2020 : Pelaburan Malaysia berjumlah RM164 bilion | DagangNews Skip to main content

2020 : Pelaburan Malaysia berjumlah RM164 bilion

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Malaysia merekodkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM164 bilion melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama sepanjang 2020.

 

Kesemua projek itu diharapkan dapat mewujudkan 114,673 pekerjaan baru dalam pelbagai sektor ekonomi
apabila dilaksanakan. 

 

Bagaimanapun, jumlah pelaburan itu susut 22.4% berbanding RM211.4 bilion yang direkodkan 2019 melibatkan 5,287 projek.  

 

Menteri Kanan Ekonomi yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penurunan ini disebabkan oleh sektor perkhidmatan dan utama yang secara langsung dipengaruhi oleh penurunan permintaan global akibat pandemik dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

 

Pada 2020, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM99.8 bilion (merangkumi 60.9%) manakala pelaburan langsung asing (FDI) merangkumi baki RM64.2 bilion (39.1%).

 

Sektor perkilangan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada 2020 dengan mencatat pelaburan sebanyak RM91.3 bilion diikuti perkhidmatan, RM66.7 bilion dan sektor utama dengan RM6 bilion.

 

Tiga negara merupakan FDI utama Malaysia itu China, RM18.1 bilion, Singapura (RM10.0 bilion) dan Belanda (RM7 bilion) menyumbang lebih daripada separuh (54.8%) daripada jumlah FDI yang diluluskan untuk tahun ini.

 

Menurut Mohamed Azmin, walaupun berdepan dengan cabaran akibat pandemik, pelaburan projek baru yang
merangkumi 66.9% daripada keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan, tetap dapat dijana pada tahun lalu. 

 

Beliau menyifatkan, ia adalah bukti usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk memastikan kelangsungan perniagaan dan dasar yang mesra pelabur telah dilaksanakan untuk membolehkan pelabur mempunyai keyakinan untuk mewujudkan operasi baru di negara ini.

 

"Pasukan kami juga telah bekerja keras untuk memastikan projek yang diluluskan dapat dilaksanakan dengan lancar. Ini dapat dilihat melalui peringkat pelaksanaan yang baik bagi projek yang telah diluluskan.

 

"Untuk tempoh 2016-2020, daripada 4,178 projek yang telah diluluskan, 70% pelaburan bernilai RM197.2 bilion telah dilaksanakan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dari segi industri yang menunjukkan prestasi tinggi pada 2020, elektrik dan elektronik melibatkan pelaburan berjumlah RM15.6 bilion diikuti produk petroleum termasuk petrokimia (RM15.5 bilion) dan produk logam asas (RM14.4 bilion). 

 

Selain itu, bagi kertas, percetakan dan penerbitan pula melibatkan pelaburan sebanyak RM7.8 bilion, mesin dan peralatan (RM7.1 bilion), bahan kimia dan produk kimia (RM6.3 bilion), produk getah (RM4.3 bilion)
serta teknologi pengangkutan (RM3.9 bilion). 

 

Kesemua ini telah menyumbang hampir 90% jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan ada tahun lalu.

 

Beliau memberitahu, pada 2020, misi Malaysia sebagai pusat perniagaan dan pelaburan untuk sektor perkhidmatan telah menarik sejumlah RM66.7 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 3,527 projek yang diluluskan. 

 

Ini menyumbang 40.7% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam ekonomi. 

 

"Projek perkhidmatan yang diluluskan ini diharapkan dapat mewujudkan 33,652 pekerjaan," katanya. 

 

Sehingga Disember 2020, MIDA mempunyai potensi pelaburan bernilai RM65.9 bilion yang sedang dinilai secara aktif. 

 

Projek-projek ini, setelah diluluskan dan diharapkan dapat dilaksanakan dalam tahun ini hingga 2022. 

 

Malah, MIDA juga telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofail tinggi, termasuk syarikat Fortune 500 di sektor perkilangan dan perkhidmatan, dengan gabungan nilai pelaburan berpotensi RM81.9 bilion. 

 

Ini juga termasuk rundingan yang sedang berlangsung dengan syarikat daripada pelbagai sektor seperti automotif, kimia, dan elektronik canggih untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat perkilangan, perkhidmatan dan rantaian bekalan global bernilai tinggi. - DagangNews.com