AirAsia yakin pulih lebih cepat | DagangNews Skip to main content

AirAsia yakin pulih lebih cepat

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Dengan model perniagaan tambang rendah, kedudukan di pasaran dan transformasi digital yang dilaksanakan AirAsia Group, menjadi antara pemangkin yang akan menyaksikan syarikat penerbangan itu kembali pulih lebih cepat. 

 

Keyakinan itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes susulan ketibaan vaksin COVID-19 ke Malaysia semalam yang akan menjadi petunjuk utama ke arah pemulihan industri perjalannan dunia dalam masa terdekat. 

 

Pasaran antarabangsa utama AirAsia juga menunjukkan perkembangan baik menerusi program vaksinasi termasuk Indonesia, Singapura, China dan Australia. 

 

Negara-negara serantau lain seperti Thailand dan Filipina dijadualkan untuk memulakan program vaksinasi mereka pada suku pertama tahun ini. 

 

Fernandes berkata, usaha yang dilaksanakan AirAsia menerusi transformasi digital banyak membantu mengurangkan kesan buruk akibat wabak COVID-19 kepada syarikat.

 

“AirAsia telah memanfaatkan keadaan semasa untuk melaksanakan inisiatif digital dan teknologi inovatif untuk menjadikan perjalanan udara lebih selamat dan lancar selepas COVID-19. 

 

"Selain itu, ujian yang lebih baik, gelembung perjalanan, ubat antiviral dan pasport kesihatan digital sebagai satu alat untuk merekodkan status kesihatan di seluruh ASEAB dan negara-negara lain juga dijangka bakal tersedia untuk menyokong pemulihan industri perjalanan global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

tony fernandes
Tony Fernandes

 

 

AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan pada 2020 untuk mempercepatkan transformasi digitalnya sebagai lebih daripada sebuah syarikat penerbangan. 

 

Syarikat itu memperkenalkan produk baharu yang menyediakan aliran pendapatan baharu termasuk airasia super app, logistik, e-dagang dan teknologi kewangan. 

 

Selain itu, ia juga melaksanakan prosedur dan inovasi baharu seperti teknologi pengecaman wajah biometrik untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.

 

Menurut Fernandes, sepanjang berdepan tempoh sukar itu, AirAsia berjaya memimpin Allstars yang berdaya tahan melalui masa mencabar itu. 

 

"Kini, saya teruja untuk memimpin mereka melalui pemulihan syarikat yang kini merupakan sebuah syarikat perjalanan, teknologi dan gaya hidup dengan aplikasi super pilihan di Asia. 

 

"Kami menantikan pemulihan secara beransur-ansur pada 2021 di semua pasaran utama kami dan potensi pemulihan sepenuhnya dalam masa 2 tahun akan datang,” jelasnya. 

 

Sepanjang mengemudi syarikat penerbangan tambang murah itu, beliau menyifatkan, sektor penerbangan tidak berdepan dengan sekatan perjalanan global seperti yang berlaku hari ini.  

 

Malah, AirAsia katanya, telah berdepan pelbagai krisis sebelum ini seperti memulakan syarikat selepas tragedi 9/11, wabak selesema burung SARS, tsunami dan gempa bumi tetapi COVID-19 adalah cabaran terbesar kepada syarikat.

 

"Setelah setahun membendung kos operasi termasuk menamatkan operasi di Jepun dan mengurangkan kepentingan kami di India, akhirnya kami dapat melihat perkembangan positif," katanya.

 

Beliau juga optimis AirAsia akan mencapai sasaran pengumpulan dana sebanyak RM2.5 bilion. 

 

Tawaran saham persendirian sehingga 20% daripada jumlah saham terbitan AirAsia Group Berhad telah selesai minggu lalu. 

 

Sebanyak 11.07% tawaran diterima berjumlah RM250 juta, menunjukkan keyakinan pasaran dan pelabur yang kukuh terhadap syarikat.

 

“Kami berusaha untuk mendapatkan kelulusan pinjaman di bawah Skim Jaminan Prihatin Danajamin pada bulan hadapan. 

 

"Dalam masa sama, kami mengadakan perbincangan positif untuk mengumpul dana di pasaran utama kami seperti Thailand, Indonesia dan Filipina yang akan diumumkan pada masa akan datang," tambahnya.

 

Fernandes turut memberitahu, syarikat kini mempertimbangkan pengumpulan modal dan sokongan kewangan lain termasuk pengumpulan modal untuk entiti digital. 

 

"Kami berharap langkah-langkah ini akan lebih jelas dan dapat dicapai pada akhir Mac ini," katanya lagi. - DagangNews.com