Amanah Ikhtiar tangguh bayaran balik pinjaman hingga 31 Julai ini | DagangNews Skip to main content

Amanah Ikhtiar tangguh bayaran balik pinjaman hingga 31 Julai ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Julai - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melanjutkan penangguhan bayaran balik pinjaman oleh 378,507 peminjamnya, berkuatkuasa 1 sehingga 31 Julai 2021.

 

Langkah itu berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan, menurut Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin.

 

“Dengan lanjutan sehingga 31 Julai ini, AIM sehingga hari ini telah memberi penangguhan bayaran balik pinjaman kepada Sahabat AIM (peminjam) selama lapan minggu bermula tarikh PKP 3.0 berkuatkuasa secara penuh pada 1 Jun 2021 lalu.

 

“Selain itu, semua Mesyuarat Pusat (MP), Perjumpaan Pusat Khas (PPK) dan Kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) dan Tabung Khairat Hutang juga ditangguh sehingga 31 Julai 2021.

 

Lajim Ukin
Lajim Ukin

 

"AIM juga memutuskan untuk menangguhkan Pembentangan Permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Pengeluaran Tabung Kumpulan, Tuntutan Tabung Khairat Hutang, Penjadulan Semula Pembiayaan dan juga pembentangan untuk Tangguh Bayar Ballik Pinjaman. Bagaimanapun, Kutipan Balik bayaran SPI melalui kaedah bukan tunai (e-pay) adalah dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Untuk rekod, AIM sebelum ini telah memberi penangguhan bayaran balik selama 16 minggu secara automatik kepada semua peminjam ketika PKP 1.0 dilaksanakan.

 

Ini diikuti oleh penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 yang membabitkan seramai 12,568 peminjam.

 

Tambah Lajim, institusi itu juga telah memperkenalkan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi AIM serta menyediakan pelbagai inisiatif lain termasuk Penangguhan Tambahan PKPB, program kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan, serta bengkel dan kursus keusahawanan digital untuk Sahabat AIM.

 

Bagi memastikan kebajikan Sahabat AIM dibela, AIM juga memberi bantuan bekalan makanan asas yang telah memberi manfaat kepada 20,700 keluarga mereka menerusi Program Bakul Kasih AIM. - DagangNews.com