ULASAN JUJUR: KENAPA SUAMI BERPOLIGAMI DI SEMPADAN? SIRI TIGA
SEBAB KETIGA.
“Isteri pertama dah tak layan keperluan aku lagi.”
SAYA selalu ditanya kawan-kawan adakah saya anti poligami? Dari penulisan dan percakapan saya seolah-olah macam saya ini anti poligami. Saya nak tegaskan bahawa saya tidak anti poligami kerana ia adalah sunnah Rasulullah SAW.
Saya cuma anti kepada lelaki yang mengambil jalan mudah untuk berpoligami sehingga melanggar undang-undang dan menjejaskan kepentingan dan kebajikan isteri pertama dan anak-anaknya. Ada beza di antara kedua-dua ini. Jangan salah faham.
Selepas seminggu bergelumang dengan ketupat rendang raya, minggu ini saya akan menyambung lagi penulisan saya mengenai ulasan jujur kenapa suami berpoligami di sempadan.
ULASAN JUJUR: KENAPA SUAMI BERPOLIGAMI DI SEMPADAN? SIRI SATU
ULASAN JUJUR: KENAPA SUAMI BERPOLIGAMI DI SEMPADAN? SIRI DUA
Sedih juga melihat pada hari raya yang sepatutnya kita bergembira, ada pasangan yang hambar hubungannya natijah tindakan si suami berpoligami di sempadan.
Antara alasan yang juga popular yang saya ketemui apabila seorang lelaki itu berpoligami di sempadan ialah: “Isteri aku dah tak layan lagi semua keperluan aku jadi aku carilah isteri baru yang lebih memahami.”
Tambahnya lagi nak pergi ke mahkamah syariah di Malaysia prosedurnya susah sangat. Lagipun suami malu untuk berterus-terang dia ingin berpoligami kerana isterinya sudah tidak mampu melayannya lagi sedangkan dia masih lagi berkeinginan. Nampak macam buas sangat nafsunya! Jadi jalan paling mudah dan singkat ialah nikah saja di sempadan.
Ramai kawan saya yang sebaya memberikan sebab ini. Saya setuju bahawa memang antara sebab yang dibenarkan oleh syarak untuk seseorang lelaki itu berkahwin lagi ialah apabila dia masih bertenaga dan berkemahuan sedangkan isterinya sudah tiada kemampuan lagi untuk melayaninya. Sebab ini sebenarnya sah cumanya kenapa di sempadan?
Bab layanan ini sebenarnya boleh dibawa berbincang. Kedua-dua suami dan isteri perlu berkomunikasi dengan berkesan bagi mengenal pasti keperluan dan keadaan masing-masing.
Bukankah suami dan isteri itu saling melengkapi di antara satu sama lain? Saya bukanlah kaunselor perkahwinan yang bertauliah tetapi sering berdepan dengan situasi begini yang ditanyakan oleh rakan-rakan.
Nasihat saya ialah suami dan isteri perlu berfikiran terbuka dalam perbincangan bab ini. Isteri kena faham bahawa dia bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan seksual suaminya kerana itu di antara sebab utama perkahwinan.
Isteri perlu faham bahawa apabila tiba satu fasa dalam kehidupan, si suami mungkin (setiap orang berbeza) memerlukan lebih belaian manja dan sentuhan dari isterinya. Terutamanya apabila mereka hanya tinggal berdua kerana anak-anak sudah pun dewasa dan berumahtangga.
Lelaki secara fisiologinya tidak pernah berkurangan dari segi keinginan seksualnya cuma mungkin tahap tenaganya sahaja yang berbeza apabila semakin berusia.
Jika keinginan ini tidak dikomunikasi secara efektif dalam kalangan suami isteri, ada kemungkinan isteri terlepas pandang keperluan suami.
Tambahan pula isteri juga mungkin menganggap suami yang semakin berusia juga telah luntur keinginan seksual seperti dirinya. Ada juga isteri yang merasakan bila dah berusia ini tak payahlah nak layan sangat keinginan seksual. Lebih baik fokus beribadat sahaja.
Suami perlu berterus-terang dengan isteri bentuk layanan bagaimana yang dikehendakinya. Bukankah perhubungan suami isteri itu halal dan diredai Allah SWT kecuali bagi beberapa larangan.
Komunikasi terbuka dua hala amat kritikal terutamanya ketika fasa suami isteri itu telah berkahwin puluhan tahun lamanya dan rasa jemu mulai menjengah.
Apabila isteri semakin terlepas pandang perkara ini, suami akan mulai rasa kesunyian dan mula mencari alternatif di luar.
Ramai sahaja wanita-wanita muda yang mencari peluang menambat hati si suami tambah pula si suami itu mempunyai status ekonomi yang baik. Maka bila dua hati telah bertaut, ke sempadanlah mereka tujui untuk merealisasikan hasrat itu.
Suami asyik dok minta isteri memahami dan memenuhi keperluannya. Bagaimana pula peranan yang perlu dimainkan oleh si suami bagi memastikan isteri dapat memberikan komitmen seratus peratus untuk melayannya?
Adakah dengan hanya memberikan tempat tinggal, makan minum dan kenderaan sahaja sudah mencukupi untuk si isteri memberikan perkhidmatan terbaik? Seperti yang saya sebutkan di atas komunikasi dua hala sangat kritikal.
Sebagaimana suami mahu difahami, isteri juga mahukan suami faham keperluannya. Pastinya daripada segi keperluan seksual, selaras peningkatan usia, kemahuan isteri akan semakin berkurangan. Ini hakikat fisiologi wanita. Namun dia juga memiliki keperluan lain.
Contohnya, semakin berusia perkahwinan, suami sepatutnya semakin menghormati pandangan dan peranan isteri dalam rumahtangga.
Jika isteri memberi nasihat kepada anak-anak, suami perlulah menyokong nasihat itu. Jangan diperlekehkan. Jangan sekali-kali merendahkan isteri di hadapan orang lain termasuklah anak-anak.
Hargai dan dengar cadangan dan buah fikirannya berkaitan perkara berkaitan urusan keluarga. Jika hari raya ini dia mahu mengenakan pakaian sedondon berwarna kuning (isteri sayalah tu), ikutkan sahaja kerana sebagai lelaki kita tak kisah pun apa warna nak pakai.
Contoh lain, susunan atur cara ziarah raya rumah keluarga, pastikan kita berlaku adil dengan meluangkan masa menziarah keluarganya sama banyak seperti kita menziarah keluarga kita.
Sentiasa ingat bahawa wanita di sebelah kita itulah yang telah bersusah-payah bersama kita puluhan tahun lamanya dan berkorban segala-galanya termasuk nyawa dalam melahir dan membesarkan zuriat kita.
Layan isteri dengan penuh rasa hormat sebagai wanita yang bermaruah. Sentiasalah memujinya bagi memelihara harga dirinya. Belikan hadiah (ikut kemampuan) bagi membuatkan dirinya rasa dihargai.
Apabila isteri itu gembira emosi dan stabil psikologinya, barulah dia boleh memenuhi apa sahaja keperluan suami dengan gembira.
Meminjam kata rakan-rakan saya yang sudah ‘terlanjur’ menikah di sempadan, “Sedapnya sama sahaja tetapi menanggung kesannya seumur hidup.”
Hanya kerana semata-mata nak dapat layanan seksual yang lebih baik yang sebenarnya boleh sahaja diperoleh daripada isteri pertama, si suami terpaksa menanggung pelbagai sakit termasuklah tekanan mental menguruskan dua keluarga yang sentiasa sahaja bergolak dan bersaing sepanjang masa termasuk pada hari raya!
Bila semakin berusia, bukankah ketenangan hati dan minda itu yang kita cari? Kenapalah nak serabut nikah di sempadan lagi?