2 anggota baharu MPC BNM dilantik | DagangNews Skip to main content

2 anggota baharu MPC BNM dilantik

 

 


KUALA LUMPUR 14 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan 2 anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari BNM untuk tempoh 2 tahun. 

 

Pelantikan itu membabitkan Nor Zahidi Alias berkuat kuasa 1 Januari 2021 manakala pelantikan semula Datuk Dr. Gan Wee Beng berkuatkuasa 1 April 2021.

 

Menurut BNM, di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, Jawatankuasa Dasar Monetari BNM bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari. 

 

"Akta Bank Negara Malaysia 2009 juga memberi peruntukan kepada pelantikan anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Zahidi Alias
Nor Zahidi Alias

 

Nor Zahidi sebelum ini merupakan Ketua Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC). 

 

Sebelum bertugas di MARC, beliau merupakan Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance. 

 

Beliau berkelulusan Sarjana dalam bidang Dasar Ekonomi dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Boston University

Datuk Dr. Gan Wee Beng
Datuk Dr. Gan Wee Beng

 

Sementara itu, Wee Beng pula merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Monetari sejak 1 April 2019. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). 

 

Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan telah menyandang beberapa jawatan dalam CIMB Group termasuk sebagai Penasihat Perbankan Pelaburan dan Pengarah Eksekutif di CIMB Bank, CIMB Investment Bank dan CIMB Securities. 

 

Sebelum ini, beliau merupakan Penasihat Kanan di Jabatan Ekonomi, Monetary Authority of Singapore, dan perunding kepada Bank Dunia dan International Labour Organisation. 

 

Wee Beng berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, serta Sarjana dan Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi daripada Universiti Malaya.
 

Dengan pelantikan ini, Jawatankuasa Dasar Monetari akan dianggotai 8 orang ahli.

 

Anggota Jawatankuasa Dasar Monetari 

 

  1. Gabenor Nor Shamsiah Yunus
  2. Timbalan Gabenor Abdul Rasheed Ghaffour
  3. Timbalan Gabenor Jessica Chew Cheng Lian
  4. Timbalan Gabenor Marzunisham Omar
  5. Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz
  6. Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut
  7. Datuk Dr. Gan Wee Beng
  8. Nor Zahidi Alias

 

Bank pusat itu menyifatkan pelantikan Nor Zahidi dan Wee Beng akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari. - DagangNews.com