Ada kemungkinan OPR diturunkan 25 bps, ramal OCBC | DagangNews Skip to main content

Ada kemungkinan OPR diturunkan 25 bps, ramal OCBC

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Terdapat kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) bakal menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 8 Julai ini.

 

Prospek optimis yang diunjurkan BNM pada penyata dasar monetari sekitar Mei lalu adalah susulan sebahagian besar aktiviti-aktiviti perniagaan tidak terkesan akibat kawalan pergerakan pada masa itu, menurut Ahli Ekonomi OCBC, Wellian Wiranto.

 

Namun, kadar optimis itu mungkin menurun ekoran terdapat penguatkuasaan kawalan pergerakan yang diperketatkan lagi, kata beliau. 

 

“Oleh itu, secara keseluruhannya, kami melihat terdapat kemungkinan untuk BNM menurunkan lagi kadar OPR sebanyak 25 bps,” ujar beliau dalam satu nota kajian, seperti dilaporkan Bernama.

 

Semalam, Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai 2021 sehingga 16 Julai 2021.

 

Mengulas mengenai perkembangan sekatan baharu itu, Wiranto menjangkakan Malaysia memerlukan lebih masa untuk melonggarkan langkah terbabit sambil menambah sukar untuk ekonomi dapat dibuka semula menjelang pertengahan bulan ini.

 

Jelas beliau lanjut, kesan ekonomi juga dijangka lebih ketara walaupun pakej rangsangan terbaharu yang diumumkan kerajaan masih mampu membantu dalam keadaan tertentu. - DagangNews.com