Allianz Life lancar 2 pelan lindungi ibu hamil & bayi baru lahir | DagangNews Skip to main content

Allianz Life lancar 2 pelan lindungi ibu hamil & bayi baru lahir

Joseph Gross

Joseph Gross.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Julai - Allianz Life Insurance Malaysia Berhad (Allianz Life) melancarkan pelan PreciousCover dan BabyCover yang memberi pelbagai perlindungan kepada ibu hamil dan bayi yang baru dilahirkan.

 

Perlindungan berkenaan adalah ketika sebelum dan selepas kelahiran termasuk pelindungan bagi anak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life, Joseph Gross berkata, sekarang adalah  waktu yang terbaik menghasilkan produk yang dapat memastikan saat-saat indah seorang ibu hamil dilindungi.

 

“Pelan-pelan ini bukan sahaja menawarkan perlindungan yang luar biasa tetapi dilengkapi dengan elemen unik untuk menjaga ibu dan anak secara hujung-ke-hujung dan memastikan kehamilan dilalui dengan kebimbangan yang sedikit.

 

"Dengan PreciousCover dan BabyCover, kami berusaha keras untuk memahami cabaran mereka dan menghasilkan produk yang sesuai dengan keperluan mereka. 

 

"Ia adalah sangat penting bagi syarikat untuk melakukan ini kerana wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 didapati mempunyai risiko peningkatan komplikasi kehamilan yang teruk seperti preeklampsia," katanya dalam satu kenyataan.

 

PreciousCover memberi perlindungan menyeluruh kepada ibu-ibu ketika dan selepas kehamilan.

 

Sementara itu, BabyCover pula melindungi anak daripada penyakit kritikal dan gangguan perkembangan kanak-kanak.

 

Kedua-dua pelan berkenaan melindungi kehamilan tunggal dari teknik pembiakan dibantu termasuk Inseminasi Intrauterin, Inseminasi Intraserviks dan Persenyawaan Vitro.

 

Tambah beliau lagi, antara faedah khas untuk bayi baru lahir di bawah pelan PreciousCover adalah manfaat jika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Unit Kebergantungan Tinggi dan Unit Rawatan Rapi Neonatal, serta Manfaat Rawatan Fototerapi tanpa keperluan untuk dimasukkan ke hospital.

 

“Perlindungan tidak berakhir di situ. Aspek lain yang menjadikan kehamilan lebih mencabar adalah sebilangan ibu hamil ini bukan sahaja harus menghadapi kesusahan fizikal tetapi kepayahan dan tekanan mental yang timbul dari semua kerisauan mereka.

 

"Oleh itu, PreciousCover direka untuk memasukkan manfaat rawatan psikoterapi bagi ibu untuk keadaan seperti Gangguan Kemurungan Utama dan Gangguan Kebimbangan Umum. 

 

"PreciousCover dibahagikan kepada Pelan 15,000 dan Pelan 30,000. Manfaatnya adalah antara RM250 hingga RM500 sehari untuk manfaat kemasukan ke hospital dan RM15,000 hingga RM30,000 untuk manfaat kematian akibat kelahiran anak atau komplikasi kehamilan," katanya.

 

Bagi kanak-kanak pula, manfaat kematian adalah hingga RM5,000 selain memberikan perlindungan terhadap 19 penyakit kongenital untuk kanak-kanak sehingga usia lima tahun. 

 

Manfaat itu membayar sehingga RM20,000 apabila kanak-kanak didiagnosis dengan salah satu penyakit tersebut. - DagangNews.com