4 perkara dorong pengukuhan Lee Swee Kiat Group pada 2H20F | DagangNews Skip to main content

4 perkara dorong pengukuhan Lee Swee Kiat Group pada 2H20F

Lee Swee Kiat Group (LSK)

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Empat perkara utama dijangka menjadi pendorong kepada pengukuhan hasil syarikat Lee Swee Kiat Group (LSK) pada separuh kedua 2020.

CGS-CIMB Research berkata, perkara pertama adalah pemulihan penjualan eksport syarikat berkenaan.

"Permintaan lebih tinggi daripada pelanggan, LSK berjaya mencatatkan penjualan eksport 50% daripada penjualan tahun kewangan 2019.

"LSK juga dijangka akan menerima peningkatan permintaan untuk tilam secara tempatan susulan permintaan yang tertangguh sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)," jelas CGS-CIMB Research.

Selain itu, jangkaan tersebut juga dinilai berdasarkan kepada skala ekonomi yang lebih tinggi yang dicapai syarikat tersebut.

Pendekatan dan inisiatif kawalan kos yang berterusan dijalankan LSK juga menjadi faktor kepada jangkaan pengukuhan pada separuh kedua 2020.

Pada separuh pertama 2020, LSK mencatatkan pendapatan dan keuntungan bersih yang lemah iaitu 22.7% dan 61.6%.

Kelemahan yang dicapai itu disebabkan oleh krisis COVID-19 yang menyebabkan penjualan tilam terganggu.

Bagi suku kedua 2020, keuntungan bersih syarikat berkenaan menurun 35.5% berbanding tahun sebelumnya dan 33.1% berbanding suku kedua sebelumnya kepada RM14.7 juta.

Prestasi tersebut dicatat berikutan aktiviti penjualan yang lebih rendah selain penutupan sepenuhnya bilik pameran dan jualan LSK sepanjang tempoh PKP. - DagangNews.com