urusan selesai apabila dokumen telah ditandatangani. Hanya waris yang bakal tahu bahawa dokumen itu tidak membawa sebarang erti kerana mereka gagal menerima harta yang dimaksudkan. Kita ketika itu sudah pun mati!

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews
Portfolio Tags