MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM
BAGI anda yang tebal sifat pemalu, benda yang leceh dan paling dirungutkan ialah bila disuruh berdiri di hadapan orang ramai untuk membuat pembentangan atau berucap sebagai wakil majikan.
Keberatan hati itu bukan disebabkan ‘itu kerja orang lain’ atau ‘gaji tak memadai’. Sebaliknya, ia lebih kepada soal ‘sangat segan’.
Dalam istilah saintifik, ia disebut glossophobia iaitu takut membuat ucapan di khalayak ramai. Ia berkaitan dengan sifat rendah diri melampau (inferiority complex) dan tiada keyakinan diri melakukan pengucapan awam. Tidak terkecuali ialah ketakutan melakukan kesilapan semasa bercakap atau menjawab soalan di majlis terbuka.
Lebih-lebih lagi jika audiens adalah dalam kalangan para sarjana, cendikiawan atau pemimpin masyarakat yang disegani. Berbicara di hadapan sarjana-sarjana misalnya kena elak guna bahasa pasar, takut kurang sekolah bunyinya nanti.
Wartawan pula harus menguasai teknik komunikasi lebih kepada antara orang perseorangan (interpersonal) dan berkumpulan.
Untuk bercakap di hadapan khalayak ramai, seseorang yang kurang berpengalaman tentangnya memang kena baca balik teori pengucapan awam yang mungkin mereka pernah pelajari. Untuk mengasah bakat bercakap di hadapan khalayak, seseorang mungkin perlu selalu berlatih di hadapan cermin.
Sebagai contoh, mesyuarat agung sesebuah parti politik merupakan satu acara besar yang akan menyaksikan sebilangan besar individu tampil di hadapan khalayak bagi menyampaikan pidato.
Acara ini bukan sekadar menjadi medan penzahiran politik tetapi tidak kurang pentingnya platform untuk menonjolkan keterampilan bakat kepemimpinan individu terutama daripada segi buah fikiran dan teknik pidato yang terbaik. Populariti anda bergantung kepada kepetahan anda berucap. Gagal berucap juga boleh mempopularkan anda – sebagai bahan jenaka!
Sempena Pilihan Raya Negeri Sabah akhir bulan ini, Merrepak menurunkan panduan kepada bakal-bakal pemidato, khususnya bakal calon pilihan raya yang akan pertama kali naik ke pentas, berikut adalah 10 petua pengucapan awam yang boleh diguna pakai atau dijauhi kelak:
- Jangan kelihatan tidak serius
Semasa berlaku sesuatu insiden berat, perlu ada pengurusan krisis yang baik. Jurucakap syarikat haruslah mempamerkan suasana serius, elak daripada buat lawak, elak daripada ketawa yang kerap ketika menjawab soalan pemberita. Tambah-tambah lagi isu yang memang jadi kemarahan rakyat seperti bekalan air terputus. Rakyat tidak akan lupa wajah ketawa jurucakap ketika mereka terpaksa mencuci badan menggunakan air botol mineral.
- Tidak salahkan orang lain
Ada banyak strategi menguruskan krisis organisasi. Benda pertama yang jangan dibuat ialah menyalahkan orang lain sebab ketika orang marah, apa sahaja rasional tidak akan diterima. Tunggu kemarahan reda, baru pertahankan diri jika benar-benar tidak bersalah. Tetapi jika bersalah pun masih tidak mahu mengaku salah, tunggulah backlash netizen tidak lama lagi.
- Kenal pasti apa itu krisis besar, krisis kecil
Jika anda menjaga hal ehwal prasarana rakyat seperti pengangkutan, perumahan, tenaga dan air, ketahuilah anda memegang amanah besar rakyat. Jika berlaku sesuatu insiden seperti terputus bekalan air, jangan sesekali menganggap ia hanya sekadar menambah beban kerja anda. Sebaliknya bekerjalah dengan tekun untuk membantu rakyat dengan menyampaikan maklumat yang baik. Bukan tiba-tiba diam atau beri maklumat setengah masak.
- Berlatih, berlatih dan berlatih
Dalam apa kerja pun, kita kena lakukannya berulang kali untuk benar-benar mahir. Pengucapan awam adalah satu seni yang boleh dipertingkatkan melalui latihan yang kerap bermula di hadapan cermin, depan isteri atau suami, rakan sepejabat dan ahli-ahli PIBG.
- Jangan kemaruk jadi pelawak
Benar, sesuatu pidato jadi lebih ceria dan dapat menangkap perhatian jika diselitkan bahan jenaka. Tetapi berpada-pada. Jika subjek disentuh hal sangat serius seperti agama dan bangsa, elakkan berjenaka.
- Pastikan fakta tepat
Dapatkan kandungan hujah anda daripada sumber sahih, bukan Facebook atau Wikipedia atau akhbar parti lawan. Anda tidak mahu audiens membetulkan anda di tengah-tengah anda berucap.
- Susun ayat
Guna frasa mudah dan analogi yang bersesuaian bagi memudahkan audiens memahami apa anda hendak sampaikan. Frasa anda yang tepat dan kuat, memungkinkan orang memetik kata-kata anda kelak.
- Jangan berleter
Ini label kepada corak pidato marah-marah tanpa menawarkan jalan penyelesaian. Hadirin sudah biasa dengar dan baca leteran di media sosial. Dalam perhimpunan ini, mahu dengar rumusan penyelesaian, bukan merrepak.
- Belajar kawal nada suara
Ini sama seperti penyanyi. Permulaan mungkin lembut, memuncak pada korus. Turun naik nada suara akan mampu memaut perhatian, berbanding dengan nada lemah lembik macam orang membaca surat tuntutan LHDN.
- Kurangkan guna istilah tinggi
Jadilah diri anda sendiri. Elakkan guna ayat seperti ‘kelestarian wahana berteraskan anjakan paradigma menerusi kemampanan ekonomi sebagai ekuiti pasca prakarsa’. Ia tidak menjadikan anda terbilang, tapi perhatian orang pasti menghilang. - DagangNews.com
Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya sebagai wartawan selama 32 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Boogie Wonderland oleh Earth, Wind & Fire berulang-ulang kali.
Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com. Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel [email protected]