URUSAN WASIAT DAN HIBAH BUKAN SEPERTI MEMBELI DURIAN DI TEPI JALAN
Saya pernah sentuh tentang perkara ini beberapa kali sebelum ini. Namun soalan ini tetap ditanyakan kepada saya.
Ini menunjukkan betapa masyarakat tidak faham pentingnya mereka tahu bahawa buat dokumen sahaja tidak akan menyelesaikan semua masalah pusaka secara automatik.
Beberapa hari lepas saya dijemput untuk berkongsi pengalaman dengan beberapa orang kenalan tentang isu harta pusaka. Kecuali jika ditanya, dengan kawan-kawan atau saudara mara sebenarnya saya jarang bercerita tentang isu ini kerana nanti dituduh ambil kesempatan nak buat ‘marketing’ pula.
Salah seorang teman itu memberitahu saya bahawa dia sudah pun membuat dokumen wasiat dan hibah dengan sebuah syarikat sdn bhd. Dia menyatakan rasa leganya kerana kini tanggungjawabnya untuk merancang harta bagi manfaat warisnya sudah pun selesai. Nak mengembara ke mana pun dia rasa seronok dan tenang.
Alhamdulillah dia sudah pun bertindak bijak menyediakan semua dokumen perancangan seperti wasiat dan hibah bagi mengelakkan masalah berlaku kepada harta pusakanya. Namun apabila saya mengemukakan beberapa soalan, dia termenung dan tidak mampu menjawab.
Saya tanyakan kepadanya, apa jadi jika sepuluh tahun akan datang syarikat sdn bhd ini sudah pun menutup operasi dan pada ketika itulah dia mati? Ada jaminankah bahawa perkhidmatan kepada waris seperti yang dijanjikan oleh syarikat sdn bhd itu akan diterima oleh waris?
Pihak manakah yang akan membantu waris-warisnya untuk melalui semua proses perundangan yang berkaitan dokumen itu jika syarikat sdn bhd itu sudah tutup kedai?
Yang mendraf dokumen itu ialah pihak syarikat itu dan walaupun mungkin waris bebas untuk melantik peguam lain yang boleh membawa dokumen itu ke mahkamah (jika syarikat sdn bhd itu sudah tutup operasi), adakah peguam itu akan faham kenapa dokumen itu didraf sedemikian rupa? Siapa pula yang akan menanggung kos guaman itu?
Dokumen wasiat dan hibah itu ialah dokumen perundangan yang melibatkan undang-undang Syariah dan Sivil. Kedua-dua undang-undang ini pula dinamik.
Ada pindaan dan penggubalan akta dan enakmen yang sudah dan sedang berjalan dengan aktif. Perubahan ini pastinya akan memberi kesan kepada keabsahan wasiat dan hibah yang telah dibuat.
Persoalannya ialah siapakah panel syariah dan pakar undang-undang berkelayakan yang menasihati syarikat sdn bhd itu supaya mendraf dokumen wasiat dan hibah mereka sedemikian rupa?
Apa jaminan bahawa dokumen wasiat dan hibah yang disediakan itu berkuatkuasa daripada segi undang-undang? Adakah hasrat orang yang membuat wasiat atau hibah itu akan tercapai?
Apakah pula bentuk tadbir urus korporat yang diamalkan oleh syarikat sdn bhd itu atau adakah operasinya mengikut cita rasa dan selera tuan punya syarikat?
Seperti yang kita semua ketahui syarikat sdn bhd dimiliki dan dioperasi oleh orang perseorangan. Maka segala keputusan adalah dibuat oleh tuan punya syarikat itu mengikut kemahuannya. Ini risiko besar kepada pelanggan kerana keputusan itu ada kemungkinan bertentangan dengan kepentingan pelanggan.
Apa pula pengalaman dan trek rekod syarikat sdn bhd itu ? Adakah peneraju syarikat sdn bhd itu benar-benar orang yang berpengalaman luas dalam industri pengurusan harta pusaka ataupun mereka ini menceburi bidang ini hanya kerana melihat ia semata-mata satu bisnes yang boleh memberikan mereka keuntungan yang banyak?
Adakah wujud kontrak jelas di antara syarikat dengan pelanggan berkenaan perkhidmatan yang akan diberikan kepada waris selepas kematiannya? Jika ada, apa pula jaminan kontrak itu akan dipatuhi?
Sekiranya kita perlu mempertimbangkan faktor-faktor ini jika berurusan dengan syarikat sdn bhd, berurusan dengan individu yang membantu kita membuat dokumen wasiat dan hibah, risikonya akan jauh lebih tinggi lagi.
Teman saya ini terkebil-kebil bila saya jelaskan kepadanya bahawa buat dokumen sahaja tidak menjamin semua hasratnya di dalam wasiat atau hibah itu akan tercapai.
Apa yang jauh lebih penting ialah masyarakat perlu fokus kepada faktor pihak yang akan memberikan perkhidmatan itu bukan sahaja pada waktu sekarang tetapi juga pada waktu akan datang.
Sekiranya kita membeli durian di tepi jalan dan kita dapati durian yang kita beli dari penjual A itu busuk atau kurang sedap, kita boleh sahaja membeli durian dari penjual B pula di waktu yang lain kerana ada kemungkinan kita akan makan durian berulang-ulang kali. Kita boleh boikot sahaja penjual A, jangan beli lagi darinya.
Tetapi bahayanya dengan wasiat dan hibah ialah pelanggan semasa hidupnya tidak mengetahui dengan tepat sama ada dokumen yang dibuatnya itu benar-benar sah dan berkuatkuasa.
Dia merasakan bahawa segala-galanya telah selesai dan sempurna sedangkan dokumen-dokumen ini hanya akan melalui proses perundangan selepas kematian pelanggan.
Jika dokumen itu dibuat dengan tidak tertib dan selari dengan undang-undang, ada kemungkinan ia tidak sah. Pelanggan sudah pun mati dan tiada apa-apa tindakan pembetulan boleh diambil olehnya. Maka tidak tercapailah hasrat pelanggan dan penerima gagal mendapat harta yang sepatutnya.
Jadi apakah pertimbangan PALING BESAR yang mesti dibuat masyarakat bila dia ingin membuat wasiat dan hibah?
Nasihat saya ialah yang paling penting ialah siasat latar belakang syarikat penyedia wasiat atau hibah itu. Berapakah modal berbayarnya. Siapakah penerajunya? Siapa panel syariahnya? Apakah trek rekodnya? Apa jaminan 10 atau 20 tahun akan datang apabila kita mati, adakah syarikat ini masih beroperasi untuk memberi perkhidmatan kepada waris-waris kita?
Jika soalan-soalan ini gagal dijawab dengan tuntas, maknanya ada risiko wasiat dan hibah yang anda buat bersama mereka hari ini tidak akan berkuatkuasa pada masa hadapan.
Sebaliknya jika soalan-soalan ini ditanya kepada syarikat amanah seperti Wasiyyah Shoppe Berhad, ia bukan sahaja dapat dijawab dengan tuntas malah jaminannya juga jelas.
Tanya diri anda mana yang lebih penting. Buat dokumen wasiat dan hibah sekadar untuk ada dokumen ATAU buat dokumen wasiat dan hibah yang mana waris-waris anda dijamin akan menerima perkhidmatan melalui proses perundangannya pada masa hadapan dan dokumen itu boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang yang berkenaan?
Bukakan mata dan hati anda. Pertimbangkan dengan rasional.