KUALA LUMPUR 20 Jan - Agensi penyelamat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahan Awam (APM) menghadapi pelbagai kesukaran pada peringkat awal untuk memindahkan mangsa banjir di Selangor kerana mereka engga meninggalkan kediaman mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agensi penyelamat sukar mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera kerana rata-rata memberikan alasan untuk menyelamatkan harta benda selain enggan berpindah ke pusat pemidahan sementara (PPS) yang dikatakan terlalu jauh dari kediaman mereka dan bimbang rumah dimasuki pencuri selain jangkitan COVID-19.
Beliau berkata, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera.
"Untuk makluman semua, bermula pada petang Sabtu, 18 Disember 2021, PDRM, JBPM, ATM dan APM sebenarnya sudah menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa, namun menghadapi kesukaran kerana suasana yang semakin gelap dan terdapat ramai mangsa yang masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu.
"Kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan sehingga ada keadaan yang mana aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat.
"Selain itu, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas. Kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air," katanya semasa Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri berkata, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri pula berhadapan dengan kesukaran kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu.
Beliau berkata, sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air menyebabkan PPS ad hoc diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.
"Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan.
"Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana luar biasa ini," katanya. - DagangNews.com