4 bank pusat termasuk BNM uji penggunaan mata wang digital bank pusat | DagangNews Skip to main content

4 bank pusat termasuk BNM uji penggunaan mata wang digital bank pusat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Rizab Bank Australia, Pihak Berkuasa Monetari Singapura dan Rizab Bank Afrika Selatan serta Bank for International Settlements (BIS) Innovation Hub bakal menguji penggunaan mata wang digital bank pusat (central bank digital currencies, CBDC) bagi penyelesaian antarabangsa.

 

BNM dalam satu kenyataan memberitahu, kerjasama yang dinamakan sebagai Projek Dunbar itu diterajui oleh Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, menyasarkan untuk membangunkan prototaip platform yang dikongsi bersama bagi transaksi rentas sempadan menggunakan pelbagai CBDC (multi-CBDC). 

 

Jelas bank pusat itu, platform pelbagai CBDC ini akan membolehkan institusi kewangan melakukan transaksi secara terus antara satu sama lain dalam mata wang digital yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat peserta. 

 

“Oleh itu, pihak pengantara tidak diperlukan serta masa dan kos transaksi dapat dikurangkan. Projek ini melibatkan kerjasama pelbagai rakan kongsi bagi membangunkan prototaip teknikal pada platform teknologi lejar teragih yang berbeza-beza. 

 

“Projek ini juga akan mengkaji reka bentuk tadbir urus dan operasi yang berlainan bagi membolehkan bank-bank pusat berkongsi infrastruktur CBDC serta mendapat manfaat daripada usaha sama antara pakar sektor awam dengan swasta daripada pelbagai bidang kuasa dan bidang operasi,” jelas BNM. 

 

Projek Dunbar akan mengkaji dimensi antarabangsa reka bentuk CBDC dan menyokong usaha pelan hala tuju G20 untuk menambah baik proses pembayaran rentas sempadan. 

 

Hasil kajian yang akan diterbitkan pada awal 2022 dapat membantu membangunkan platform masa depan bagi penyelesaian global dan serantau. 

 

Prototaip teknikal bagi platform yang dikongsi bersama ini dibangunkan dengan kerjasama beberapa rakan teknologi serta demonstrasi prototaip akan diadakan di Singapore Fintech Festival pada bulan November 2021.

 

Sementara itu, Ketua Pusat BIS Innovation Hub di Singapura, Andrew McCormack berkata, Projek Dunbar menghimpunkan bank-bank pusat yang berpengalaman luas dan mempunyai pandangan unik dalam projek CBDC dan rakan kongsi ekosistem yang berada pada peringkat lanjutan pembangunan teknikal mata wang digital. 

 

“Bersama-sama dengan kumpulan rakan kongsi yang berkebolehan dan bersemangat ini, kami yakin bahawa usaha kami berhubung dengan pelbagai CBDC bagi penyelesaian antarabangsa ini akan mencapai kemajuan dalam usaha penyelidikan CBDC pada peringkat yang seterusnya dan membina asas bagi kesalinghubungan pembayaran global,” katanya.

 

Penolong Gabenor (Sistem Kewangan), Reserve Bank of Australia, Michele Bullock pula berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan BIS Innovation Hub dan rakan kongsi bank pusat bagi inisiatif penting ini untuk mengkaji cara platform pelbagai CBDC boleh digunakan bagi mengurangkan kos, meningkatkan ketelusan dan mempercepatkan transaksi borong rentas sempadan. 

 

Inisiatif untuk menambah baik pembayaran rentas sempadan kini menjadi keutamaan bagi komuniti pengawalseliaan antarabangsa dan juga merupakan fokus utama kami dalam pembentukan dasar dalam negeri, katanya. 

 

Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail pula berkata : "Platform pelbagai CBDC yang dikongsi bersama dan dikaji melalui Projek Dunbar berpotensi untuk melangkaui pengaturan pembayaran legasi dan menjadi asas kepada platform penyelesaian antarabangsa yang lebih cekap. 

 

“Kami berharap projek ini akan memacu lebih banyak kerjasama awam-swasta bagi membolehkan pembayaran rentas sempadan yang cepat dan lancar, dengan menggabungkan manfaat teknologi lejar teragih dan kecekapan platform yang dikongsi bersama."

 

Ketua Pegawai FinTech, Pihak Berkuasa Monetari Singapura, Sopnendu Mohanty yakin usaha Projek Dunbar yang menggunakan platform pelbagai CBDC bagi membantu pemindahan dana pelbagai mata wang yang lancar merupakan sumbangan penting projek ini kepada visi global untuk mewujudkan pembayaran yang lebih murah dan pantas. 

 

Dapatan berhubung dengan cara platform yang dikongsi bersama ini dapat ditadbir secara berkesan dan diuruskan dengan cekap akan membentuk rangka tindakan sistem pembayaran generasi akan datang, ujar beliau. 

 

"Setelah menjalankan kajian pada peringkat domestik selama beberapa tahun, kami gembira melihat pandangan yang sama turut berkembang pada peringkat antarabangsa berhubung dengan keperluan untuk mengkaji pembayaran CBDC rentas sempadan dan perkhidmatan saling boleh kendali. Khususnya, kami begitu teruja untuk mengambil bahagian dalam Projek Dunbar kerana SARB juga memainkan peranan mengendalikan sistem penyelesaian borong serantau dalam Komuniti Pembangunan Afrika Selatan," kata Timbalan Gabenor Rizab Bank Afrika Selatan, Rashad Cassim. - DagangNews.com