4 sektor 'pemenang' Belanjawan 2021, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

4 sektor 'pemenang' Belanjawan 2021, kata CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Nov. - CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) melihat empat sektor sebagai ‘pemenang’ atau menerima manfaat besar daripada peruntukan Belanjawan 2021.

Ini termasuk sektor sarung tangan, penjagaan kesihatan, pengguna, tembakau dan pembinaan. 

Bagi sektor sarung tangan, CGS-CIMB berpendapat penggantian cukai durian runtuh kepada sumbangan sebanyak RM400 juta menentang COVID-19 tidak akan memberi kesan ke atas perolehan utama kepada syarikat pemain industri. 

“Dalam Belanjawan 2021, kerajaan tidak menyebut pelaksanaan cukai durian runtuh terhadap pembuat sarung tangan. Kami melihat ini dapat 'menyingkirkan' kebimbangan dalam dalam kalangan pelabur. 

sarung tangan

“Sebaliknya, Top Glove Corporation Berhad, Hartalega Holdings Berhad, Supermax Corporation Berhad dan Kossan  Rubber Industries Berhad perlu menyumbang RM400 juta untuk membantu negara menentang penularan COVID-19. Kami percaya sumbangan sekali gus kepada kerajaan ini khusus untuk membantu sebahagian kos pembelian vaksin COVID-19 serta peralatan perubatan oleh kerajaan,” kata CGS-CIMB dalam nota kajiannya hari ini. 

Berdasarkan semakan CGS-CIMB terhadap sumbangan daripada keuntungan bersih syarikat, Top Glove perlu menyalurkan sebanyak RM185 juta, Hartalega (RM90 juta), Supermax (RM75 juta) dan Kossan (RM50 juta).

Selain itu, pemberian tunai Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM6.5 bilion dan pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonjakkan perbelanjaan pengguna yang dapat memberi sumbangan positif kepada sektor pengguna. 

bpr

“Secara keseluruhannya, langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021 adalah positif bagi sektor pengguna. Ini adalah berdasarkan inisiatif yang dijangka membantu menyokong perbelanjaan pengguna, di mana kami percaya terjejas akibat kehilangan pekerjaan, pemotongan gaji dan ketidaktentuan ekonomi disebabkan penularan COVID-19. 

“Bagaimanapun, kami masih mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas sektor pengguna selepas pengumuman Belanjawan 2021. Walaupun kami positif terhadap langkah yang diperkenalkan, namun kami menjangkakan ia tidak mampu melonjakkan perbelanjaan pengguna secara besar-besaran melihatkan keadaan ekonomi ketika ini,” jelas CGS-CIMB.

Sementara itu, kerajaan mengumumkan duti eksais sehingga 10% ke atas peralatan rokok elektrik dan vape. 

Menerusi langkah ini, CGS-CIMB percaya British American Tobacco (BAT) akhirnya dapat memasuki pasaran vape yang berkembang pesat di mana popularitinya meningkat daripada sifar syer pasaran pada 2017 sehingga 9% pada suku keempat 2019 (4Q19).

“Pada pandangan kami, vape sangat popular dalam kalangan masyarakat lebih muda, memandangkan lebih sedekad stigma dan duti eksais yang tinggi telah menjauhkan mereka daripada rokok berasaskan pembakaran.

“Satu negatif kecil untuk sektor tembakau yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 adalah rancangan kerajaan untuk mengklasifikasikan rokok dan produk tembakau sebagai barang kena cukai di semua kawasan dan zon bebas cukai,” kata CGS-CIMB. 

Akhir sekali, CGS-CIMB menjangkakan peruntukan untuk meneruskan Transit Aliran Massa Lembah Klang 3 (KVMRT3) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura memberi manfaat kepada kontraktor yang terlibat. 

hsr

“Langkah ini paling kurang dapat memberi penjelasan terhadap pendirian kerajaan mengenai KVMRT 3 dan HSR. Bagaimanapun, kami difahamkan kontrak KVMRT3 dan HSR masih di bawah kajian semula dan belum diluluskan secara rasmi. 

“Secara keseluruhannya, kesemua kontraktor dijangka menerima manfaat daripada Belanjawan 2021. Kami kekal ‘neutral’ terhadap sektor pembinaan dan menekankan saranan ‘tambah’ saham YTL Corporation, Malaysian resources Corporation Berhad (MRCB) dan IJM Corporation Berhad (IJM),” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com