67 Tahun Merdeka:  Suburkan Semangat Jiwa Merdeka dalam kalangan kita | DagangNews Skip to main content

67 Tahun Merdeka:  Suburkan Semangat Jiwa Merdeka dalam kalangan kita

Oleh Norazlinda Mohammad

Kita semua adalah rakyat Malaysia, Kemerdekaan inilah yang menyatukan kita.  Ingatlah bahawa toleransi adalah kekuatan kita sebagai rakyat dan bangsa – Tunku Abdul Rahman

 

 

TINGGAL beberapa hari lagi, negara tercinta kita Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 67 tahun.  Mungkin kita selaku warga negara ada yang sudah lupa sejarah bagaimana Malaysia mendapat kemerdekaan melalui niat, tekad, pengorbanan, keringat, air mata perjuangan perwira negara, tentera dan pemimpin-pemimpin yang terdahulu. 

 

Malah, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj merupakan tokoh yang penting dalam sejarah negara.  Beliau melafazkan laungan keramat penuh bersemangat Merdeka! Merdeka! Merdeka! sebanyak tujuh kali di tengah pelusuk ribuan rakyat yang meraikan dengan penuh rahmat dan syukur di Stadium Merdeka pada 31 Ogos, 1957. 

 

Ia merupakan detik syahdu dan amat berharga untuk dikenang sepanjang zaman.

 

 

Norazlinda Mohammad
       Norazlinda Mohammad

 

 

Tahun ini, kita sekali lagi akan menyambut hari yang bersejarah iaitu Hari Kebangsaan dengan tema “Malaysia Madani:  Jiwa Merdeka.”  Tema Kemerdekaan yang ke 67 tahun telah dilancarkan oleh  Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil. 

 

Signifikannya tema hari kebangsaan kali ini cukup bermakna. Ia menekankan kebebasan rakyat daripada sebarang anasir-anasir negatif serta menzahirkan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi bahkan membentuk perpaduan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif. 

 

Manakala, Malaysia Madani ditakrifkan kepada akar kemakmuran dan kemajuan negara adalah melalui enam nilai teras utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sesama rakyat.   Sememangnya ia merupakan panduan dan pegangan rakyat Malaysia; mendukung hasrat pemimpin negara.         

 

Betapa mudah untuk kita meraikah hari kebangsaan setiap tahun tetapi untuk mempertahankan kemerdekaan bukanlah mudah dan ia merupakan cabaran yang perlu kita galas dengan rasa penuh tanggungjawab sebagai warga negara Malaysia. 

 

 

wasiyyah

 

 

Generasi muda perlu sentiasa cakna, ingat dan mempelajari Sejarah bagaimana kita mencapai kemerdekaan kerana ia sebagai menghargai usaha, penat lelah, pahit getir perjuangan pahlawan negara demi menzahirkan rasa cintakan tanah air. 

 

Sesungguhnya semangat berjuang untuk mendapatkan kebebasan atau kemerdekaan negara dari dijajah bukan boleh dilakukan sehari atau semalam tetapi melalui daya upaya, kekuatan jihad yang berterusan tanpa kenal erti putus asa. 

 

Kesatriaan tokoh-tokoh kemerdekaan seharusnya disambut dan dkenang oleh generasi muda dan menyambut bahtera merdeka dengan semangat patriotik penuh jiwa di dada “Saya Anak Malaysia” serta sentiasa berikrar taat setia kepada raja, cintakan negara Malaysia, hormat dan mematuhi undang-undang walau di mana jua berada. 

 

Wahai anak muda sentiasa semat bebaskan jiwa anda agar merdeka.  Manifestasi merdeka ialah memerdekakan diri dari pengaruh anasir luar atau negatif dengan berpendirian teguh kepada adab, peradaban dan nilai-nilai murni dari segi akhlak, mental dan kerohanian diri masing-masing. 

 

Hatta generasi muda usah mudah rapuh, leka, lemah, ghairah, lemas dan asyik dengan elemen teknologi yang tiada sempadan atau fenomena globalisasi yang akhirnya akan memakan diri jika tidak dikawal selia dengan akal yang bijak dan waras.

 

Perkasakan jati diri dan identiti; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.  Jadilah permata, pewaris bangsa dan pelapis negara di masa hadapan.  Inilah cabaran atau gelombang yang perlu disahut dan dilalui dengan jiwa yang luhur dan semangat yang cekal.

 

Rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa, umur perlu bangga, semat di jiwa dan sama-sama semarakkan jiwa yang merdeka melalui tindakan mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan penempatan, perbandaran, kampung, taman, halaman rumah, pejabat, kedai, premis perniagaan dan kenderaan.  Ini bagi menunjukkan semangat patriotik mempunyai pemikiran patriotisme dengan sayangkan negara tercinta. 

 

Masihkah kita ingat, ikon perpaduan negara dan penghibur legenda Malaysia Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad berjiwa penuh patriotik menyarung baju yang dijahit melambangkan baju bendera Malaysia.  Beliau merupakan contoh yang baik untuk generasi muda dengan bakat dan personaliti yang unggul di dalam kerjaya sebagai penghibur, peguam, penulis, pengarang, usahawan yang gigih berusaha serta mengharumkan nama negara di persada dunia.

 

Bahkan, lagu-lagunya juga sering kita hayati, dinyanyikan dan dimainkan di corong radio sempena hari kemerdekaan serta mempunyai mesej yang begitu kuat, jelas positif dan mempunyai unsur patriotik iaitu lagu 31 Ogos, Warisan dan Tegakkan Bendera Kita. 

 

Beliau adalah permata negara yang sukar diganti kerana menzahirkan semangat patriotik yang tinggi dengan menyanyi sambil memakai bendera Malaysia di konsert gergasinya yang diadakan di Jalan Chow Kit Road secara percuma. 

 

Konsert ini mencatat sejarah The Malaysia Book of Records kerana bukan sahaja berjaya menghimpun seramai 100 ribu warga kota dari pelbagai lapisan umur dan bangsa dengan harmoni tetapi juga menjadi simbol perpaduan.  Pelbagai cara ditunjukkan oleh seseorang bagi menunjukkan semangat jiwa merdeka dari sudut lensa masyarakat dan selagi ada niat yang baik, usaha bersungguh-sungguh, kudrat, kecekalan tiada yang mustahil untuk digapai atau dicapai oleh sesiapa pun. 

 

Pupuk Integrasi Sosial dengan Tatasusila dan Budaya Malaysia

Negara Malaysia merupakan negara unik dan mempunyai pelbagai kaum dan masyarakat majmuk.  Justeru itu, amat penting bagi warga negara tidak kira tua atau muda perlu mengamalkan sifat beradab, berbahasa elok di dalam komunikasi samada berdepan dan di alam siber. 

 

Sifat saling hormat-menghormati, berbudi bahasa merupakan akar budaya yang tidak harus dilupa oleh setiap rakyat Malaysia.  Nilai-nilai murni yang diajar oleh generasi dahulu sepatutnya diwarisi dan terus dipraktikkan oleh generasi muda.  Sejajar dengan rukun negara yang kita ikrar di sekolah dan tempat kerja iaitu kesopanan dan kesusilaan. 

 

Tiada ruginya kita bersifat rendah diri, bak kata pepatah; bawa resmi padi, semakin tunduk semakin berisi dan bukankah “budaya sopan santun adalah budaya kita” sebagai rakyat.

 

Pakaian tradisional seperti baju kurung, baju Melayu dan batik Malaysia merupakan pakaian kebangsaan kita sebagai rakyat Malaysia.  Ia juga melambangkan estetika budaya dan kesopanan berpakaian.  Integrasi nasional boleh diwujudkan dengan memakai pakaian baju kebangsaan bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bangsa atau kaum lain sebagai identiti rakyat Malaysia. 

 

Sehubungan itu, memakai baju kebangsaan di upacara hari perbarisan menyambut kemerdekaan atau apa sahaja majlis akan merapatkan jurang, mewujudkan kesatuan masyarakat dan integrasi sosial dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama, etnik, budaya dan bangsa di Malaysia. 

 

Inilah keistimewaan kita sebagai warga negara Malaysia perlu bersikap bersatu-padu, bertoleransi, hormat dan kekal hidup aman sejahtera.

 

Sokong Produk dan Jenama Tempatan demi Kemajuan Ekonomi Malaysia

Kita sebagai rakyat Malaysia boleh melahrkan sikap patriotik dengan menyokong, membeli, dan berbangga dengan produk serta jenama barangan tempatan. 

 

Buatlah pilihan yang bijak kerana Malaysia juga mampu mengeluarkan jenama produk tempatan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.  Barangan seperti kereta nasional, kosmetik, produk kecantikan, koko, elektrik, tas tangan, makanan dan premis perniagaan makanan tempatan. 

 

Menyokong usahawan dan produk tempatan bukan sahaja membantu memajukan landskap ekonomi negara malah menjana pendapatan agar lebih produktif dan progresif di masa hadapan.

 

Tuntasnya, di abad-21 negara sememangya mengalami turun naik dari segi politik, ekonomi, inflasi kewangan dan masalah sosial. 

 

Namun begitu, rakyat Malaysia perlu teguh pendirian, bersatu padu dengan jiwa yang merdeka memberi khidmat, jasa serta menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran, kemampanan serta menjaga akar kita demi kemaslahatan mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan negara agar kekal makmur dan bertamadun.

 

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 67 kepada seluruh rakyat Malaysia. - DagangNews.com

 

 

Norazlinda Hj Mohammad adalah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka