AmanahRaya nafi caruman ahli KWSP terbatal jika penama meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya nafi caruman ahli KWSP terbatal jika penama meninggal dunia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menafikan dakwaan bahawa wang caruman ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbatal sekiranya penama meninggal dunia terdahulu dari ahli.

 

Syarikat pemegang amanah utama milik kerajaan itu mengeluarkan satu kenyataan media bagi menafikan kandungan mesej tular di aplikasi Whatsapp berhubung isu penamaan wang caruman bagi ahli KWSP.

 

Mesej tersebut mendakwa sekiranya ahli telah menamakan seorang atau dua penama, namun kemudiannya penama tersebut meninggal dunia terdahulu dari ahli, maka keseluruhan penamaan tersebut akan terbatal dan secara automatik, KWSP akan menyalurkan wang pembayaran tersebut kepada AmanahRaya.

 

AmanahRaya menekankan bahawa kandungan mesej yang tular tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan masyarakat.

 

“AmanahRaya, pada setiap masa, boleh dilantik sebagai pentadbir atau pemegang amanah oleh institusi-institusi, iaitu mahkamah, pejabat pusaka kecil atau AmanahRaya sendiri di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.

 

“Kesemua harta pusaka yang ditadbir oleh AmanahRaya hanya akan dibahagikan kepada waris-waris yang sah mengikut peruntukan undang-undang yang terpakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut AmanahRaya, wang caruman ahli KWSP hanya akan disalurkan kepadanya jika ia telah dilantik sebagai pentadbir kepada harta pusaka ahli KWSP yang telah meninggal dunia.

 

Selain itu, wang caruman akan disalurkan kepada AmanahRaya jika ia dilantik sebagai pemegang amanah bagi bahagian waris-waris ahli KWSP di bawah umur.

 

AmanahRaya menambah bahawa ia juga hanya akan menjadi pemegang amanah bagi bahagian orang kelainan upaya (OKU) yang tidak mempunyai kapasiti dari segi undang-undang untuk menerima, mengurus dan/atau memegang wang simpanan KWSP tersebut.

 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu ini atau berkaitan perkhidmatan AmanahRaya dengan menghubungi 03-2723 7273 atau emel ke crmd@arb.com.my atau WhatsApp 03-2055 7557.  - DagangNews.com