AirAsia perlukan RM6.7 bilion untuk tidak diklasifikasi sebagai syarikat PN17 - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

AirAsia perlukan RM6.7 bilion untuk tidak diklasifikasi sebagai syarikat PN17 - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - AirAsia Group Berhad memerlukan sekitar RM6.7 bilion untuk memastikan kumpulan tidak diklasifikasikan sebagai syarikat Practice Note 17 (PN17).

 

Penganalisis di CGS-CIMB Research, Raymond Yap memberi amaran bahawa kumpulan berdepan risiko untuk diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 oleh Bursa Malaysia bermula 8 Januari 2022 yang seterusnya menyebabkan penjualan dana institusi.

 

Syarikat seperti AAGB perlu membuktikan dana pemegang saham positif sekurang-kurangnya separuh daripada modal saham berbayar untuk mengelak daripada klasifikasi tersebut.

 

Yap menegaskan klasifikasi tersebut akan mendatangkan impak negatif buat harga saham AirAsia, di mana hampir semua pelabur institusi dipercayai tidak mungkin akan melabur di dalam sebuah syarikat PN17.

 

“AirAsia mempunyai modal saham berbayar sebanyak RM8,463 juta setakat 30 Jun 2021. Ini bermakna dana pemegang saham memerlukan sekurang-kurangnya RM4,232 juta. 

 

“AirAsia sebaliknya mempunyai kedudukan dana pemegang saham yang negatif, berjumlah RM2,329 juta setakat 30 Jun 2021. 

 

“Bagi mengelakkan daripada diklasifikasi sebagai syarikat PN17, AirAsia memerlukan RM6,651 juta peningkatan dana pemegang saham,” kata Yap dalam satu nota kajian.

 

Bursa Malaysia telah memberi pengecualian kepada syarikat yang terjejas akibat COVID-19 dan seterusnya menangguhkan kriteria klasifikasi PN17 sehingga 7 Januari 2022. 

 

Ini bermaksud AirAsia mempunyai tempoh sekitar lima bulan untuk memenuhi keperluan RM6,651 juta tersebut.

 

Mana-mana syarikat tersenarai akan diklasifikasikan sebagai PN17 sekiranya mencetuskan beberapa kriteria seperti tidak mempunyai sekurang-kurangnya RM40 juta dari segi dana pemegang saham.

 

Pada suku kedua 2021 (2Q21), kumpulan berjaya mencatatkan kerugian bersih utama lebih rendah kepada RM890 juta berbanding suku tahun sebelumnya, RM1.2 bilion. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘kurangkan’ saham AirAsia dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada 23 sen daripada 24 sen sesaham. 

 

Senada itu, MIDF Research turut menyarankan untuk ‘jual’ saham AirAsia, tetapi TP dinaikkan kepada RM77 sen daripada 44 sen sesaham. 

 

Semak naik itu dibuat setelah mengambil kira prospek AirAsia yang lebih baik menjelang pemulihan secara beransur-ansur di dalam operasi penerbangan domestiknya bermula 4Q21. - DagangNews.com