Sistem kewangan kita lebih cekap berbanding Sri Lanka | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 30 Jul 2022 07:00 AM

SISTEM KEWANGAN KITA LEBIH CEKAP BERBANDING SRI LANKA

Sin Chew Jit Poh & Oriental Daily 27 Julai 2022

 

 

 

 

KEMELUT yang melanda kerajaan Sri Lanka akibat krisis ekonomi, membuatkan ramai yang tertanya-tanya sama ada Malaysia akan menerima nasib yang sama.

 

Dengan hujah bahawa Malaysia kini terbeban dengan hutang, orang ramai memilih untuk mempercayainya.

 

Walaupun terdapat banyak negara membangun yang mungkin berdepan masalah seperti Sri Lanka, tetapi Malaysia belum sampai ke tahap menjadi negara yang gagal atau muflis.

 

Pakar ekonomi telah banyak membuat penjelasan munasabah mengenai perkara ini, tetapi masih ramai yang terlepas pandang maklumat penting yang disampaikan.

 

Krisis politik dan ekonomi Sri Lanka adalah disebabkan oleh faktor yang pelbagai. Antaranya adalah kapitalisme kroni, etno-nasionalisme dan dasar populis.

 

Keadaannya hampir sama dengan Malaysia sehinggakan pengkaji hubungan etnik sering membandingkan kedua-dua negara ini. Tetapi struktur ekonomi Malaysia adalah berbeza dengan Sri Lanka.

 

Sri Lanka adalah sebuah negara berbilang etnik dengan keluasan 65,610 kilometer persegi dengan populasi kira-kira 20 juta orang. Pecahan etnik kira-kira 75% Sinhala, 10% Muslim, 15% Tamil dan beberapa etnik yang lain.

 

Politik negara ini adalah berlandaskan kepada pecahan etnik yang terbesar yang akan berkuasa. Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang melarikan diri ke Singapura adalah dari kalangan etnik Sinhala.

 

Semasa berkuasa, beliau mengamalkan kronisme dan bukannya sistem meritrokasi. Selain suka menggunakan dasar populis seperti pemotongan cukai yang tidak sesuai semata-mata untuk meraih hati pengundi.

 

Negara ini juga mempunyai sistem perkhidmatan awam yang besar sehingga bajet tahunan kerajaan sering mengalami defisit.


 

apa

 


Pada tahun 2019 sebelum pandemik melanda, peratusan hutang awam daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah setinggi 80%, satu jumlah yang sangat berisiko tinggi.

 

Tukaran mata wang asing Sri Lanka yang bergantung kepada pelancongan dan industri intensif buruh seperti tekstil dan pakaian, serangan pandemik telah menyebabkan industri ini terjejas teruk dan hasil pendapatan negara merudum.

 

Perang Rusia-Ukraine memburukkan lagi keadaan dengan kenaikan harga bekalan makanan dan tenaga serta kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) juga memberi tekanan kepada kejatuhan nilai mata wang.

 

Bagi negara miskin dengan pendapatan per kapita kurang daripada AS$3000/RM13,000 keadaan ini adalah satu tamparan yang hebat, ditambah lagi dengan jumlah hutang luar negaranya yang mencecah AS$50 bilion/RM222.7 bilion.

 

MALAYSIA

Kembali kepada Malaysia, ada persamaan dan perbezaannya dengan Sri Lanka. Perbezaan utama adalah Malaysia mempunyai petroleum dan minyak kelapa sawit.

 

Apabila nilai komoditi dunia melambung tinggi, kedua-dua komoditi ini juga akan meningkat dan memberikan kerajaan lebih berkemampuan untuk pemberian subsidi terutamanya tenaga.

 

Selagi harga tenaga boleh dikawal, maka kenaikan komoditi lain lebih mudah dikawal.

 

Sebenarnya, perbelanjaan subsidi di Malaysia tahun ini mungkin mencecah lebih RM70 bilion.


 

apa

 


Dalam jangka masa panjang, masalah yang akan dihadapi negara adalah tenaga terutamanya jumlah penggunaan petrol yang terlalu tinggi.

 

Dengan populasi 32 juta penduduk, jumlah pengangkutan yang berdaftar juga setinggi 32 juta.

 

Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi, kadar pemilikan kereta yang begitu tinggi sememangnya terlalu boros dan membazirkan terlalu banyak sumber. 

 

Ironinya, kerajaan pula menggalakkan orang ramai membeli kereta dengan cara mengecualikan cukai jualan.

 

DASAR RABUN JAUH

Dasar ‘rabun jauh’ ini telah menjadi beban yang berat kepada rakyat kerana penjagaan kereta telah menyebabkan ramai yang muflis kerana mereka tidak mampu dan melanggar kontrak pembelian.

 

Dari segi rizab pertukaran asing pula, Malaysia masih mempunyai ratusan bilion dolar dalam pertukaran asing, belum sampai ke tahap tidak ada duit untuk mengimport barang keperluan.

 

Keupayaan pertukaran asing untuk kekal lebih daripada AS$100 bilion/RM445.4 bilion bagi jangka masa lama, adalah kerana struktur eksport dan ekonomi Malaysia yang lebih pelbagai.


 

apa

 


Kira-kira 80% eksport Malaysia adalah barangan perkilangan, manakala produk pertanian dan mineral masing-masing menyumbang kira-kira 10%. Struktur ini dapat mengurangkan kelemahan luaran Malaysia.

 

Mengenai hutang awam Malaysia pula, setakat ini mencapai kira-kira 60% daripada KDNK dan masih boleh meningkat kepada had 65% yang ditetapkan.

 

Tetapi perlu diingatkan bahawa ini adalah hutang langsung, tidak termasuk hutang yang dijamin kerajaan atau hutang pajakan.

 

HUTANG DALAM RINGGIT

Walaupun begitu, kira-kira 97% hutang awam Malaysia adalah dalam ringgit, bermakna hanya kira-kira 3% sahaja dalam mata wang asing seperti dolar AS.

 

Dan kira-kira 27% hutang dalam ringgit adalah dipegang oleh bukan pemastautin.

 

Dengan erti kata lain, pemiutang terbesar adalah penduduk negara seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Selagi hutang adalah dalam ringgit, maka masih banyak lagi ruang untuk bergerak. Contohnya jika kerajaan kesempitan duit, boleh mencetak wang ringgit untuk membayar hutang.


 

apa

 


Satu lagi faktor utama adalah kadar faedah, selagi ia adalah rendah maka tekanan ke atas kerajaan untuk membayar balik hutannya juga adalah rendah.

 

Tetapi sejauh mana kadar faedah Malaysia akan meningkat, ia bergantung kepada situasi antarabangsa.

 

Jika AS, Eropah dan negara-negara lain terus menaikkan kadar faedah untuk melawan inflasi, Malaysia juga terpaksa menurutinya.

 

Jika tidak, ringgit akan terus susut nilai dan Malaysia akan kehilangan dana. Di Malaysia, hutang luar dalam mata wang asing kebanyakannya adalah hutang syarikat domestik termasuklah syarikat berkaitan kerajaan.

 

Penurunan nilai ringgit yang berlebihan secara automatik membebankan keupayaan syarikat untuk membayar balik hutang.

 

Justeru, masa dan kadar kenaikan faedah adalah pertimbangan yang sangat penting. Oleh kerana keupayaan Malaysia untuk menangani krisis masih tinggi, jika berlaku masalah di Malaysia bererti sebahagian besar negara membangun di dunia juga akan berdepan dengan masalah.

 

TIDAK MUNGKIN MUFLIS

Maka, hujah bahawa Malaysia akan muflis dalam jangka masa terdekat tidak mungkin akan berlaku.

 

Bagaimanapun situasi Malaysia juga tidak optimistik untuk jangka panjang.


 

parafrasa

 


Sebagai contoh struktur perkhidmatan awam yang terlalu besar dengan jumlah penjawat awam mencecah 2 juta kakitangan. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, perbelanjaan gaji dan pencen tahunan penjawat awam telah melebihi RM100 bilion, menyumbang kira-kira 1/3 daripada jumlah perbelanjaan kerajaan persekutuan.

 

Ini pastinya akan menjadi topik perbincangan ‘menunggu perubahan.

 

Bagaimanapun, 2 juta kakitangan adalah jumlah undi yang besar dan sesiapa yang berani menyinggung perasaan mereka belum pasti dapat mempertahankan rejim pemerintahan.

 

Satu lagi masalah yang perlu dititik berat ialah Malaysia mempunyai hutang dalam negeri yang tinggi dengan 80% daripada KDNK.

 

Ini kerana sejak 20 tahun lalu, Malaysia memberi tumpuan kepada penggunaan domestik untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, sehingga hutang dalam negeri meningkat ke paras yang tinggi.

 

Sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) terpaksa menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur, pastinya akan menambahkan beban penghutang dan pertumbuhan ekonomi juga akan terbantut. Pertumbuhan yang perlahan pastinya akan meningkatkan nisbah hutang awam dan hutang isi rumah.

 

Dengan inflasi yang tingi baru-baru ini, memandangkan kerajaan masih mempunyai keupayaan untuk memberikan subsidi yang besar maka inflasi masih di dalam kawalan.

 

Namun sekiranya dapat menarik jumlah tenaga kerja yang sesuai untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga buruh khususnya dalam bidang pertanian dan pembinaan, ia pasti dapat membantu memulihkan ekonomi dan meredakan inflasi.

 

Oleh kerana Malaysia mengalami masalah kekurangan tenaga buruh, selagi rakyat Malaysia tidak memilih, pasti mereka akan mempunyai pekerjaan.


 

parafrasa

 


TIADA PENGANGGURAN BESAR

Keadaan ini akan menstabilkan keadaan politik dan ekonomi negara. Selagi tiada masa pengangguran yang besar dan kerajaan berterusan memberi bantuan sara hidup, meskipun ada perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat, Malaysia tidak akan menjadi kelam seperti Sri Lanka.

 

Kesimpulannya, Malaysia tidak akan menjadi Sri Lanka. Tetapi kita juga tidak sepatutnya berpuas hati dengan apa yang ada kerana kita layak untuk mendapat yang lebih baik.

 

Kita tidak perlu membuang masa dengan isu yang tidak membantu dan kontroversi yang memecahbelahkan negara.

 

Apa yang perlu dilakukan adalah meningkatkan daya saing, pekerjaan, kewangan awam, produktiviti dan kecekapan negara.

 

Kita perlu mencipta imej negara yang lebih baik sama ada untuk diri sendiri mahupun peringkat antarabangsa.  – DagangNews.com

 

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Oriental Daily 27 Julai 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA