2 faktor pacu pertumbuhan ekonomi lebih baik pada 3Q20 | DagangNews Skip to main content

2 faktor pacu pertumbuhan ekonomi lebih baik pada 3Q20

Ekonomi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Prestasi ekonomi negara dijangka akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik untuk suku ketiga tahun kewangan 2020.

MIDF Research berkata, jangkaan lebih positif itu lebih dikhususkan melalui dua faktor utama.

"Kami menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan mula pulih dan bertambah baik pada suku ketiga 2020 dan seterusnya.

"Secara khususnya, ia didorong oleh pelonggaran dasar monetari yang agresif dan suntikan pakej rangsangan fiskal yang diberikan oleh kerajaan.

"Dua faktor tersebut dapat mengurangkan kesan kejatuhan ekonomi akibat daripada penularan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara," jelas MIDF Research dalam laporan tinjauan ekonomi bulanan, Oktober 2020.

Ekonomi negara kini berada dalam landasan pemulihan yang baik seperti pemulihan aktiviti ekonomi domestik dan peningkatan eksport berbanding awal tahun ini.

Penilaian itu disandarkan kepada Indeks Pelopor (IP) terbaharu yang menunjukkan peningkatan positif untuk bulan keempat berturut-turut.

Pengekalan pada tahap 76% itu didorong oleh keyakinan dan potensi jualan yang berterusan pada masa akan datang.

Tambah MIDF Research lagi, pengumuman data negara baru-baru ini juga menunjukkan tanda pemulihan yang lebih banyak sama ada di peringkat domestik dan eksport yang berkait rapat dengan pembukaan semula sektor ekonomi di dalam dan luar negara.

Eksport negara kembali ke landasan positif dengan pertumbuhan dua digit iaitu 13.6% pada September 2020.

Peningkatan itu merupakan pengembangan tertinggi sejak Oktober 2018.

Jumlah perdagangan juga meningkat 5.5% pada bulan sama dengan jumlah lebihan dagangan yang dicatat berjumlah RM22 bilion.

Ia merupakan nilai kedua terbesar dalam rekod selepas RM25.2 bilion pada Julai 2020.

Bagi tempoh suku ketiga 2020, lebihan dagangan yang dicatatkan berjumlah RM60.4 bilion iaitu 75.5% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya. - DagangNews.com