KUALA LUMPUR 3 Nov. - Aktiviti urus niaga atau transaksi tanah mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 70% pada suku ketiga 2020.
Menurut laporan suku tahunan pelaburan Asia Pasifik bagi suku ketiga 2020, peningkatan itu menyumbang kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM2 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Peningkatan yang dicatatkan dalam tempoh berkenaan juga tidak dipengaruhi oleh situasi semasa pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan politik yang berpanjangan, lapor The Edge.
Menurut laporan itu, lonjakan ketara pada suku berkenaan turut didorong oleh pemerolehan dua bidang tanah di Kamena Land District Bintulu, Sarawak oleh Sarawak Economic Development Corp (SEDC) dengan harga RM340 juta.
Tanah itu dipercayai akan dibangunkan untuk tujuan pengembangan hab petrokimia di wilayah berkenaan.
Dalam tempoh suku ketiga itu juga, sektor perindustrian menjadi peneraju dengan pembelian tanah paling tinggi.
Hartalega NGC Sdn. Bhd. telah membeli tanah perindustrian seluas 60.6 hektar di Selangor.
Syarikat tersebut merancang untuk memperluas kemudahan pembuatan sarung tangan selain tanah yang diperoleh adalah bersebelahan dengan ibu pejabat di Sepang.
Sementara itu, syarikat pemaju rumah mampu milik terkemuka, Scientex Bhd. turut membuat perjanjian untuk membeli sebidang tanah dengan keluasan 1.358 ekar daripada Guocoland (Malaysia) Bhd. dengan harga RM260.2 juta.
Selain tanah berkenaan, Scientex juga membeli tanah pertanian seluas 202 ekar daripada Lee Pineapple Co (Pte) di Johor dengan harga RM185 juta.
Pengambilalihan itu sekali gus meningkatkan bank tanah Scientex untuk mencapai matlamat membina 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.
Laporan sama turut menjangkakan pertumbuhan aktiviti urus niaga kekal pulih dan bergerak maju didorong oleh sektor perindustrian yang hanya mencatatkan RM780 juta transaksi. - DagangNews.com