Pandemik COVID-19 papar kepentingan APEC | DagangNews Skip to main content

Pandemik COVID-19 papar kepentingan APEC

APEC 2020

Oleh JOHARDY IBRAHIM
[email protected]

 

MAJLIS Penasihat Perniagaan Malaysia mengelolakan Dialog Global CEO APEC bertema ‘APEC Dibayangkan Semula: Keutamaan Di Dalam Bencana COVID-19” pada 19 dan 20 November baru-baru ini.

 

Di dalam forum ekonomi yang penting ini, para pemimpin terdiri daripada Presiden, Perdana Menteri dan peneraju syarikat atau CEO khususnya dari 21 negara di Asia Pasifik turut serta membincangkan cabaran hebat yang dihadapi dunia hari ini akibat pandemik tersebut.

 

Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik atau APEC, ditubuhkan pada 1989, menganjurkan Sidang Kemuncak CEO APEC setiap tahun di mana pemimpin perniagaan global berhubung dengan ketua-ketua negara dan menteri dari seluruh rantau untuk berdialog dan membincangkan kaedah melangkah ke hadapan dari segi ekonomi.

 

Lazimnya, acara ini diadakan menerusi interaksi fizikal, namun kali ini disebabkan pandemik di seluruh dunia, sidang itu diadakan secara maya menerusi persidangan video yang meliputi lapan zon masa berbeza.

 

APEC2020a

 

Forum APEC ini bertujuan mempromosikan kerjasama ekonomi dan perdagangan, dengan setiap tahun sidang kemuncak diadakan oleh salah satu ekonomi yang menjadi anggotanya. APEC 2020 tahun ini telah dikendalikan oleh Malaysia sebagai tuan rumah.

 

Sudah tentu tarikan utamanya ialah `pertembungan semula’ China dan Amerika Syarikat yang diketahui umum pertikaian globalnya telah mengakibatkan ketegangan semasa APEC 2018 yang diadakan di Papua New Guinea sehingga gagal mencapai muafakat yang diharapkan.

 

Sidang APEC di Chile pada tahun lalu, terpaksa dibatalkan berikutan protes jalanan yang bertukar menjadi protes berdarah di mana penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan negara itu.

 

Kejayaan penganjuran Malaysia kali ini yang tamat pada 20 November 2020 bukan sahaja tanpa kejadian tidak diingini seperti di Chile, membolehkan ekonomi-ekonomi APEC memberi tumpuan kepada pandemik COVID-19 dan langkah-langkah seterusnya.

 

Kejayaan Malaysia menerusi Deklarasi Kuala Lumpur 2020 dan Visi Putrajaya APEC 2040 akan menjadi asas dalam membentuk masa hadapan rantau Asia Pasifik.

 

aaa

 

Menurut deklarasi berkenaan dan visi baharu itu menekankan kepada komuniti Asia Pasifik yang terbuka menjelang tahun 2040.

 

"Kami mengisytiharkan Visi Putrajaya APEC 2040 sebagai visi baharu yang mengutamakan pembentukan masa depan wilayah kita.

 

"Visi kami adalah untuk menjadikan komuniti Asia Pasifik sebagai ekonomi terbuka, dinamik, berdaya tahan dan sejahtera menjelang tahun 2040,” kata  Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Perdana Menteri berkata, impak daripada perang perdagangan AS-China telah ditenggelami oleh pandemik COVID-19.

 

Presiden AS, Donald Trump yang baharu sahaja tewas dalam pemilihan penggal kedua telah ‘ditemukan’ dengan Presiden Xi Jinping pada mesyuarat secara maya itu.

 

Jinping berkata, Beijing akan `mempertimbangkan secara aktif’ untuk menandantangi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), satu perjanjian yang mana AS telah menarik diri pada 2017.

 

Jingping juga berharap menerusi penggalakkan keterbukaan dan pembangunan serta menerusi pertumbuhan dipacu inovasi, rantau ini akan meraih pemulihan ekonomi yang besar.

 

“Akan ada perkongsian menang-menang dan menerusi capaian tanggungjawab sosial di negara-negara rantau Asia Pasifik ini, akan wujud kesatuan untuk memerangi pandemik COVID-19 ini,” kata Jingping.

 

aaa
XI Jinping berucap pada mesyuarat APEC 2020 yang disiarkan secara maya dari Beijing.

 

Mengulas mengenai perang dagangan AS-China, Perdana Menteri Singapura,  Lee Hsien Loong berkata, dasar-dasar perdagangan AS semasa dibawah pentadbiran Trump telah mengakibatkan kemajuan yang `sangat perlahan’ di dalam APEC sejak beberapa tahun ini.

 

Hsien Loong berkata, beliau menjangkakan pendekatan yang lebih `multilateralists’ daripada bakal presiden AS, Joe Biden.

 

APEC yang merupakan sebuah entiti ekonomi perlu kekal sensitif terhadap keperluan sektor swasta dan terus menyuntik sebuah persekitaran yang meningkatkan keyakinan perniagaan. 

 

Berucap dalam sesi pembukaan ‘APEC CEO Dialogue 2020’ , Muhyiddin menggariskan tiga kunci utama yang perlu dicakna oleh anggota APEC untuk menambah baik kerjasama dengan sektor swasta sekaligus memastikan kelestarian ekonomi rantau itu pada masa hadapan. 

 

“Keutamaan pertama dan paling penting adalah untuk menekankan semula sokongan serta komitmen terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan. Ini penting untuk (sektor) perniagaan-perniagaan kita, memandangkan kestabilan dan ramalan pasaran adalah tonggak utama untuk memastikan dagangan dan pelaburan berterusan mengalir walaupun ketika krisis ini. 

 

“Ini sekali lagi menekankan keperluan untuk kita kembali kepada matlamat utama APEC iaitu perdagangan serta pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini. Ini penting sebagai usaha untuk membina semula usaha ekonomi selepas penularan pandemik tersebut,” ucap Muhyiddin.  

 

APEC juga perlu mengembalikan keyakinan pasaran bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi kesan daripada pandemik tersebut, titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

 

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah

 

Forum ini boleh menjadi pemangkin dalam menghidupkan semula perdagangan dan pelaburan ketika pertumbuhan ekonomi global menyusut sebanyak 4.4 peratus tahun atas tahun kesan pandemik itu.

 

Baginda juga bertitah agar APEC mengamalkan dasar pro-perniagaan dengan melakukan perubahan struktur, meneguhkan kemudahan perdagangan dan integrasi ekonomi.

 

Sultan Hassanal menggesa rakan-rakan sejawatannya untuk terus berbincang mengenai cadangan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik.

 

aaa
Sultan Hassanal Bolkiah (dua dari kiri) menyertai mesyuarat APEC 2020 secara maya dari Bandar Seri Begawan.

 

Brunei sebagai anggota APEC dan bakal menjadi pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, titah baginda, mahu bekerja erat dengan semua ekonomi APEC untuk meneruskan pemulihan ekonomi di dalam era pasca-COVID kelak.

 

New Zealand akan menjadi tuan rumah seterusnya sidang APEC daripada Malaysia pada tahun hadapan dan telah menyatakan negara itu akan meneruskan format maya disebabkan masalah COVID-19.

 

“Ketika kita berdepan dengan cabaran ekonomi paling teruk sekarang, kita tidak boleh mengulangi kesilapan yang tercatat di dalam sejarah dengan mengulangi dasar perlindungan,” kata Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

 

“APEC mestilah terus komited memastikan pasaran adalah terbuka dan perdagangan berlangsung dengan lancar,” kata beliau.

 

Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negara ekonomi dalam APEC disaran untuk bersatu bagi memastikan akses yang adil terhadap vaksin COVID-19.

 

azminali
Mohamed Azmin Ali


 

Perkara tersebut menjadi saranan penting dalam Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) yang dianjurkan secara maya pada 16 November lalu.

 

“Keperluan itu adalah bagi memastikan akses yang adil terhadap vaksin COVID-19 secara selamat, berkesan dan berpatutan.

 

"Selanjutnya, kita harus menganggap vaksin COVID-19 sebagai barangan awam yang penting untuk melindungi kesihatan kita," kata Mohamed Azmin. - DagangNews.com

 

APEC2020logo