11 spesies bos yang AMAT dibenci pekerja | DagangNews Skip to main content

11 spesies bos yang AMAT dibenci pekerja

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

1. Kemaruk kecam pengurusan lama

Dalam mesyuarat pertama bos bersama konco-konconya menggunakan kesempatan membalas dendam yang terpendam di lubuk hati yang tidak tenang. Sesi dua jam diguna mengecam dan memperlekeh pengurusan lama syarikat, bahawa semua keputusan mereka salah dan menjadi punca syarikat kerugian.

Pegawai-pegawai lain memang pernah bekerja di bawah pengurusan lama, tidaklah bodoh sangat untuk percaya bulat-bulat propaganda bos baru ini. Lagi pun, semua tahu bos baru ini zaman sebelum ini memang terpinggir dan diletakkan di unit lain kerana tidak tahu bekerja berpasukan.

Jadi bila bos baru berkelakuan mengecam bos lama, ia hanya menunjukkan kelemahan sebenar bos baru bahawa mereka memang hati hitam yang tidak boleh dibuat kawan sampai bila-bila. Bos baru kena ingat bahawa rahsia mereka pun orang tahu.
 

ob


PETUA: Bagi masa sikit untuk  mereka buat kerja. Jika gagal naikkan hasil syarikat, pekerja jangan bimbang. Tauke syarikat akan tamatkan kontrak mereka. Atau kalau berani, beritau saja dalam mesyuarat: “Bos, move on lah! Kami tak mau dengar bos cerita hal-hal orang lain. Mengumpat itu berdosa. Sia-sia saja solat bos!”.


2. Kaki Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp

Ketagihan kepada media sosial di atas ini selalu berlaku dalam organisasi di mana terdapat pengurus yang ramai sehingga pembahagian tugas menjadi kecil. Ini diterjemahkan sebagai pengurus ramai tetapi tugas sikit. Kenapa perlu ramai pengurus, kita merrepak pada sesi lain.

Disebabkan tugas sikit, maka banyaklah waktu untuk berlegar di laman sosial. Kecenderungan ini jadi kegilaan kerana fizikal badan ada di meja atau bilik masing-masing tetapi jiwa raga di alam maya. Bila waktu deadline, baharulah terkial-kial hendak menyiapkan tugasan yang tertunggak.

PETUA: Jangan ‘friend’ bos dalam laman sosial. Takut sesekali anda tertekan ‘Check In’, bos akan tahu anda tidak berada di tempat kerja. Kalau dia minta friend, luluskan. Lusa anda ‘unfriend’.

 

3. Suka mencarut, bercakap lucah

Berpakaian segak, bertali leher dan kadang kala lengkap dengan sut, bos anda kelihatan tampan dan berkuasa. Tetapi masalahnya hot temper mengalahkan ahli gusti. Pantang sikit marah, mulut terus mencabul dengan perkataan mencarut. F%$# Y&%.

PETUA: Elak dari cetus kemarahan bos. Masalahnya masalah orang lain pun anda juga kena tempias. Belajar teknik ‘tuli telinga’. Bila bos mula mencarut, tulikan pendengaran tetapi buat muka lurus. Jangan lawan. Bos adalah durian. Kita durian belanda. Tak sama.

 

4. Kaki potong OT

Memanglah syarikat amalkan konsep jimat cermat. Jimatlah elektrik, tutup lampu masa makan tengah hari. Guna e-mel, kurangkan kertas cetak. Tapi memotong tuntutan overtime (OT) kakitangan yang bos sendiri kerah bertugas lebih masa, adalah tidak adil sama sekali.

PETUA: Bila bos arah kerja lebih masa, siapkan borang OT dan minta bos tandatangan terus. Kaedah ini bagi mengelakkan bos lupa di hujung bulan atau kemaruk memotong OT.

 

5. Cuci tangan

Ada kalangan bos kecil ini memiliki tali pinggang hitam dalam `seni kung fu mengelak kena marah’ bos besar. Walaupun kesalahan kakitangan itu telah disemak bos dan patut bos bertanggungjawab bersama-sama, tetapi perkara pertama dibuat ialah menunding jari kepada kakitangan. Kaedah ini amat bertentangan dalam prinsip mengukuhkan ukkuwah dan jati diri dalam organisasi.

PETUA: Sebaik berlaku bencana, bos jenis ini akan meninggalkan kapal. Jadi terserah kepada anda untuk bersiap dengan pelampung atau paling bagus, cari kapal lain untuk belayar.

 

6. Suka cari salah orang

Bos yang suka mencari kesalahan kakitangan, kononnya untuk meninggikan mutu kerja mungkin mendapat didikan kepimpinan daripada sekolah tentera Ghengis Khan. Jangan puji, takut nanti kakitangan lupa diri. Tumpukan kepada kesalahan. Senang keji. Peduli apa aspek motivasi dan keyakinan untuk membuat keputusan dalam kalangan kakitangan. Mereka bukan bos.
 

khan


PETUA: Kakitangan sekalian, jangan contohi bos sebegini bila anda diberi peluang memimpin nanti. Fikirkan apa yang anda rasa sekarang terhadap bos anda yang sebegini. Benci tegar, bukan? Lagi tragis bila bos besar memberi contoh nama anda sebagai contoh bos dibenci sewaktu perhimpunan.

 

7. Pengawal kesihatan tidak bertauliah

Bila kakitangan sakit, perkara pertama disuarakan ialah `semalam nampak sihat. Tiba-tiba pula sakit hari ini?". Memang tidak salah bertanya tetapi bab sakit dan tidak sihat ini, di luar kawalan. Kakitangan tahu, mereka kena mengemukakan sijil sakit nanti. Apa bos tak pernah jatuh sakit?

PETUA: Cetak artikel kesihatan berkaitan masa kedatangan haid perempuan atau laporan akhbar tentang masalah kesihatan kesan daripada meminum air lombong atau beritahu kawasan rumah anda kena lockdown COVID-19. Letak atas meja bos. Harap dia baca.

 

8. Tidak sensitif

Syarikat menanggung hutang bila melakukan projek tertentu. Akan ada sana sini yang perlu dikurangkan kos dan dikenakan kos. Kawasan meletak kereta kena caj RM30 sebulan terhadap kakitangan. Maka kakitangan meletak kereta di sekeliling pejabat. Laluan jadi sesak. Bangunan parking lapan tingkat jadi gajah putih.

Yang tidak boleh diterima sama sekali bila bos potong kemudahan perubatan hospital swasta. Mana sensitiviti? Bos yakin diri sendiri takkan perlu guna kemudahan hospital tersebut.

PETUA: Buat petisyen bantahan dan kemukakan kepada Lembaga Pengarah syarikat. Kalau tak berkesan, buat sidang akhbar.

 

9. Egois

Bos daripada golongan ini memiliki sedikit kelebihan berbanding bos lain, sama ada daripada segi pendidikan atau harta atau rupa paras. Ia menjadi melarat bila mereka diberi peranan atau kuasa. Kalau benar-benar bertaraf bos besar tidak mengapa, tetapi baru ketua unit pun sudah mempamerkan ciri-ciri Adolf Hitler, memanglah anak buah semua bertekad menjadi gerila pejabat mensabotaj projek.
 

hitler


PETUA: Tazkirah secara perlahan-lahan menerusi posting di Twitter, Facebook (di mana bos selalu berada) tentang perlunya menurunkan ego supaya tidak dibenci kakitangan.

 

10. Mementingkan kerjaya diri sendiri

Dalam organisasi yang ramai pengurus, masing-masing diberi beberapa kakitangan sebagai unit. Di sebalik memimpin unit, bos jenis ini lebih suka buat kerja sendiri untuk menonjolkan diri dan menerima pujian bos besar. Bila waktu patut semua pengurus bekerja serentak mengejar deadline, bos jenis ini selamba buat kerja lain. Itu belum kira waktu dia terlelap tanpa mengetahui seluruh warga pejabat mengetawakannya.

PETUA: Bagitau bos besar minta dia ketuai unit tanpa kakitangan supaya tiada yang rasa diabaikan. Kalau bos besar nak dengarlah. Kecuali dia pun tak lama lagi nak kena letak jawatan juga.

 

11. Berpuak-puak

Bos jenis ini bercita-cita tinggi dan mahu menjadi CEO dalam tempoh singkat. Bos ini percaya dia perlu mengumpul kroni-kroni dalam pejabat. Mereka yang tidak sebulu dengannya akan disisihkan daripada mengendali projek besar atau tidak disenyawakan. Lazimnya, kakitangan jadi mangsa kerana tidak tahu hendak patuh pada siapa. Penyelia terdekat selalu kena veto Little Napoleon.

PETUA: Buat komplot untuk dedahkan kepada bos besar tentang puak politik pejabat ini. Cara ada macam-macam. Jangan guna surat layang. Sudah tidak berkesan. Guna Facebook.             

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mengambil nikotin pada kadar berganda. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com. Untuk sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel [email protected]