5G: Kerajaan perlu segera - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

5G: Kerajaan perlu segera - Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mac - “Kerajaan perlu segera mengambil tindakan bagi mempercepatkan penggunaan 5G supaya kita tidak ketinggalan.” 

 

Itu gesaan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang melihat semakin banyak negara mula menggunakan 5G termasuk di ASEAN.

 

Katanya, dengan pengukuhan liputan di seluruh negara, rakyat dan perniagaan akan dapat mengakses aplikasi digital generasi akan datang sebagai sebahagian daripada norma baharu. 

 

Ini susulan, kos yang lebih rendah akan meningkatkan permintaan yang seterusnya akan meningkatkan digitalisasi negara, jelas beliau. 

 

“Konsep pembinaan infrastruktur 5G akan menggalakkan persaingan berasaskan perkhidmatan di pasaran, di mana syarikat telekomunikasi kurang terikat untuk melabur dalam infrastruktur 5G dengan modal yang tinggi dan akan lebih menumpukan perhatian pada peningkatan inovasi perkhidmatan dengan kos yang berpatutan.

 

“Jumlah keperluan pelaburan untuk projek infrastruktur 5G adalah dianggarkan sebanyak RM15 bilion melibatkan kos infrastruktur serta operasi dan penyelenggaraan tahunan dalam tempoh projek selama 10 tahun. 

 

“Jumlah kos yang lebih tepat akan dapat dikenal pasti selepas proses tender terbuka yang akan dimulakan tidak lama lagi,” ulasnya ketika menyampaikan laporan Laksana ke-44 secara langsung di Facebook miliknya hari ini. 

 

Tambah Tengku Zafrul, Digital Nasional Berhad (DNB) akan menilai pilihan inovatif untuk mewujudkan struktur pembiayaan kos efektif yang boleh digunakan untuk projek infrastruktur seperti ini. 

 

"Adalah dijangkakan bahawa ia akan dibiayai secara peribadi melalui perjanjian kerjasama awam dan swasta," ujarnya lanjut. 

 

Sebagai inisiatif pertumbuhan ekonomi digital, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan MyDigital yang merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia, terdiri daripada tiga fasa dijangka lengkap menjelang 2030.  

 

Baca : MyDigital dilaksana 3 fasa, tarik RM70 bilion pelaburan

 

Kata Muhyiddin, pelan strategik itu merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12. 

 

Baca : Aspirasi Jendela : Capaian 5G menjelang 2025

 

Jelasnya, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 dan mewujudkan 500,000 pekerjaan.  - DagangNews.com