PTT Synergy Group ambil alih kilang berkembar berharga RM10.99 juta di Sepang | DagangNews Skip to main content

PTT Synergy Group ambil alih kilang berkembar berharga RM10.99 juta di Sepang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - PTT Synergy Group Berhad menerusi PTT Property Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Sime Darby Property (Serenia City) Sdn Bhd bagi pemerolehan sebuah kilang berkembar berharga RM10.99 juta terletak di Pusat Perindustrian Serenia, sepang Selangor. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian itu merangkumi sebidang tanah di Lot No. SC-CU-1(c)/15 berkeluasan 2,633.4 meter persegi.

 

"Cadangan pengambilalihan itu adalah bagi operasi perniagaan dan menampung pengembangan perniagaan kumpulan," katanya.

 

Katanya, pertimbangan pembelian dicapai selepas mengambil kira lokasi strategik hartanah dan nilai pasaran hartanah industri di kawasan sekitar.

 

Bagaimanapun, tiada penilaian dijalankan untuk cadangan pengambilalihan itu.

 

"Hartanah ini terletak di lokasi yang strategik dan mudah diakses melalui lebuh raya utama. Oleh itu, hartanah tersebut dijangka sesuai untuk menampung pengembangan perniagaan kumpulan," katanya.

 

Pertimbangan pembelian akan dipenuhi menerusi pinjaman luar.- DagangNews.com