Al Jazeera nafi salah lapor dalam “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” | DagangNews Skip to main content

Al Jazeera nafi salah lapor dalam “Locked Up in Malaysia’s Lockdown”

al jazeera

KUALA LUMPUR 10 Julai - Media antarabangsa, Al Jazeera Media Network menafikan dakwaan laporannya tidak benar, terpesong dan tidak adil oleh Malaysia.

Menurut media berkenaan dalam satu kenyataan, mereka menolak tuduhan berkenaan dengan mendakwa pihaknya mengamalkan profesionalisme, kualiti dan adil dalam kewartawanan. 

"Episod berkenaan tidak mengandungi pandangan oleh staf Al Jazeera. 

Al Jazeera meminta kebebasan media dan hak untuk melaporkan secara bebas tanpa ugutan,” kata media tersebut.

Baca : Al Jazeera akan dipanggil polis

Sebelum ini, dokumentari  “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” itu mendakwa negara ini bersikap diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika usaha membendung penularan COVID-19.

Dokumentari yang berdurasi 25 minit dan 50 saat itu turut mendakwa bahawa golongan PATI bukan penjenayah dan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuntut media antarabangsa berkenaan untuk memohon maaf atas salah lapor dan mereka dijangka ke Bukit Aman pada minggu ini bagi memberi keterangan.

Baca: Al Jazeera ke Bukit Aman minggu ini

Jelasnya, laporan itu bukan sahaja memberi kesan buruk ke atas Malaysia, malah ia dilaporkan dengan tidak wajar, mengelirukan dan berniat tidak baik.

‘Content creator’ terkenal, Dustin Pfundheller turut menyelar laporan Al Jazeera sebagai tidak tepat. Beliau juga mendedahkan akan membuat satu lagi video baharu yang membetulkan laporan Al Jazeera. 

Pfundheller sebelum ini menghasilkan sebuah video bertajuk  ‘How Malaysia Did the Impossible’ yang memaparkan kejayaan Malaysia mengekang jangkitan COVID-19 sehingga meraih jumlah tontonan lebih satu juta. - DagangNews.com