PRU15 tahun depan, kata tiga akhbar Cina | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 18 Jun 2022 07:00 AM

PRU15 TAHUN DEPAN, KATA TIGA AKHBAR CINA

Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao & Oriental Daily 13-17 Jun 2022

 

 

 

TULAR khabar angin mengatakan Parlimen akan dibubarkan antara Jun dan Julai, membolehkan PRU15 diadakan pada bulan September tahun ini.

 

Bagaimanapun PM mempunyai pendapatnya sendiri mengenai tarikh PRU15. Katanya, pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa sahaja jika sudah bersedia.

 

Tetapi baru-baru ini beliau menukar hujahnya pula dan berpendapat tidak sesuai untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, memandangkan isu kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup yang kini memberi kesan kepada seluruh masyarakat negara ini.

 

Ahli-ahli politik mula tidak senang duduk, masing-masing membuat spekulasi bila tarikh keramat PRU15. Dalaman BN-UMNO yang tidak sebulu, mendesak PM menyegerakan pilihan raya dan memberi mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu yang stabil. 

 

Presidennya, Ahmad Zahid berpendapat kerajaan sedia ada kini sangat rapuh dan sedikit sebanyak menjejaskan pemulihan ekonomi.

 

Persoalannya, adakah kenyataan Ahmad Zahid ini bermakna kerajaan boleh sahaja mengadakan PRU sesuka hati tanpa menghiraukan isu kenaikan harga adalah tindakan demokrasi?

 

Atau ‘geng mahkamah’ ini cuba mencari jalan untuk mengelakkan diri daripada hukuman? Rakyat sebenarnya lebih bimbang adakah segera memilih kerajaan baharu adalah jalan yang paling baik?

 

Atau ‘menangguhkan’ PRU15 bagi membolehkan kerajaan sedia ada menyelesaikan kemelut ekonomi negara hari ini. 


 

PM
MoU antara kerajaan dan pembangkang ditandatangani pada 13 September 2021 dan `tamat' 31 Julai 2020.

 


Parlimen genap tempoh pada Julai 2023 dan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani kerajaan dengan PH jelas menunjukkan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Julai.

 

Melihat kepada perkembangan semasa, kebarangkalian Ismail Sabri membubarkan Parlimen pada 31 Julai adalah sangat tipis.

 

Sama ada ia akan dibubarkan pada Ogos pula, nescaya beliau juga belum membuat sebarang keputusan lagi. Sudah tentu Ismail Sabri mempunyai pertimbangan sendiri, jika Parlimen dibubarkan sekarang, sudah pasti isu inflasi akan digembar-gemburkan dalam PRU.

 

Silap langkah, kemenangan BN semasa PRN Johor dan Melaka tidak memberi jaminan apa-apa. Sebaliknya kita sekali lagi mendengar laungan merdu pembangkang: BN! Barang Naik! Undi BN, barang naik!

 

Inflasi yang dihadapi negara kali ini adalah yang paling serius, hampir kesemua harga barangan dan makanan meningkat dengan ketara.

 

Dua tiga tahun ini, ekonomi global terjejas ekoran penularan wabak COVID-19, ditambah pula dengan perang Rusia-Ukraine mencetuskan satu lagi kekacauan, sehingga menyekat rantaian bekalan yang tidak nampak penghujungnya.

 

Walaupun data rasmi menunjukkan kadar inflasi negara adalah terkawal, tetapi persepsi rakyat jauh berbeza. Harga semua jenis barangan dan makanan berterusan meningkat.

 

Antaranya harga minyak masak 5kg naik sehingga RM45 berbanding RM30 dua tahun lepas.


 

irsyad

 


Set menu ‘nasi bajet’ pula kini hanya tinggal nama kerana harganya juga naik, begitu juga dengan roti canai kegemaran ramai.

 

Walaupun isunya kelihatan kecil, tetapi boleh membangkitkan sentimen kemarahan rakyat seperti apa yang berlaku pada PRU2008, kita menyaksikan Abdullah Badawi terpaksa mengundurkan diri setelah rakyat melihat beliau seorang PM yang gagal. 

 

Hari ini, ahli-ahli politik galak bercakap mengenai keselamatan bekalan makanan domestik, memberi cadangan untuk meningkatkan pengeluaran makan dan bergerak ke arah sara diri.

 

Memang betul apa yang dikatanya, tetapi bukankah perkara ini sepatutnya sudah dilakukan lebih awal lagi dan mengapa perlu tunggu sehingga berlakunya krisis, baru terkial-kial membuat pembaharuan? 

 

Dalam keadaan kesakitan ekonomi ini, kerajaan sepatutnya muhasabah diri. Jika dari dulu lagi mengukuhkan ekonomi dengan tadbir urus yang baik, mungkin kita tidak akan terkesan sangat dengan gelombang wabak dan perang Rusia-Ukraine.

 

Justeru itu, tiada keperluan sebenarnya untuk mempertikaikan tarikh PRU15, sama ada diadakan tahun ini atau tahun depan, adakah keadaan ekonomi akan menjadi lebih baik?

 

Walaupun inflasi bukan perkara baru dan tiada penyelesaian, tetapi sama ada masalah yang sama boleh dielakkan daripada berulang adalah tugas dan ujian sebenar kerajaan.

 

Namun desakan dan tekanan agar PRU15 diadakan segera, menyukarkan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ menangani masalah sara hidup rakyat dengan tenang.


 

PM

 


Malaysia sangat menyedihkan, politik sepatutnya menjadi alat yang baik untuk menyelesaikan masalah sara hidup rakyat.

 

Tetapi melihat kepada perkembangan dalam tempoh dua tahun lepas, sebahagian besar ahli politik hanya taksub untuk berebut kuasa dan keuntungan.

 

Berapa ramai sebenarnya yang benar-benar mendahulukan kepentingan rakyat?

 

Ismail Sabri mengambil pengajaran tsunami politik 2008 dan kejatuhan BN 2018, sedikit sebanyak adalah berpunca daripada isu ekonomi.

 

Sudah tentu beliau tidak akan mengambil tindakan terburu-buru yang akan menjatuhkan dirinya.

 

Dengan erti kata lain, sekiranya masalah kos sara hidup dapat diselesaikan atau diringankan, sekurangnya-kurangnya BN/UMNO boleh menyentuh hati rakyat dan peluang untuk menang lebih terjamin.


 

apa

 


Mengadakan PRU memerlukan perancangan jangka panjang, tidak boleh tergesa-gesa.

 

Jika tidak, ia hanya akan merugikan diri sendiri, malah menimbulkan rasa meluat rakyat seterusnya menyebabkan pengundi tidak keluar mengundi.

 

Duduk di kerusi PM, menjadi impian setiap orang dan bukan mudah untuk mencapainya.

 

Ismail Sabri sebagai pemimpin ketiga dalam parti UMNO hanya secara kebetulan sahaja berjaya mendaki dan duduk di kerusi PM.

 

Pastinya beliau mahu duduk lebih lama, kerana selepas PRU15 belum tentu kerusi tersebut jadi miliknya lagi.

 

Mungkinkah Ismail Sabri akan menjadi ‘PM paling singkat’ dalam sejarah Malaysia, pilihan ada ditangannya sendiri. - DagangNews.com

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 13-17 Jun 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA