ULASAN JUJUR ; KENAPA SUAMI BERPOLIGAMI DI SEMPADAN? SIRI DUA
SEBAB KEDUA: “Daripada aku membuat maksiat, baiklah aku bernikah.”
Ini juga satu daripada sebab paling popular yang digunakan oleh suami. Dari sudut menjaga kemaslahatan, saya setuju dengan sebab ini. Suami yang sudah berpengalaman tahu bahawa membuat maksiat itu hukumnya haram.
Dia mungkin mempunyai anak perempuan yang sudah dewasa dan pastinya dia juga tidak akan membiarkan anak perempuannya terjebak dengan maksiat bersama lelaki lain.
Dia tahu bahawa keluar ‘dating’ bersama cinta baru mungkin akan mendedahkan dia kepada perlakuan maksiat dan kerana itu dia perlu menghalalkan hubungan itu.
Suami yang berpengalaman kebiasaannya lebih objektif dan tidak mahu sekadar keluar berfoya-foya membuang masa sahaja. Dia tahu apa yang dia mahukan dan ini antara sebab kenapa wanita muda sukakan lelaki yang sebegini.
Mereka tahu bahawa bila lelaki ini mengingininya, lelaki itu akan mengambil tanggungjawab ke atasnya dan menikahinya bagi menghalalkan hubungan itu. Lelaki seperti ini lebih matang, tenang dan pastinya berkemampuan dari segi kewangan. Wanita muda lebih yakin dan rasa selamat dengan lelaki yang berpengalaman.
Cabarannya kebanyakan lelaki yang berpengalaman itu ialah suami orang. Pengalamannya itu dikutip kerana dia sudah pun berkahwin. Kalau dia masih bujang pada umur 50 tahun, walaupun mungkin dia berkemampuan dari segi kewangan tetapi pengalaman dan kematangannya belum teruji.
Seorang isteri muda pernah memberitahu saya, dia terpikat dengan suaminya kerana sifat ‘gentleman’, ‘caring’ dan lemah-lembutnya. Walaupun berkongsi suami, dia rela mengalah dan memberi keistimewaan lebih banyak kepada isteri pertama baik dari segi masa mahupun perhatian.
Dia faham dia menumpang kasih daripada suami orang. Apa yang dia inginilah ialah perasaan tenang dan selamat kerana kini sudah ada orang yang boleh membimbing kehidupannya. Segala keperluan kehidupannya juga telah dipenuhi. Dia bahagia dengan kehidupannya sekarang.
Dia pernah bercinta dengan lelaki yang sebaya namun katanya dia tidak yakin dengan jaminan kehidupan yang boleh diperoleh dari lelaki itu. Sudahlah kurang matang, kewangan juga tidak menentu tambahnya.
Mendengar kisah dari suami yang berpoligami dan isteri muda, saya boleh simpulkan bahawa objektif perkahwinan mereka suci dan murni. Si suami ingin menjalankan tanggungjawabnya melindungi isteri muda dan tidak mahu membuat maksiat manakala isteri muda pula hanya mahukan kehidupannya lebih terjamin dan dibimbing. Cumanya pelaksanaan hasrat murni itu mungkin kurang sesuai kerana mereka bernikah di sempadan.
Sekiranya sesuatu pernikahan itu dilakukan di sempadan, ia membawa makna tersirat bahawa perkahwinan itu ingin dirahsiakan terutamanya dari pengetahuan keluarga dan isteri pertama.
Pandangan saya, hasrat yang murni itu mestilah disusuli dengan tindakan yang betul supaya terserlah kemanisan dan manfaat berpoligami itu. Suami yang berhasrat untuk berpoligami, pohonlah kebenaran berpoligami dari Mahkamah Syariah.
Jangan risau, hakim bukan memanggil isteri pertama untuk mendapatkan kebenarannya bagi anda berpoligami. Isteri pertama beri kebenaran atau tidak, sekiranya suami itu layak, dia tetap boleh mendapat kebenaran itu.
Hakim sebenarnya hanya mahu menemuduga isteri pertama bagi memastikan adakah anda telah menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan sepenuhnya.
Hakim ingin tahu adakah anda pernah mengimamkan solat berjemaah di rumah bersama keluarga. Pernahkah anda memberi didikan agama seperti tazkirah atau mengajar anak-anak mengaji di rumah.
Hakim juga ingin tahu adakah anda telah memastikan keperluan kehidupan seperti Pendidikan, tempat tinggal dan makan pakai keluarga telah anda berikan secukupnya.
Antara yang ingin diketahui juga ialah layanan anda terhadap isteri dan anak-anak, adakah anda ini seorang yang panas baran dan sering angkat tangan ataupun anda ini seorang yang lemah lembut dan baik kepada keluarganya.
Siapakah orang yang paling tahu tentang perkara-perkara ini tentang diri anda selain daripada isteri? Sebab itulah neraca kemampuan kepada Mahkamah Syariah dalam meluluskan kebenaran berpoligami bukanlah sekadar kemampuan kewangan sahaja tetapi juga faktor-faktor di atas.
Nampak macam susahkan nak dapat kebenaran berpoligami dari Mahkamah Syariah namun itulah sebenarnya kelayakan untuk berpoligami bagi memastikan nasib dan kebajikan kesemua pihak terjaga.
Sekiranya suami itu memang layak dan telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik, apa yang dia nak takutkan? Kemukakan sahaja permohonan di Mahkamah Syariah. Insya-Allah sekiranya dia memang layak, dia akan berkemampuan untuk menjadi ketua kepada dua buah keluarga.
Sebaliknya jika dia menikah secara sembunyi-sembunyi di sempadan, ia menunjukkan bahawa dia sebenarnya tidak layak atau tidak menepati syarat untuk berpoligami tetapi kerana hasrat nak berpoligami yang membuak-buak tanpa dapat ditahan, menyebabkan dia menyeberangi sempadan untuk bernikah.
Wanita-wanita muda di luar sana yang dipelawa untuk bernikah di sempadan oleh suami orang perlulah berfikir secara mendalam. Jika dia mahu menikah di sempadan ia menunjukkan bahawa ada sesuatu yang mahu disembunyikan.
Bukankah nasib dan kebajikan anda juga akan tergantung di awang-awangan jika anda tidak tahu secara tepat kelayakan bakal suami anda untuk berpoligami.
ARTIKEL MINGGU LEPAS: ULASAN JUJUR ; KENAPA SUAMI BERPOLIGAMI DI SEMPADAN? SIRI SATU
Benarkah dia mampu dari segi kewangan atau sekadar berlakon untuk memikat hati anda? Adakah dia benar-benar memiliki ilmu agama mencukupi untuk membimbing anda atau sekadar berlakon alim kucing di depan anda?
Seorang isteri pertama menceritakan kepada saya betapa isteri kedua ini berkata bahawa dia mahu berkahwin dengan si suami itu kerana yakin suami itu dapat membimbingnya dari segi agama. Isteri pertama itu sambil tergelak berkata suaminya nak bangun solat subuh pun perlu dikejutkan inikan pula nak beri bimbingan agama kepada isteri kedua.
Isteri ini juga menceritakan bagaimana kehidupan mereka walaupun nampak mewah dengan percutian luar negara, kereta mewah dan rumah banglo, tetapi sarat diselaputi pelbagai hutang. Bisnes suaminya pun sering goyang dan tidak stabil.
Wahai Wanita-wanita muda yang bercita-cita untuk berkahwin dengan suami orang, mahukah anda memperjudikan masa depan anda dan berdepan risiko kecaman, masalah kewangan dan stres emosi semata-mata kerana mengejar jaminan kehidupan kononnya daripada suami yang layak dan berkemampuan berpoligami seperti ini?
Kalau anda risiko itu berbaloi dengan pulangannya, maka silakanlah. Memang betul, lebih baik bernikah daripada membuat maksiat.