WAHAI IBU BAPA: GUNA STRATEGI INI UNTUK ELAKKAN ANAK PEREMPUAN DIBULI SUAMI:
SAYA seorang lelaki, seorang ayah dan seorang suami tetapi saya sangat sedih dan kecewa mendengar kisah isteri dipukul oleh suami, didera fizikal dan emosi tanpa belas kasihan.
Kisah ini paling banyak berlaku kepada isteri yang merupakan suri rumah tangga dan bergantung hidup sepenuhnya kepada suami. Dia terpaksa redha dan pasrah diperlakukan begitu.
Alasan yang biasa saya dengar ialah si isteri terpaksa mengalah dan enggan membawa kisahnya ke pihak yang berkuasa atau pengetahuan ahli keluarga juga kerana bimbang mereka akan dituduh menderhaka kepada suami dan mendedahkan aib rumah tangga. Bukankah si isteri perlu melindungi aib suami katanya.
Saya juga selalu mendengar betapa kisah penderitaan mereka dipendamkan sahaja dan ditanggung sendiri kerana mereka tidak mahu anak-anak mereka terganggu emosi dan pelajaran. Sehingga ada kes isteri terpaksa berpura-pura bahagia di depan anak-anak tetapi menangis menanggung penyeksaan di belakang mereka.
Segala kesan lebam dan kecederaan fizikal yang disebabkan oleh si suami disorok dari pengetahuan dan penglihatan keluarga dan pihak luar.
Pemikiran isteri yang sebegini dan stigma masyarakat menjadikan mereka mangsa mudah suami yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif. Si suami tahu betapa teruk pun perangai dan layanan mereka, atas sebab di atas, si isteri akan sentiasa setia dan patuh kepadanya. Kerana pemikiran sebegini juga menyebabkan banyak kes dera isteri berlaku kebelakangan ini.
Saya bukan ayah tradisional yang akan membiarkan isu rumah tangga (jika timbul) diserahkan bulat-bulat untuk diselesaikan oleh anak menantu. Mereka orang muda berdarah panas dan kurang pengalaman.
Kita sebagai ibu bapalah yang perlu membimbing supaya mereka tidak tersilap langkah. Saya akan berikan panduan dan ‘road-map’ pada bila-bila masa jika saya rasa mereka memerlukannya. Komunikasi dua hala perlu sentiasa dibuka supaya anak menantu bebas untuk bercerita dengan kita.
Atas alasan tidak mahu masuk campur, janganlah kita biarkan anak menantu ini terkapai-kapai buntu mencari solusi kepada masalah mereka sehingga menyebabkan mereka tersilap jalan dan akhirnya terjejas keharmonian rumah tangga.
Ramai isteri yang menceritakan kepada saya betapa si suami itu yang dikenalinya sebagai seorang yang sangat penyayang dan lemah-lembut tetapi setelah berumahtangga dan berdepan pula dengan pelbagai masalah terutamanya masalah kewangan rentetan dari Perintah Kawalan Pergerakan dua tahun lepas, kini telah berubah menjadi suami pendera!
Saya ada tiga anak perempuan. Seorang telah pun berkahwin manakala dua lagi masih bujang. Ini bermakna saya telah pun ada seorang menantu lelaki dan Insya-Allah bakal ada dua lagi menantu lelaki pada masa hadapan.
Sebagai ayah mertua, sebelum bernikah pun saya sudah ada ‘man-to-man talk' dengan menantu lelaki saya. Saya merenung matanya dan jelaskan kepadanya apakah harapan utama saya padanya iaitu supaya dia menjadi pelindung, pembimbing dan pemimpin kepada anak perempuan dan cucu-cucu saya pada masa hadapan. Saya telah mendidik anak-anak perempuan saya sebaik-baiknya dan saya tidak mahu mereka dipersiakan.
Faktor ekonomi walaupun penting kerana suami berkewajiban menanggung kehidupan isterinya, tidak menjadi pertimbangan utama saya. Saya lebih mementingkan keimanan dan jatidiri si menantu kerana ketika wang boleh dicari, keimanan dan jatidiri itulah yang akan menjadi kemudi memacu kukuh bahtera rumah tangga yang bakal dipimpinnya.
Saya jelaskan juga apakah cabaran yang bakal dihadapi olehnya pada masa sekarang dan masa hadapan serta bagaimana ingin mendepaninya. Zaman berubah dan cabaran juga berubah.
Sebagai suami dia mesti sentiasa ‘upgrade’ ilmu pengetahuan pengurusan rumah tangga dari semasa ke semasa. Ilmu dalam kursus perkahwinan sahaja tidak mencukupi dan saya percaya ilmu yang dipelajarinya itu akan sentiasa ‘obsolete’ dek perubahan zaman. Komunikasi pelbagai hala mesti sentiasa dibina di antara suami, isteri dan anak-anak bagi membolehkan pelbagai cabaran dihadapi secara bersama.
Saya turut jelaskan tentang kaedah dan strategi bagaimana seorang suami dan ayah menyantuni anak dan isteri dengan Rasulullah SAW serta pengalaman hidup saya sendiri sebagai panduan.
Pendirian saya berbeza dengan pendirian kebanyakan ibu bapa lain yang cenderung tidak mahu campur tangan urusan rumah tangga anaknya kerana bimbang dianggap sebagai ‘pengacau’ rumah tangga anak menantu. Berbeza seperti bapa mertua lain, menantu lelaki saya memang tahu bahawa saya akan bingkas mempertahankan anak-anak saya sekiranya keadaan memerlukan.
Apabila ibu bapa mengambil langkah proaktif seperti ini, menantu lelaki akan sentiasa tahu bahawa dia tidak boleh berbuat sesuka hati atau mempelekehkan isterinya. Dia akan sentiasa berhati-hati dalam setiap gerak langkahnya kerana tahu dia diperhatikan. Ini strategi ‘pre-emptive’ yang boleh diambil ibu bapa bagi mengelakkan anak perempuan mereka dibuli suami.
Paling penting, saya juga ‘empower’ anak-anak perempuan saya. Saya beri pendidikan terbaik kepada mereka supaya mereka boleh membina kerjaya sendiri. Saya mahu mereka mempunyai harta dan wang sendiri supaya berkeupayaan untuk berdiri di atas kaki sendiri sekiranya apa-apa berlaku kepada rumah tangga mereka.
Saya tidak mahu anak-anak saya bergantung hidup sepenuhnya kepada suami mereka kerana ini adalah antara faktor utama kenapa isteri bila dibuli suami akan bertahan dan memendam rasa.
Mereka telah saya latih untuk berani bercakap mempertahankan diri dan menegur suaminya sekiranya mereka merasakan diri mereka dibuli.
Kaedah saya memang tidak ortodoks tapi dalam keadaan dunia hari ini, ia perlu dilakukan. Jadi anda mahu mengelakkan anak perempuan anda dari dibuli suami ?
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH