AmanahRaya REIT selaraskan semula portfolio, sasar 90% kadar penghunian untuk Menara Vista | DagangNews Skip to main content

AmanahRaya REIT selaraskan semula portfolio, sasar 90% kadar penghunian untuk Menara Vista

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 April – AmanahRaya Real Estate Investment Trust menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 90% daripada kadar penghunian portfolionya menjelang tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).

 

Pada Mesyuarat Agung Tahunan hari ini, Pengarah Urusan AmanahRaya REIT, Tunku Rozita Tunku Abdul Malek berkata sasaran tinggi itu mencerminkan komitmen AmanahRaya REIT untuk memaksimumkan nilai bagi pemegang unit dan mengukuhkan kedudukannya sebagai REIT tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Peningkatan dalam kadar penghunian untuk Menara Vista bersedia untuk meningkatkan potensi pendapatan AmanahRaya REIT dengan ketara.

 

tunku rozita
                               Tunku Rozita Tunku Abdul Malek

 

 

"Kami menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 90% kadar penghunian untuk portfolio Dana menjelang tahun kewangan berakhir 2025.

 

"Pada masa ini, kami sedang dalam perbincangan aktif dengan ramai bakal penyewa, dan prospeknya agak menjanjikan.

 

"Sebagai aset terbesar dalam portfolio, kami menjangkakan bahawa kadar penghunian untuk Menara Vista akan mencapai 60% menjelang Julai 2024, meningkat daripada 35% pada akhir FY023, terutamanya disebabkan oleh kemasukan penyewa baharu,’ kata beliau dalam ucapannya.

 

Melihat ke hadapan, AmanahRaya REIT yakin trend positif ini akan berterusan sepanjang FY2024, dengan potensi untuk mencapai sekurang-kurangnya 70% kadar penghunian.

 

"Pajakan baharu yang kami peroleh, mempunyai tempoh antara 2 hingga 3 tahun, memberikan kestabilan, dan menyumbang kepada strategi pertumbuhan jangka panjang kami," tambahnya.

 

Portfolio semasa AmanahRaya REIT terdiri daripada 11 hartanah, termasuk aset pendidikan Universiti SEGi Kota Damansara, Kolej SEGi Subang Jaya dan kampus Help University. Portfolio ini juga merangkumi pelbagai hartanah dalam sektor perindustrian, runcit dan hospitaliti.

 

Melangkah ke hadapan, AmanahRaya REIT telah mengumumkan keputusan strategiknya untuk melepaskan sepenuhnya daripada sektor perhotelan, sejajar dengan inisiatif berterusannya untuk mengoptimumkan portfolio dengan memperoleh aset yang menghasilkan pulangan tinggi dan melepaskan aset strategik bukan teras.

 

Tunku Rozita, mengulas mengenai strategi pertumbuhan, menekankan, "kami kekal fokus untuk meningkatkan portfolio dengan aset berkualiti baik. Semasa menilai banyak cadangan, keutamaan kami adalah untuk memastikan bahawa sebarang pemerolehan menyumbang dengan ketara kepada pendapatan dan hasil keseluruhan kami.

 

"Tumpuan kami adalah terutamanya pada aset pendidikan, hartanah perindustrian, terutamanya dalam logistik dan kemudahan kesihatan. Kami bersedia untuk merebut peluang menarik yang boleh memacu pertumbuhan pendapatan kami," ujar beliau. - DagangNews.com