Alliance Bank tidak akan beri pembiayaan baharu jika permohonan bertentangan dengan CCPT BNM | DagangNews Skip to main content

Alliance Bank tidak akan beri pembiayaan baharu jika permohonan bertentangan dengan CCPT BNM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Jan - Alliance Bank Malaysia (ABMB) tidak akan memberikan sebarang pinjaman serta pembiayaan baharu sekiranya bertentangan dengan risiko Perubahan Iklim dan Prinsip berasaskan Taksonomi (CCPT) yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

AmInvestment Research berkata, kumpulan itu juga akan menjalankan saringan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk setiap permohonan pembiayaan baharu dan penilaian kredit.

 

"ABMB mengambil ketetapan untuk tidak memberi pembiayaan kepada perlombongan arang batu, minyak dan gas yang tidak konvensional, perdagangan senjata api, projek yang memberi kesan kepada alam sekitar dan pengambil alihan syarikat secara paksaan.

 

"Kumpulan itu juga menetapkan kriteria penerimaan risiko (RAC) terhadap empat sektor yang sensitif terhadap amalan ESG termasuk kelapa sawit, perlombongan dan kuari, minyak dan gas serta perhutanan dan pembalakan.

 

"Kami faham bahawa pendedahan mereka kepada empat sektor ini adalah kurang daripada 3.5% daripada keseluruhan pinjaman dan kelapa sawit menjadi sektor terbesar manakala tiga sektor lagi menyumbang kurang 1% daripada pinjaman keseluruhan kumpulan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ABMB menyasarkan untuk menjadi bank pilihan kepada pemilik perniagaan dan mahu menjadi antara empat bank utama dalam kalangan Pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Kumpulan itu akan memberi tumpuan kepada enam amalan utama bagi mewujudkan perniagaan mampan termasuk menerapkan amalan ESG dalam strategi perniagaan selain memberikan sokongan kepada pelanggan menerusi pinjaman baharu yang mampan.

 

"Memperkasakan PMKS menerusi pendidikan, meningkatkan kemahiran serta pembiayaan menerusi pelbagai sumber selain mempromosikan amalan celik kewangan kepada golongan yang bersiko menerusi penggunaan media sosial serta program bersama masyarakat dan memberikan penyelesaian digital untuk memacu transformasi dalam masyarakat," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas ABMB dengan nilai tidak berubah iaitu RM3.80 sesaham dan ia dibuat berdasarkan kepada unjuran 9.7% pulangan ekuiti (ROE) pada tahun kewangan 2023 (FY23). - DagangNews.com