8 Hospital Columbia Asia dijadikan PPV di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan | DagangNews Skip to main content

8 Hospital Columbia Asia dijadikan PPV di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

SHAH ALAM 27 Julai – Kumpulan Hospital Columbia Asia menjadikan 8 daripada 13 hospitalnya di seluruh negara sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara sukarela di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

Hospital Columbia Asia berfungsi sebagai PPV ialah di Bintulu, Iskandar Puteri, Miri, Setapak, Puchong, Seremban, Taiping dan Tebrau. Seramai 160 kakitangan hospital Columbia Asia di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak dan Wilayah Persekutuan terlibat dalam kempen vaksinasi ini.

 

Penyelaras Khidmat Kecemasan Columbia Asia Serantau, Dr Sharonpal Singh berkata, hospital pihaknya mungkin tidak sebesar hospital swasta yang lain tetapi Columbia Asia tetap ingin bersama-sama melawan pandemik yang sedang berlaku ini dan membantu negara untuk mempercepatkan kempen vaksinasi COVID-19 kepada rakyat.

 

Menurutnya, kakitangan hospitalnya telah menyusun dan mengatur aliran kerja untuk setiap mereka yang terlibat serta mengasingkan suatu kawasan khas di setiap hospital untuk tujuan PPV.

 

Katanya, bilangan vaksin yang didapati di setiap hospital bersandarkan jumlah kakitangan serta keluasan hospital masing-masing. Setakat ini, jumlah peruntukan vaksinasi di kelapan-lapan PPV Columbia Asia ialah 600 orang sehari.

 

Untuk menyegerakan proses vaksinasi, Columbia Asia Hospital – Bintulu bekerjasama dengan Petronas dalam menyediakan PPV di Kelab Kidurong, Bintulu. Ini bertujuan untuk memberi vaksinasi kepada 5,000 kakitangan minyak dan gas di Bintulu.

 

Sejak 5 Julai, kakitangan Columbia Asia Hospital – Bintulu bukan sahaja bertungkus-lumus menjalankan tugas vaksinasi tetapi turut gigih menjalankan khidmat ujian COVID-19 di hospital.

 

columbia
Hospital ini bergabung dengan Qualitas bagi proses vaksinasi kakitangan minyak dan gas, di pejabat Petronas Carigali di Lutong, Miri.

 

Columbia Asia Hospital – Miri pula berkolaborasi dengan sebuah syarikat kesihatan, Qualitas Health Group, untuk tujuan vaksinasi. Sejak 8 Julai, hospital ini bergabung dengan Qualitas bagi vaksinasi kakitangan minyak dan gas, di pejabat Petronas Carigali di Lutong, Miri. Hospital di Miri ini ialah hospital Columbia Asia yang pertama menjadi PPV iaitu pada 25 Mei. Kemudian, hospital Columbia Asia yang lain mengikuti jejak langkahnya.

 

Paling terkini menjadi PPV ialah Columbia Asia Hospital – Taiping iaitu PPV yang kelapan dalam syarikat hospital ini, yang melegakan penduduk di Taiping yang sebelumnya mempunyai cuma satu PPV.

 

“Kami berharap orang awam tidak datang ke hospital kami tanpa janji temu MySejahtera atau cuba membuat janji temu terus dengan pihak hospital. Kami akan menghubungi anda sebelum hari vaksinasi anda,” kata Dr Sharonpal.

 

“Kami bukanlah pihak yang mendapatkan vaksin. Kerajaan Malaysia yang mendapatkan vaksin dari pembuat vaksin. Seterusnya, pihak ketiga pula menguruskan distribusi vaksin. Peranan PPV ialah amanah buat kami jadi kami akur dengan segala syarat dan peraturan,” ujarnya. – DagangNews.com