TRANSFORMASI INDUSTRI PENGURUSAN PUSAKA: BOLEHKAH IA DILAKUKAN?
SAYA ditanya oleh wartawan bagaimana Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai sebuah Syarikat Amanah patuh syariah membantu mentransformasi industri perancangan harta di Malaysia. Cerita ini sudah pun keluar di Sinar Harian semalam. Agak panjang lebar juga ulasan saya.
Saya sebenarnya diminta oleh wartawan untuk komen tentang ucapan Menteri Agama, Senator Dato’ Dr Na’im Mokhtar pada hari sebelumnya yang menyentuh tentang betapa industri perancangan harta ini mesti ditransformasi selaras dengan perkembangan era pendigitalan hari ini. Beliau juga mengulas betapa pemain industri mesti menggiatkan aktiviti mendidik masyarakat supaya lebih cakna dengan isu ini.
Saya sebenarnya sudah pun terlibat dalam industri perancangan harta pusaka di Malaysia semenjak 1998. Bermula tahun itu, saya masuk jauh ke dalam masyarakat dan mengkaji semua perspektif isu pengurusan harta. Saya faham sepenuhnya apakah isu-isu yang membelit masyarakat apabila menguruskan harta pusaka.
Jadi apabila saya menubuhkan Wasiyyah Shoppe Berhad pada 2004, saya sudah tahu secara tepat apa yang mesti saya lakukan untuk membantu masyarakat keluar dari isu ini. Pada peringkat di antara tahun 2004 sehingga 2018, saya memimpin pasukan saya di Wasiyyah Shoppe Berhad untuk berdepan dengan isu asas iaitu mendidik masyarakat supaya faham isu ini dengan lebih baik.
Aktiviti dakwah ilmu pengurusan harta ini aktif kami lakukan bersama-sama dengan hampir 2,000 orang daie kami semenjak 2004 sehingga sekarang di seluruh Malaysia. Kami bermusafir ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Kami memberi ceramah, membentang kertas kerja, menghadiri bengkel, membuka reruai penerangan dan pelbagai aktiviti lain di pejabat dan organisasi, masjid, persatuan malah sehingga datang bertemu pelanggan secara peribadi bagi memberi penerangan.
Walaupun usaha keras kami selama 19 tahun ini masih tidak mampu sepenuhnya mengatasi masalah harta pusaka pada peringkat nasional, namun ia mulai menampakkan kesan. Masyarakat hari ini mulai faham kenapa harta pusaka mesti diuruskan secepat mungkin.
Buktinya? Lebih dari 80,000 orang telah merancang harta mereka melalui Wasiyyah Shoppe Berhad. Mereka membuat dokumen hibah, wasiat, harta sepencarian dan Amanah. Jumlah aset yang telah dirancang pula bernilai hampir RM35 bilion. Insya-Allah harta pusaka pelanggan kami ini akan dapat diuruskan.
Masyarakat mulai faham apakah perbezaan di antara wasiat dengan hibah. Masyarakat juga kini mulai faham kedudukan hukum faraid dalam agihan harta pusaka. Begitu juga dengan kefahaman mengenai proses tuntutan harta pusaka di Pejabat Pusaka Kecil, Mahkamah Tinggi Sivil dan Mahkamah Tinggi Syariah. Semuanya semakin baik hari ini berbanding 1998 yang lalu.
Semenjak 1998, saya memang tahu secara tepat bahawa perjalanan mendidik masyarakat tentang isu harta pusaka ini akan menjadi perjalanan yang sangat panjang dan tidak berhabisan walaupun selepas saya mati sekalipun. Itulah yang telah Wasiyyah Shoppe Berhad lakukan selama ini. Jadi Pendidikan ini memang akan berterusan selama-lamanya.
Yang Berhormat Menteri juga menyentuh isu pendigitalan. Suka atau tidak, kita mesti ‘embrace’ perubahan teknologi. Saya telah ulas di dalam temubual dengan wartawan bahawa perkara paling pokok ialah Mahkamah Syariah sendiri mesti terbuka dalam menerima perubahan teknologi ini. Kena ada ruang yang luas untuk pemain industri seperti Wasiyyah Shoppe Berhad untuk mengaplikasi semua teknologi asalkan sahaja ia selari dengan undang-undang.
Oleh kerana undang-undang Syariah ini adalah kuasa mutlak negeri, maka penyelarasan dan penyeragaman undang-undang berkaitan penggunaan teknologi dalam urusan harta pusaka di antara negeri-negeri juga perlu dilihat secara serius.
Wasiyyah Shoppe Berhad faham kepentingan pendigitalan ini. Semenjak 2018, kami telah melihat secara serius bagaimana penggunaan digital dapat membantu masyarakat dalam perancangan harta. Pelbagai idea dibangunkan.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 sebenarnya adalah hikmah kepada kami. Akibat kekangan pergerakan fizikal, kami telah memperkenalkan kaedah akad hibah melalui teknologi zoom. Aplikasi televideo Zoom pada ketika itu sangat terkenal.
Melalui kaedah ini, pemberi dan penerima hibah tidak perlu berjumpa secara fizikal bagi menandatangani dokumen hibah. Akad hibah mereka hanya perlu dirakam melalui video zoom.
Pada 11 Julai 2023, akad hibah melalui zoom yang kami pelopori ini telah pun mendapat perintah pengesahan hibah daripada Mahkamah Syariah Selangor. Kami percaya ini adalah perintah hibah pertama seumpamanya di Malaysia. Keseronokan kami paling besar di sini ialah kerana melalui teknologi kami dapat membantu masyarakat merancang harta dan ia diterima oleh Mahkamah Syariah.
Wasiyyah Shoppe Berhad tidak berhenti di sini. Selepas kajian mendalam dari segi hukum syarak dan undang-undang yang tergunapakai di Malaysia, pada 22hb Februari 2023, kami memperkenalkan pula sistem Usra Hibah Digital Document (UsraHDD) iaitu sistem akad hibah tanpa kertas yang pertama di dunia. Kaedah hibah ini lebih mudah, cepat dan tepat berbanding dengan kaedah zoom.
Pemberi dan penerima hibah boleh melaksanakan akad hibah mereka hanya melalui aplikasi telefon bimbit sahaja. Mereka boleh berada di lokasi mana-mana pun di seluruh dunia. Akad hibah yang telah disempurnakan itu disimpan di sistem awan. Tiada kertas perlu ditandatangani.
Saya akui menjadi peneraju dalam teknologi sebegini bukannya mudah. Kami membuat sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh pihak lain. Kami terpaksa bekerja berhempas-pulas untuk meyakinkan pihak berkuasa bahawa aplikasi UsraHDD adalah patuh hukum syarak dan undang-undang berkenaan. Tidak sedikit juga pihak yang meremeh dan merendahkan semua usaha kami.
Saya terpaksa bermusafir ke Mahkamah Syariah seluruh Malaysia untuk membentangkan idea pendigitalan ini. Alhamdulillah, setakat ini kami mendapat maklum balas yang sangat baik dari negeri-negeri.
Saya sangat percaya dan yakin, apa yang dibuat ini adalah satu ibadat fardu kifayah. Hanya apabila Wasiyyah Shoppe Berhad menggerakkan inisiatif digital untuk perancangan harta ini kami mula melihat industri berubah.
Jadi persoalan sama ada industri perancangan harta ini boleh didigitalkan atau tidak sudah pun terjawab. Semoga Allah SWT terus memberikan kami kekuatan untuk mentransformasi industri ini selaras dengan visi Yang Berhormat Menteri Agama.
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH