KUALA LUMPUR 8 Jun - Kaji selidik terbaharu Juwai IQI mengenai COVID-19 mendapati 57% daripada rakyat Malaysia lebih banyak membeli belah dalam talian berbanding sebelum pandemik yang sekali gus membantu melonjakkan urus niaga dalam talian di negara ini.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI Group Kashif Ansari dalam satu kenyataan hari ini berkata, Lazada Malaysia mencatatkan kenaikan 300 peratus bilangan penjual baharu dalam talian.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), jualan runcit dalam talian meningkat hampir berganda semasa pandemik dan data kami menunjukkan lebih ramai pengguna berbelanja dalam talian berbanding setahun lalu.
Pertambahan aktiviti membeli belah dalam talian itu selari dengan perkembangan pesat bahagian-bahagian ekonomi lain yang membawa kepada peningkatan pembayaran tanpa tunai, penggunaan aplikasi super dan penembusan internet mudah alih.
"Peruncit dan pengeluar meningkatkan kehadiran mereka dalam talian agar mereka boleh menjual kepada pengguna yang banyak membeli menerusi telefon mudah alih mereka berbanding membeli secara bersemuka.
"Ia turut berlaku dalam sektor hartanah, yang biasanya dianggap sebagai industri yang paling jarang berurus niaga dalam talian. Pembeli kini boleh melakukan hampir keseluruhan urus niaga tanpa perlu keluar dari rumah mereka," katanya dalam kenyataan di sini.
Kashif berkata, kaji selidik itu juga mendapati 68% rakyat Malaysia mahu kembali bekerja di pejabat atau di tempat kerja lain sekurang-kurangnya dua hari seminggu pasca pandemik.
Katanya, meskipun kesukaran yang dihadapi ketika ini, sebanyak 71% rakyat Malaysia percaya kehidupan di negara ini akan kembali normal menjelang akhir 2022.
"Namun, bukan semua orang optimis. Sejumlah 17% responden menjangka kita hanya akan dapat kembali kepada kehidupan normal pada 2023 manakala sebilangan kecil menjangkakan ia melangkaui 2023," katanya. - DagangNews.com