3 bidang segarkan Ekonomi APEC | DagangNews Skip to main content

3 bidang segarkan Ekonomi APEC

Oleh Anis Farhanah Abdul Malek
[email protected]

 

APEC 2020 yang baharu sahaja dilangsungkan pada 20 November lalu, mungkin menjadi agenda yang paling mencabar buat 21 Ekonomi setelah menerima cabaran hebat akibat penularan pandemik COVID-19 tahun ini.

 

Suara-suara rakyat yang terjejas di negara anggota APEC susulan COVID-19 merangkumi hampir separuh populasi dunia iaitu 40% sekali gus meletakkan satu tanggungjawab besar buat pemimpin untuk mencari inisiatif baharu bagi memacu pemulihan negara masing-masing.

 

Negara anggota percaya bahawa usaha yang dilakukan bersama-sama akan membawa kepada impak lebih besar dalam mengubah hidup rakyat dan tidak ketinggalan sektor perniagaan walaupun berdepan cabaran hebat ketika ini.

 

Di sebalik musibah yang menekan keperluan kewangan di Ekonomi APEC termasuk Malaysia, COVID-19 membuka sebuah peluang ke arah merealisasikan peralihan pembangunan negara di segenap sektor terutamanya teknologi, digital dan penjagaan kesihatan.

 

Justeru, Malaysia meletakkan tiga keutamaan yang mengambil kira keadaan getir ketika ini bagi memacu ekonomi serantau APEC, iaitu menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan, penyertaan ekonomi inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi serta memacu kelestarian inovatif.

 

Menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan

Penularan COVID-19 meletakkan negara, pemain industri dan rakyat dalam tempoh tidak menentu, sama ada jangkitan pandemik ini akan berlegar dalam tempoh masa singkat atau panjang.

 

Pada gelombang pertama COVID-19, sektor perdagangan di seluruh negara terjejas teruk memandangkan rantai bekalan antarabangsa dihentikan buat sementara termasuk ekonomi kedua terbesar dunia, China yang menutup kilang-kilangnya untuk menyekat pergerakan rakyat di negara itu, sekali gus memberi kesan berganda kepada dunia.

 

Anggota APEC menekankan keperluan untuk meningkatkan ketahanan dan kesinambungan rantaian bekalan dengan menumpukan ke arah penyelarasan dan memodenkan prosedur khusus, meningkatkan penggunaan teknologi digital serta hubungan antara sempadan.

 

Dalam pada itu, kemudahan dalam perdagangan menjadi instrumen penting untuk merancakkan pemulihan ekonomi. Ini termasuk pelaksanaan kadar Perjanjian Kemudahan Perdagangan (FTA) oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di mana dapat menyumbang kepada 8% hingga 15% pengurangan kos perdagangan, kata Unit Sokongan Polisi APEC.

 

aaa

 

“Anggota juga meneroka lebih jauh dari segi kaedah untuk memudahkan perdagangan barangan perubatan dan keperluan lain,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pelaburan APEC, Krasna Bobenrieth.

 

Dalam masa sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menyeru anggota APEC dan pakar untuk memastikan rantaian bekalan global yang terbuka, selamat, stabil, dan cekap bagi meningkatkan akses dan penyediaan ubat-ubatan yang selamat serta berkesan, termasuk vaksin dan rawatan COVID-19 pada masa depan.

 

Selain menumpukan aspek pemulihan, APEC 2020 akan mengorak bahagian seterusnya untuk tempoh 10 tahun selepas matlamat Bogor berjaya mencapai perdagangan dan pelaburan yang terbuka serta bebas menjelang 2010 bagi negara perindustrian dan tahun 2020 untuk negara yang sedang membangun.

 

Penyertaan ekonomi inklusif melalui ekonomi digital dan teknologi

Ekonomi dan teknologi digital seperti data raya, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), robotik, teknologi blok rantai, pengkomputeran awan, dan sebagainya menyediakan pelbagai peluang  kepada ekonomi-ekonomi APEC dengan menjadi pemangkin dalam bidang inovasi dan kesejahteraan.

 

Teknologi Digital akan menjadi suatu keperluan untuk mencapai keseimbangan, kelestarian, inovatif dan perkembangan yang selamat.

 

Apatah lagi, pandemik COVID-19 telah mencetuskan lonjakan penggunaan teknologi dan peralatan digital terutamanya dalam sektor perniagaan untuk mereka terus bertahan.

 

Malaysia telah membuktikan keperluan teknologi dan digital menerusi pemberian e-Tunai bernilai RM50 yang boleh ditebus dalam e-dompet, bagi memupuk penggunaan digital. 

 

Tidak dinafikan bahawa banyak syarikat permulaan di Malaysia mempunyai perancangan besar untuk mengembangkan perolehan syarikat menerusi teknologi, persoalannya, bagaimana pula dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)?

 

PKS merupakan pemacu pertumbuhan dan inovasi di rantau APEC di mana merangkumi 97% daripada jumlah keseluruhan perniagaan serta menyumbang antara 40% hingga 60% kepada pertumbuhan ekonomi APEC.

 

Disebabkan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyeru anggota APEC untuk bergabung tenaga mempromosi dan menggalakkan peralihan PKS ke dalam ekonomi digital yang sedang membangun.

 

Merujuk kepada penyertaan ekonomi inklusif, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menekankan kepentingan APEC yang bukan sahaja sebagai forum polisi, malah sebuah platform untuk menambah baik tindakan serantau ke arah pemberian akses peluang dan sumber sama rata untuk golongan wanita.

 

Menyedari kepentingan penglibatan wanita dalam ekonomi digital, kepimpinan serta sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), Rina menggesa peningkatan hubungan antara sektor awam dan swasta termasuk peranan Hala Tuju La Serena dalam memperkasa agenda wanita.

 

Memacu kelestarian inovatif

Kelestarian merupakan salah sebuah tema utama APEC 2020, iaitu 'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran'.

 

Di bawah bidang keutamaan itu, fokus APEC adalah untuk mengenal pasti amalan-amalan baharu yang boleh ditambah baik ke dalam amalan sedia ada melalui sains, teknologi dan inovasi (STI), serta bergerak ke arah pengurusan sumber yang lebih bertanggungjawab.

 

Pada skala besar, aktiviti ekonomi telah menambah baik kehidupan bilion rakyat di rantau APEC selama lebih sedekad, tetapi ia memberi tekanan ke atas biosfera, bahan mentah, sumber makanan, tanah dan lautan.

 

Oleh itu, salah satu fokus utama perbincangan APEC 2020 berhubung aspek kelestarian adalah ke arah memupuk inovasi sisa diperbaharui, pengurusan sisa dan strategi kitar semula.

 

Sebagai tuan rumah bagi persidangan APEC 2020, ia memberi peluang buat negara untuk menerajui kepimpinan dalam integrasi ekonomi serantau menerusi perdagangan dan pelaburan yang lebih bebas serta terbuka sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

 

Malaysia tahun ini telah mencipta sejarah bukan sahaja sebagai ekonomi APEC yang pertama mengubah cara penganjuran APEC secara maya tetapi juga telah berjaya mencapai kata sepakat dari semua pemimpin APEC untuk melancarkan Visi APEC Putrajaya 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020 – sebuah Deklarasi Pemimpin yang tidak dapat dihasilkan sejak dua tahun yang lalu. Kejayaan Malaysia ini tentunya melonjakkan nama Malaysia di peringkat global. - DagangNews.com