Aliran masuk bersih FDI Malaysia susut kepada RM40.4 bilion pada 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Aliran masuk bersih FDI Malaysia susut kepada RM40.4 bilion pada 2023 - DOSM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia menyusut kepada RM40.4 bilion pada 2023 berbanding RM75.4 bilion tahun sebelumnya manakala pelaburan di luar negeri (DIA) mencatatkan RM40.6 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusutan FDI itu adalah daripada ekuiti dan dana pelaburan saham, mencerminkan ekonomi global yang perlahan.

 

Beliau berkata, ia selaras dengan laporan Pemantauan Trend Pelaburan Global UNCTAD 2024 yang menekankan bahawa aliran FDI  ke negara-negara membangun menurun lebih kurang 9%, berjumlah AS$841 bilion pada tahun 2023. 

 

 

"Khususnya, rantau Asia yang sedang membangun menurun sekitar 12% kepada AS$584 bilion, dengan FDI di ASEAN menurun kira-kira 16%.

 

"Bagaimanapun, nilai kumulatif pelaburan langsung asing, yang juga dikenali sebagai kedudukan FDI meningkat kepada RM926 bilion pada akhir 2023, menyumbang 50.8% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), terutamanya disebabkan oleh kategori-kategori bukan transaksi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

fdi

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata DIA mencatatkan penurunan dalam aliran keluar bersih daripada RM62.8 bilion pada tahun sebelumnya, manakala kedudukannya meningkat kepada RM664.4 bilion, mewakili 36.4% daripada KDNK.

 

Beliau berkata, melihat kepada taburan sektor, perkhidmatan muncul sebagai penerima utama FDI, dengan aliran masuk bersih RM35.4 bilion, memintas sektor pembuatan. 

 

Katanya, perkhidmatan, informasi & komunikasi menyumbang peratusan tertinggi selaras dengan pertumbuhan aktiviti berkaitan perniagaan digital global dan pusat data, diikuti oleh subsektor kewangan & insurans/ takaful. 

 

"Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada keseluruhan pendapatan meskipun aliran masuk bersih lebih rendah, dengan menjana RM41.9 bilion, terutamanya disokong oleh subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan subsektor pembuatan lain.

 

fdi

 

"Secara kumulatif, kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan memegang nilai signifikan dalam komponen kedudukan masing-masing pada RM468.2 bilion dan RM391.3 bilion," katanya.

 

Mengenai pelaburan langsung Malaysia di luar negeri, Mohd Uzir berkata, aliran keluar bersih DIA terutamanya disumbangkan oleh sektor perkhidmatan bernilai RM34.5 bilion, khususnya dalam aktiviti kewangan & insurans/takaful dan utiliti.

 

"Sektor ini turut menjana pendapatan tertinggi RM23.9 bilion, diikuti oleh perlombongan & pengkuarian sebanyak RM10.7 bilion.

 

"Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama DIA bagi 2023 dengan mencatatkan kedudukan terkumpul pada RM461.1 bilion, diikuti oleh perlombongan & pengkuarian sebanyak RM80.5 bilion dan pembuatan sebanyak RM60 bilion," katanya.- DagangNews.com