Wasiat instrumen perancangan harta paling `Overrated' di Malaysia! | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 11 Oct 2023 07:00 AM
WasiyyahShoppe

WASIAT INSTRUMEN PERANCANGAN HARTA PALING ‘OVERRATED’ DI MALAYSIA!

 

 

SEKALI lagi saya dihujani dengan persoalan tentang wasiat kerana kebelakangan ini banyak pihak secara agresif mempromosikan wasiat sebagai instrumen untuk menyelesaikan masalah harta pusaka orang Islam di Malaysia.

 

Isu ini sebenarnya ialah isu paling asas yang saya perjuangkan semenjak sekian lama. Selama hampir 25 tahun saya mendidik masyarakat dan menulis mengenai isu wasiat ini. Kalau ikutkan hati, rasanya macam dah malas nak ulas isu ini. Sudah beratus artikel saya tulis dan sudah ribuan ceramah saya sampaikan ke seluruh pelosok negara untuk menerangkan tentang wasiat ini.

 

Namun ketidakfahaman ini nampaknya masih menebal dalam masyarakat. Mungkin kerana yang mengelirukan masyarakat tentang wasiat ini lebih ramai daripada yang menerangkan fakta tentang wasiat.  

 

Wasiat pada saya ialah instrumen perancangan harta paling ‘OVERRATED’ di Malaysia! Masakan tidak, ia dipromosikan sebagai instrumen yang ‘wajib’ dibuat oleh orang Islam. Dipromosikan bahawa kalau tidak dibuat wasiat, harta pusaka akan tertunggak, waris akan bergaduh dan pelbagai masalah lain juga akan timbul.

 

Saya membaca dengan penuh minat semua hujah-hujah ini yang dicetak  di dalam bahan-bahan promosi dan juga video-video ceramah pelbagai pihak. Saya mendapati kebanyakan daripada  hujah-hujah ini tersasar jauh dari fungsi dan keberkesanan wasiat itu sendiri baik dari sudut hukum syarak mahupun undang-undang sivil.

 

Sebagai antara individu terawal mempelopori industri ini di Malaysia semenjak 1998, saya rasa terpanggil untuk menjawab persoalan ini sekali lagi dengan memberikan pendedahan dan pendidikan dengan maklumat tepat kepada masyarakat. Saya tidak mahu masyarakat terus terkeliru.

 

Pada saya ini bukan sekadar satu perniagaan, tetapi lebih besar dari itu  ini adalah satu ibadat fardu kifayah. Sebab itu saya memilih jalan yang panjang dan sukar. Saya pilih untuk memberikan kefahaman tepat kepada masyarakat. Saya tidak pilih jalan singkat dengan berhujah, ‘buat wasiat, semua masalah pusaka selesai’!  

 

WasiyyahShoppe

 


Dari sudut Hukum Syarak, wasiat yang berkuatkuasa bagi orang Islam ialah wasiat yang di dalamnya terkandung hasrat pewasiat untuk mewasiatkan pada kadar maksimum 1/3 daripada harta pusakanya kepada ‘bukan waris’ ( pihak yang tidak menerima harta pusaka mengikut hukum faraid). Contohnya masjid, surau, persatuan, anak angkat, anak tiri dan sebagainya.

 

Hasrat ini jika wujud di dalam wasiat, maka  ia berkuatkuasa dan agensi yang akan mengesahkan keabsahan wasiat ini ialah Mahkamah Syariah di negeri-negeri berkenaan. Mahkamah Syariah akan mengesahkan wasiat 1/3 ini berdasarkan hukum syarak ataupun enakmen wasiat negeri masing-masing.

 

Wasiat yang memberi pada kadar lebih daripada 1/3 kepada pihak-pihak di atas ataupun wasiat yang mengagihkan harta kepada waris-waris pada kadar berapa pun, mestilah mendapat persetujuan semua waris-waris hukum faraid selepas kematian pewasiat. Jika ada waris-waris tidak bersetuju dengan wasiat sebegini, maka ia terbatal dan tidak boleh dilaksanakan. 

 

Jadi sekiranya anda berhasrat untuk mengagih-agihkan harta kepada sesiapa yang anda kehendaki sama ada waris atau bukan waris mengikut formula yang anda sendiri tetapkan, wasiat bukanlah satu pilihan yang tepat.

 

Jika anda berhasrat untuk membahagikan harta anda kepada sesiapapun sama ada waris ataupun bukan waris mengikut formula yang anda sendiri tetapkan, yang anda mesti buat ialah HIBAH DAN BUKANNYA WASIAT!

 

Saya pernah hadir dalam satu perbincangan tertutup yang dianjurkan oleh satu agensi Kerajaan. Saya dan beberapa wakil dari beberapa organisasi yang terlibat di dalam urusan harta pusaka di Malaysia dijemput untuk memberikan pandangan tentang penggubalan undang-undang wasiat.

 

 

irsyad

 

 

Di dalam perbincangan tersebut setiap organisasi termasuk Wasiyyah Shoppe Berhad sendiri dijemput untuk membentangkan tentang operasi wasiat yang diamalkan kami. Saya menerangkan bahawa wasiat yang disediakan oleh Wasiyyah Shoppe Berhad merujuk secara tepat peruntukan wasiat di dalam hukum syarak dan enakmen-enakmen wasiat negeri-negeri.

 

Jadi kami akan pastikan jika pelanggan kami ingin membuat wasiat, ia akan patuh kepada perkara ini. Kami juga menerangkan secara terperinci kepada pelanggan tentang kekangan wasiat supaya mereka faham sepenuhnya apa kesannya. Kepada kami, apa pun dokumen yang dibuat oleh pelanggan ia mestilah BERKUAT KUASA!

 

Seorang sahabat daripada organisasi lain pula menceritakan bahawa di dalam wasiat yang dibuat mereka, pelanggan boleh sahaja memperincikan pembahagian harta pusaka kepada sesiapapun waris atau bukan waris mengikut formula mereka sendiri tanpa perlu terikat dengan peruntukan hukum syarak berkaitan wasiat atau enakmen-enakmen wasiat di atas.

 

Pengerusi perbincangan bertanya soalan kepada mereka, “Bolehkah wasiat itu dilaksanakan sekiranya ada waris tidak bersetuju selepas kematian pewasiat? Selesaikah masalah perbalahan di antara waris?”

 

Mereka menjawab, “Setakat ini kami berjaya 100% memujuk waris-waris untuk bersetuju dengan kandungan wasiat. Tidak berlaku perbalahan di antara waris-waris!”

 

Agak memeranjatkan saya juga apabila kaedah ‘memujuk’ waris diguna pakai berbanding dengan pendekatan menasihatkan pelanggan supaya membuat dokumen yang tepat jika mereka inginkan formula pembahagian harta mereka berkuatkuasa.

 

Sebagai orang tua dalam industri perancangan harta di Malaysia, pengalaman 25 tahun menunjukkan  bahawa kaedah ‘memujuk’  ini belum pasti akan berjaya dibuat kerana selepas kematian pewasiat ada banyak faktor yang akan mempengaruhi waris.


 

WasiyyahShoppe

 

 

Contoh ialah faktor tahap pendapatan di antara waris yang berbeza. Ada waris yang hidup selesa dengan pendapatan lumayan dan ada pula waris yang hidup susah dihimpit pelbagai masalah kewangan.

 

Untuk ‘memujuk’ mereka bersetuju dengan wasiat yang menyatakan harta pusaka diagih secara sama rata mungkin menjadi satu cabaran yang besar. Waris yang hidup susah mungkin tidak berpuas hati kenapa bahagian yang diterimanya sama banyak dengan bahagian yang diterima waris yang hidup senang!

 

Saya juga pernah bertemu kes waris-waris pada mulanya setuju dengan wasiat membahagikan harta kepada waris tertentu sahaja tetapi di dalam perbicaraan di Pejabat Pusaka Kecil, berubah fikiran mahu menuntut bahagiannya. Bila diselidiki baru diketahui bahawa waris ini dinasihatkan oleh pasangannya untuk menuntut bahagian itu kerana itu arahan Allah SWT di dalam hukum faraid. 

 

Berbeza dengan HIBAH yang kuatkuasanya berlaku semasa hidup, wasiat berkuatkuasa selepas kematian. Ini bermakna jika wasiat itu dibuat tidak mengikut peruntukan 1/3 kepada bukan waris seperti yang saya jelaskan di atas, maka untuk membolehkan wasiat itu berkuatkuasa, persetujuan waris-waris perlu diperoleh selepas kematian. 

 

Di sini saya rasa pemain industri perlu jujur dan telus. Jika anda mempromosikan wasiat, cerita sepenuhnya bahawa wasiat yang membahagikan harta selain kepada bukan waris pada kadar 1/3, maka ia berisiko terbatal sekiranya dibantah waris-waris selepas kematian pewasiat.

 

Ramai dalam kalangan masyarakat yang saya temui tidak tahu hakikat ini malah mereka tidak diceritakan pun tentang kekangan wasiat ini. Mereka menyangkakan arahan pembahagian harta pusaka yang mereka sebut di dalam wasiat itu akan berkuatkuasa secara automatik.

 

Di dalam semua wasiat yang membawa arahan pembahagian harta pusaka ini biasanya wujud satu klausa ‘severability’ yang menyebut . “walau apa pun arahan pembahagian harta pusaka di dalam wasiat ini, sekiranya ia tidak dipersetujui oleh waris-waris, maka pembahagian akan tertakluk kepada hukum faraid.”

 

Kalau anda sudah membuat wasiat dan ada memasukkan hasrat mengagihkan harta pusaka mengikut formula tertentu, cuba buka semula wasiat anda dan baca. Mesti anda akan jumpa klausa ini. 

 

Kalau anda boleh membuat HIBAH bagi memastikan hasrat pembahagian harta anda berkuatkuasa, kenapa anda nak buat WASIAT sedangkan anda tahu ia berisiko tidak berkuatkuasa? Renungkan.

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & Presiden Wasiyyah Shoppe Bhd

 

ariffinsabirin

 KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

dagangnews