1H20: Hotel Mandarin Oriental milik KLCCP Stapled rugi RM29.3j  | DagangNews Skip to main content

1H20: Hotel Mandarin Oriental milik KLCCP Stapled rugi RM29.3j 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Firma hartanah, Kumpulan KLCCP Stapled yang terdiri daripada KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC REIT) dan KLCC Property Holdings Berhad mengalami kerugian besar dalam aset hotelnya, Mandarin Oriental Kuala Lumpur sehingga RM29.3 juta pada separuh pertama 2020.

Angka itu didorong oleh pola pelancongan yang lemah, pembatalan tempahan bilik dan acara pada awal suku pertama 2020, kadar penghunian yang lemah serta perniagaan makanan dan minuman (F&B) yang merosot dengan ketara. 

Situasi itu turut menyaksikan hasil hotel yang dicatatkan bagi tempoh sama menyusut 63% dengan 92% penurunan ketika suku kedua 2020. 

Menerusi laporan analisis CGS-CIMB Reseach, keuntungan bersih firma itu pada suku kedua tahun ini merudum 22%, dengan susut nilai 15.4% bagi tempoh sama. 

“Kami percaya jumlah pengunjung di aset runcitnya, Suria KLLC menyaksikan peningkatan sekitar 60% hingga 70% pada Julai berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, beransur pulih bagi sentimen runcit dan trafik pembeli.

“Bagaimanapun, CGS-CIMB merasakan terdapat risiko purata kadar sewa lebih rendah (pembalikan sewa negatif) pada 33% daripada jumlah c.300 pajakan di Suria KLCC yang berakhir tahun ini,” jelas analisis CGS-CIMB.

KLCCP Stapled menyasarkan Suria KLCC akan kembali menerima kunjungan berkapasiti 20,000 hingga 30,000 pada separuh kedua 2020.

“Maklumat lanjut dijangka akan didedahkan pada laporan keputusan suku kedua kumpulan itu esok,” tambah CGS-CIMB Research ketika mengulas jangkaan berkenaan. 

Penularan COVID-19 telah memberi impak besar ke atas aset runcit dan hotel kumpulan itu pada separuh kedua 2020. 

KLCCP Stapled catat jumlah hutang sebanyak RM2.3 bilion dengan wang tunai, RM842 juta pada penghujung tempoh sama. - DagangNews.com