7,001 pekerja asing FGV bakal disaring COVID-19 | DagangNews Skip to main content

7,001 pekerja asing FGV bakal disaring COVID-19

PEKERJA asing ladang FGV menjalani ujian saringan COVID-19 di ladang FGV baru-baru ini.
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Jan. - FGV Holdings Berhad (FGV) menyediakan ujian saringan COVID-19 untuk 7,001 orang pekerja asingnya yang berkhidmat di ladang-ladang FGV di Negeri Sembilan dan Sabah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, ujian saringan itu merupakan salah satu daripada tanggungjawab FGV dalam menyokong usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja asing. 

 

“Ia turut memenuhi komitmen bagi memastikan semua pekerja yang berkhidmat di ladang-ladang kami mempunyai akses terhadap hak kesihatan ketika waktu pandemik yang mencabar ini.

 

“FGV memperuntukkan hampir RM200,000 bagi membiayai kos ujian saringan ke atas pekerja migran kami yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Negeri Sembilan dan Sabah. 

 

“FGV turut menyediakan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) sementara di kompleks-kompleks ladang berkenaan bagi membolehkan pengasingan pekerja migran sekiranya didapati positif COVID-19 tetapi bergejala ringan, daripada pekerja migran yang didapati negatif,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Menurut kenyataan sama, seramai 740 orang pekerja asing yang berkhidmat di ladang-ladang FGV di Jempol dan Gemas, Negeri Sembilan disaring dengan kit Antigen RTK yang dikendalikan oleh salah sebuah klinik panel di bawah lantikan Perkeso pada 12 dan 13 Januari 2021. 

 

Daripada jumlah tersebut, 165 pekerja berasal dari Indonesia, India (289) dan Bangladesh (286). 

 

Seramai 6,261 orang pekerja asing yang berkhidmat di ladang-ladang FGV di Kompleks Sahabat, Kalabakan dan Sandakan, Sabah pula akan menjalani ujian saringan yang sama pada minggu hadapan. 

 

Seramai 5,959 adalah pekerja warga Indonesia, manakala 302 adalah pekerja warga Filipina.

 

“Sekiranya pekerja didapati positif dan bergejala serius, FGV akan menguruskan kuarantin dan makan minum pekerja yang terlibat sehingga pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil alih untuk rawatan lanjut di hospital.

 

"Ujian saringan COVID-19 melalui Perkeso merupakan keperluan wajib yang perlu dipatuhi oleh majikan yang menggaji pekerja migran di kawasan yang berisiko tinggi khususnya di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan bermula 1 Disember 2020,” jelas FGV. - DagangNews.com