KUALA LUMPUR 24 Jan - Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkannya membela diri atas 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung Yayasan Akalbudi.
Beliau yang berusia 69 tahun menyifatkan perintah yang diputuskan mahkamah itu adalah keputusan multak hakim.
Ahmad Zahid sebelum itu mengaku tidak bersalah dan memilih untuk memberi keterangan bersumpah bagi membela dirinya terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta dana yayasan tersebut.
“Pasukan guaman saya akan meneruskan guaman ini (kes ini) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh mahkamah tadi.
"Tarikh-tarikh (bicara bela diri) telah ditetapkan dan tentunya keakuran ini berdasarkan kepada sistem perundangan sedia ada,” katanya kepada pemberita selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pertuduhan yang dihadapinya, hari ini, lapor Bernama.
Terdahulu, Ahmad Zahid tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 9.03 pagi dan beredar pada 10.45 pagi.
Hampir 100 penyokong Presiden UMNO itu dilihat berkumpul di pekarangan mahkamah sejak 7.30 pagi.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. - DagangNews.com